7 perkara menarik tentang kawasan Telok Blangah
Mulai hari ini (20 Jul) orang awam boleh mengalami sendiri keindahan Telok Blangah menerusi lawatan berpandu percuma tertumpu kepada masa silamnya dan sejarah maritim Singapura sepanjang 700 tahun.

(Gambar-gambar: Ang Hwee Min, Najeer Yusof/TODAY)
SINGAPURA: "Hai Telok Blangah lah namanya, tempat bersejarah lagi indah; rakyatnya bersantun budi bahasa, teruna dara...."
Begitulah gambaran suasana kawasan Singapura bernama Telok Blangah seperti dibayangkan dalam lagu Zapin Telok Blangah karya pemuzik tradisional tempatan, Zubir Abdullah.
Mulai hari ini (20 Jul) orang awam boleh mengalami sendiri keindahan Telok Blangah menerusi lawatan berpandu percuma tertumpu kepada masa silamnya dan sejarah maritim Singapura sepanjang 700 tahun.
Anjuran My Community, lawatan tersebut dianjurkan hujung minggu ketiga setiap bulan.
Namun apakah sebenarnya keistimewaan Telok Blangah? Ini tujuh fakta menarik tentangnya:
TEMPAT SANG NILA UTAMA BUANG MAHKOTA
Kisah Telok Blangah dirakam dalam Hikayat Melayu, yang turut mengisahkan tentang bagaimana Sang Nila Utama menemui Singapura. Menurut Hikayat, dalam pelayaran menuju ke pulau Temasek, Sang Nila Utama melemparkan mahkotanya ke laut dekat pantai Telok Blangah untuk meredakan ribut kencang yang hampir menenggelamkan bahteranya.
Seorang hartawan China Wang Dayuan yang mengunjungi Singapura pada 1330an pernah menulis dalam catatan pelayarannya tentang penemuan sebuah mahkota di Longyamen. Longyamen, atau Pagar Gigi Naga, merupakan nama yang beliau gunakan untuk merujuk kepada kawasan yang dikenali sebagai Telok Blangah.
TEMPAT TINGGAL ORANG LAUT
Di perairan ini juga tinggalnya Orang Laut - yang bercucuk tanam di pantai dan menjual hasilnya kepada kapal-kapal yang berlalu.
Pada kurun ke-17, Orang Laut menjalin perikatan dengan Temenggong sebagai askar laut yang menjaga perairan Telok Blangah.
Malah, mantan Menteri Ehwal Sosial Othman Wok, juga merupakan keturunan Orang Laut. Moyangnya ialah salah seorang saksi perjanjian yang ditandatangani Temenggong dan Raffles pada 1819.
SARANG 'JACK SPARROW' SINGAPURA
Pada 1823, Raffles menafikan Temenggong sebahagian daripada hasil pendapatan Singapura. Kerabat diraja menghadapi masalah membayar pekerja-pekerjanya dan lantaran itu, masyarakat laut di bawah jagaan Temenggong mula melanun di perairan itu.
Penyelia Belanda di Riau merakam bagaimana kawasan itu "menjadi terkenal dengan ramai lanun yang tinggal di kawasan New Harbour (Pelabuhan Keppel) dan daerah Teluk Belanga di Singapura".
TEMPAT TINGGAL TEMENGGONG
Di sini jugalah tempat tinggal Temenggong Daeng Ibrahim pada suatu ketika. Temenggong mengumpulkan kuasa ekonominya menerusi pengumpulan percha, sejenis cairan getah.
Beliau disifatkan sebagai "antara pemimpin Melayu terkaya dalam dunia Melayu" pada ketika itu.
Selain hasil tanaman getah, Temenggong juga mendapat hasil dengan menyewakan kawasan itu kepada sebuah syarikat perkapalan Peninsular and Orient.
"PEMAJU" PERTAMA PELABUHAN KEPPEL
Henry Keppel sering diiktiraf bagi pembangunan Pelabuhan Keppel. Namun sebelum itu, Temenggong Daeng Ibrahim ialah orang yang mengarahkan pokok-pokok kayu bakau di kawasan itu ditebang dan paya dibersihkan untuk menjadi asas sebuah pelabuhan.
Dari kawasan Telok Blangah jugalah kerabat diraja mula mengasaskan beberapa kawasan kampung lain, termasuk Kampong Ulu, Kampong Rocher, Kampong Bahru, Kampong Bukit Mawla, Kampong Radin Mas, Kampong Pantai Chermin dan Kampong Heap Guan San.
MAKAM RADIN MAS
Kisah Radin Mas Ayu, puteri Jawa yang menurut legenda terbunuh semasa menyelamatkan nyawa ayahandanya, sudah dikenali ramai.
Di kawasan Telok Blangah terletak makamnya. Berdekatannya pula, di kaki Mount Faber, dahulu terletaknya mata air yang dipercayai mempunyai kebolehan mengubat orang yang sakit.
Namun apabila kawasan itu menjadi terlalu terkenal dan kehadiran para pengunjung mula mengganggu para penduduk, mata air itu ditimbus dengan simen.
TEMPAT BERTEDUH SEMASA KONFLIK
Diasaskan pada 1929, Gereja St Teresa di Telok Blangah adalah satu-satunya gereja Katolik di Singapura yang mempunyai ciri seni bina Romano-Byzantine.
Gereja tersebut menjadi tempat wanita-wanita menyelamatkan diri dari askar Jepun semasa penjajahannya di Singapura pada Perang Dunia Kedua.
Gereja itu juga menjadi tempat perlindungan semasa rusuhan tahun 1950an dan tempat berteduh sementara bagi mereka yang kehilangan tempat tinggal dalam kebakaran Bukit Ho Swee pada 1961.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.