Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

7 tip mudah ini bantu turunkan bil api air setiap bulan

Bil-bil api air anda mungkin semakin meningkat sedang lebih ramai anggota keluarga bekerja dari rumah. 

Anggaran Waktu Membaca:
7 tip mudah ini bantu turunkan bil api air setiap bulan

Gambar hiasan: Radek Grzybowski/Unsplash

Diterbitkan : 20 Oct 2020 11:42PM Dikemas Kini : 21 Oct 2020 12:12AM

SINGAPURA: Bil-bil api air anda mungkin semakin meningkat sedang lebih ramai anggota keluarga bekerja dari rumah.

Kenaikan tarif elektrik baru-baru ini juga mungkin memberatkan lagi beban anda yang membayar bil sedemikian.

Lantaran itu, inilah masa yang tepat bagi anda untuk menyemak penggunaan tenaga di rumah bagi mengurangkan bil bulanan.

Selain langkah-langkah sekali saja seperti memilih perkakas jimat elektrik dan langganan bekalan elektrik yang sesuai, berikut adalah tip-tip bagi menjimatkan penggunaan elektrik yang sangat mudah untuk dijadikan sebagai satu tabiat dan boleh membantu anda untuk menjimatkan wang setiap bulan.

1. GUNAKAN KIPAS SILING UNTUK MENDINGINKAN BILIK

Sesetengah pengguna alat hawa dingin bergantung kepada alat tersebut kerana ia sudah menjadi kebiasaan dan bukan kerana mereka benar-benar memerlukannya.

(Gambar hiasan: Maxwell Ingham/Unsplash)

Jika anda ingin menghidupkan alat hawa dingin, ingatlah bahawa setiap unit alat hawa dingin menggunakan 20 kali ganda tenaga elektrik berbanding kipas siling.

Pilih kipas yang menjimatkan tenaga yang menggunakan motor arus terus (DC) untuk mengedarkan udara nyaman dan berupaya menyejukkan udara tanpa mengakibatkan bunyi yang menderu.

Kipas siling sedemikian mungkin lebih mahal tetapi ia lebih berbaloi jika mengambil kira penggunaannya dalam jangka panjang.

Selain kipas siling, anda juga boleh menggunakan kipas atas meja yang tidak memerlukan ruang yang besar namun tetap menghasilkan tiupan angin yang kuat.

2. BERSIHKAN PENAPIS ALAT HAWA DINGIN SETIAP BULAN

Bagi anda yang menggunakan alat hawa dingin, salah satu cara untuk menjimatkan tenaga yang kurang diketahui adalah dengan membersihkan penapis alat hawa dingin setiap bulan.

(Gambar hiasan: Freepik)

Ia akan membantu untuk menyejukkan udara bilik dengan kurang menggunakan tenaga. Lakukan pembersihan menyeluruh menggunakan kimia setiap tiga bulan.

Tutup pintu dan jendela dan rapatkan langsir untuk meningkatkan keberkesanan alat hawa dingin.

Suhu 25 darjah Selsius lebih daripada memadai bagi kebanyakan rumah. Bagi setiap darjah Selsius lebih rendah yang dipilih, anda menggunakan lebih banyak tenaga elektrik dan anda dianggarkan mengeluarkan belanja tambahan S$25 setiap tahun.

3. MATIKAN PERKAKAS ELEKTRIK JIKA TIDAK MENGGUNAKANNYA

(Gambar hiasan: Ashkan Forouzani/Unsplash)

Peralatan di rumah seperti televisyen, penghala (router) dan komputer menggunakan elektrik sehinggalah anda mematikan suis di soket tembok.

Langkah mematikan suis di soket tembok boleh mengurangkan tenaga elektrik yang digunakan di rumah sehingga 10 peratus.

4. JANGAN SIMPAN TERLALU BANYAK BARANG DALAM PETI SEJUK

(Gambar hiasan: Eric Mclean/Unsplash)

Jika anda memiliki peti sejuk lama, periksa pengedap di pintu untuk memastikan ia dalam keadaan baik. Jika ia berjurang, udara sejuk akan keluar daripada peti sejuk anda.

Bagi memastikan makanan anda disejukkan dengan berkesan, perlu ada aliran udara yang secukupnya antara setiap bahan makanan. Lantaran itu, elak daripada memuatkan terlalu banyak makanan dalam peti sejuk.

Jika anda memiliki penyejuk beku yang mempunyai fungsi mencair beku yang diaktifkan secara manual, cairbekukan peti dari semasa ke semasa kerana ia dapat menjimatkan tenaga dengan menghapuskan lapisan wap ais yang terkumpul.

Lapisan wap ais sedemikian meningkatkan penggunaan tenaga yang digunakan motor untuk membekukan makanan.

5. BASUH BAJU HANYA JIKA MESIN PENUH

(Gambar hiasan: Sana Saidi/Unsplash)

Mengumpul baju kotor dan membasuh muatan baju yang besar sekali gus pada 'setting' lebih tinggi sebenarnya menjimatkan elektrik, berbanding dengan membasuh dua muatan pada setting rendah atau sederhana.

Elak daripada menggunakan air panas untuk membasuh baju kerana 90 peratus tenaga elektrik yang digunakan mesin pencuci adalah untuk menghangatkan air. Air suhu bilik sudah cukup memadai.

6. PILIH MOD ‘SLEEP’, ELAK GUNAKAN SCREENSAVER

(Gambar hiasan: Daniel Korpai/Unsplash)

Tidak seperti apa yang dimaksudkan melalui namanya, penggunaan 'screensaver' pada layar komputer anda sebenarnya membazirkan – dan tidak menjimatkan – tenaga.

Screensaver pada asalnya bertujuan mencegah kerosakan layar-layar model lama namun hari ini, ia tidak diperlukan selain untuk menawarkan pilihan kepada para pengguna untuk memperibadikan komputer masing-masing.

7. GUNAKAN SAIZ KUALI YANG TEPAT

Gunakan kuali kecil di atas gegelung besi yang kecil dan gunakan kuali besar di atas gelegung besi yang besar untuk menjimatkan tenaga.

(Gambar hiasan: Louis Hansel/Unsplash)

Penggunaan kuali selebar enam inci di atas gelegung lapan inci dianggarkan boleh menyebabkan pembaziran haba yang dihasilkan dapur sebanyak 40 peratus.

Rencana ini pertama kali diterbitkan di laman 99.co dalam bahasa Inggeris. 

Sumber : CNA/ZM/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan