7 perkara ini perlu dipertimbangkan semasa pilih prasekolah
SINGAPURA: Sektor prasekolah menjadi tumpuan baru-baru ini menyusuli kes-kes penderaan kanak-kanak di dua pusat prasekolah kendalian Kinderland.
Insiden-insiden itu mendorong penelitian terhadap langkah-langkah bagi memastikan keselamatan kanak-kanak terpelihara, di samping pertanyaan daripada ibu bapa yang prihatin tentang cara-cara memilih prasekolah yang sesuai.
Walaupun tiada cara yang sempurna, terdapat beberapa perkara yang boleh diambil perhatian oleh ibu bapa semasa mencari kemudahan penjagaan kanak-kanak.
Mediacorp mewawancara ibu bapa dan pakar pendidikan awal kanak-kanak untuk mendapatkan panduan berguna.
LOKASI
Antara perkara yang diutamakan oleh para ibu bapa adalah mencari prasekolah yang berdekatan dengan rumah atau tempat kerja.
Cik Faridah Salim, 36 tahun, berkata perjalanan yang lebih singkat membolehkan anaknya mendapat lebih banyak waktu rehat dan tidak terlalu tergesa-gesa menghantar anaknya ke sekolah pada waktu pagi.
Ibu kepada lima orang anak itu juga menyatakan bahawa pergi ke prasekolah yang terletak berhampiran menjadikannya lebih mudah untuk mengambil anak-anak jika mereka jatuh sakit di sekolah atau jika hujan.
Jika anda sedang mencari prasekolah berhampiran rumah atau tempat kerja anda, anda boleh melakukan carian menggunakan poskod anda di laman web Agensi Pembangunan Awal Kanak-Kanak (ECDA).
TEMPOH LESEN
Tempoh lesen prasekolah, antara enam bulan hingga 36 bulan, mungkin memberikan petunjuk tentang sejauh mana kemudahan itu dikendalikan.
Tempoh enam bulan, misalnya, menunjukkan bahawa prasekolah itu tidak memenuhi syarat-syarat tertentu. Ini mungkin termasuk insiden terpencil atau kawasan yang telah dikenal pasti oleh ECDA untuk penambahbaikan selanjutnya.
Lesen 12 bulan menunjukkan piawai jagaan yang "boleh diterima", manakala lesen 24 bulan menandakan bahawa prasekolah tersebut telah "menjangkaui" syarat-syarat pelesenan ECDA.
Agensi itu menambah bahawa ia melakukan lawatan mengejut secara berkala untuk memastikan pusat jagaan kanak-kanak memenuhi piawai jagaan yang ditetapkan seperti persekitaran fizikal, keselamatan, kebersihan, latihan kakitangan dan kurikulum.
PENTAULIAHAN SPARK
Satu lagi petunjuk mutu prasekolah ialah pentauliahan SPARK, walaupun ia tidak diwajibkan seperti pelesenan.
Dianugerahkan oleh ECDA, pensijilan SPARK bermatlamat untuk memberikan pengiktirafan dan sokongan kepada pemimpin prasekolah dalam usaha mereka untuk meningkatkan pengajaran dan pembelajaran.
Ibu bapa boleh meninjau-ninjau dan memeriksa senarai prasekolah yang diiktiraf SPARK di sini.
KUNJUNGI PRASEKOLAH, TANYA SOALAN
Sebelum memilih mana-mana prasekolah, lawatan ke pusat prasekolah yang telah anda senarai pendekkan adalah perlu, dedah sesetengah ibu bapa kepada Mediacorp kerana lawatan sedemikian memberikan gambaran tentang kemudahan dan sumber yang tersedia untuk kanak-kanak.
Profesor Madya Sirene Lim, Ketua dan Naib Dekan Program Jagaan Awal Kanak-Kanak di Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS) menyarankan beberapa soalan yang merangkumi perkara-perkara seperti budaya sekolah, protokol keselamatan, dasar disiplin, cara guru menangani murid yang mengalami kesulitan untuk belajar, serta kaedah komunikasi dengan ibu bapa.
Prof Madya Lim turut mencadangkan supaya berbincang dengan pengetua prasekolah untuk memahami falsafah prasekolah tersebut terhadap pendidikan untuk anak-anak kecil dan mengapa mereka memilih bidang kerjaya ini.
Beliau juga menawarkan petua lain - lihat papan buletin dan jenis dokumentasi pembelajaran kanak-kanak lain untuk melihat sama ada persekitarannya tersusun dengan baik sambil menggalak kanak-kanak supaya berdikari dan mempunyai peluang untuk membuat keputusan.
Menurut ibu berusia 33 tahun itu, anaknya yang berusia dua tahun menghidap penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) dua kali dalam tempoh dua bulan ketika belajar di prasekolah awalnya.
“Prasekolah anak saya ketika itu nampaknya tidak dapat membendung penularan virus itu (kerana) terdapat kes berterusan (HFMD) bagi tempoh yang agak lama,” tambahnya, sambil berkata kejadian itu mendorongnya untuk mencari prasekolah lain.
Menurut ECDA, pihak prasekolah dikehendaki memaklumkan ibu bapa jika murid mereka dijangkiti penyakit berjangkit. Ini bagi membolehkan ibu bapa untuk membuat keputusan berhemah sama ada untuk terus menghantar anak mereka ke prasekolah.
KURIKULUM
Jenis pengalaman pembelajaran yang disediakan oleh prasekolah perlu sesuai dengan perangai kanak-kanak, kata Prof Madya Lim.
“Sebagai contoh, jika pendekatan kurikulum dan pedagogi prasekolah ... banyak bergantung kepada pembelajaran akademik dan kerja dalam bilik darjah, program seperti ini mungkin sesuai dengan kanak-kanak yang benar-benar gemar duduk di meja, sudah mempunyai asas dalam pembelajaran akademik seperti membaca dan menulis," jelasnya.
"Jika pihak prasekolah menyediakan banyak objek untuk pembelajaran yang suka bermain, perbualan dan penerokaan berasaskan pergerakan, maka ini mungkin sesuai dengan kanak-kanak yang suka aktif secara fizikal dan sangat ingin tahu tentang persekitaran terdekat mereka dan suka bekerja dengan orang lain," menurut Prof Madya Lim.
BUDAYA PRASEKOLAH
Hakikatnya, pandangan ibu bapa terhadap sesebuah prasekolah mungkin dibentuk oleh apa yang mereka dapat perolehi tentang budaya pusat jagaan kanak-kanak tersebut.
"Saya fikir jika saya menempatkan cucu saya di sesebuah pusat jagaan kanak-kanak, saya akan terlebih dahulu menentukan bagaimana perasaan orang lain di sekeliling saya," kata Dr Christine Chen, Presiden Persatuan Pendidik Awal Kanak-Kanak (Singapura) atau AECES.
Beliau turut memberi contoh sebuah pusat jagaan kanak-kanak di mana beliau disambut dengan sopan oleh seorang kakitangan. "Saya dapat merasakan budaya yang mengutamakan keprihatinan, penjagaan dan kebaikan di pusat ini di mana pengunjung dihormati dan hubungan saling mempercayai boleh berkembang," tambahnya.
Prof Madya Lim menggalak ibu bapa untuk memberi perhatian kepada "iklim" keseluruhan prasekolah, sambil mengatakan ia harus menjadi persekitaran yang tenang dan saling menghormati di mana orang dewasa bertindak balas terhadap satu sama lain dan terhadap idea dan perasaan kanak-kanak.
"Apabila bekerja dengan kumpulan besar kanak-kanak kecil, prasekolah sepatutnya berasa seolah-olah seperti sebuah 'kampung' yang bersatu untuk menjaga dan mendidik kanak-kanak," tambahnya.
"Persekitarannya haruslah menjadi suatu suasana di mana kanak-kanak dan orang dewasa wujud bersama dan terlibat dalam pengalaman yang menyeronokkan, menggembirakan, dengan bunyi-bunyian yang produktif dan bukan suasana yang sunyi sepi."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.