Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

7 perangai anak yang dipelajari dari tingkah laku ibu bapa

Anggaran Waktu Membaca:
7 perangai anak yang dipelajari dari tingkah laku ibu bapa

Gambar fail keluarga. (Gambar: staticnak1983/iStock)

KUALA LUMPUR: Biasanya perangai anak berdasarkan apa yang dilihat melalui ibu bapanya sendiri. Ibu bapa adalah orang yang diperhatikan setiap hari oleh anak-anak.

Bukan setakat perhati tetapi juga meniru tingkah laku ibu bapa. Lebih-lebih lagi jika ada anak yang usianya tiga tahun ke atas, yang sudah pandai memerhati dan meniru perlakuan.

Bukan setakat tingkah laku, tetapi bahasa dan tutur kata juga turut ditiru. Menakutkan apabila difikir-fikir. Kadang-kadang kita sendiri tidak dapat kawal perkataan yang keluar dari mulut, lapor Astro AWANI menukil rencana daripada Pa&Ma.

Jadi setiap keputusan yang kita buat, setiap perkataan yang kita ucap, setiap tindakan yang kita ambil semuanya di bawah pemerhatian. Oleh siapa? Anak kita sendiri.

Anak kita belajar daripada kita. Sama ada positif atau negatif semuanya ditiru. Nurul Aziyana ada berkongsi maklumat yang berguna untuk peringatan kita sebagai ibu bapa.

Tujuh perangai anak akan belajar atau tiru dari ibu bapa adalah:

1. BAGAIMANA CARA BAPA LAYAN IBU

Jika bapa adalah jenis yang penyayang, mengambil berat dan berikan sokongan, layan ibu dengan hormat dan bermaruah, anak-anak akan berkelakuan yang sama pada isterinya nanti.

Tetapi jika sebaliknya, memang tidak mustahil si anak akan buat seperti itu pada isterinya. Apabila dia diajar dengan keganasan, tidak mustahil dia pun akan jadi ganas.

2. BAGAIMANA IBU BAPA MENGURUSKAN WANG

Kalau kita jenis boros, belanja ikut suka, anak pun mungkin jenis suka boros juga. Tetapi kalau kita ajar mereka menyimpan duit sejak kecil dan uruskan wang dengan bijak, sampai besar pandailah mereka uruskan perbelanjaan.

3. BAGAIMANA IBU BAPA LAYAN ORANG LAIN

Kalau kita suka merendah-rendahkan orang dan memarahi dengan bahasa kasar, tidak mustahil anak akan berperangai sama apabila sudah besar, lapor Astro AWANI.

Terutamanya apabila dalam kereta dan kita terperangkap dalam kesesakan, selepas itu memaki orang sebab bawa kereta terlalu perlahan.

Awas! Anak akan dengar apa yang keluar dari mulut kita. Sama juga apabila kita herdik orang di restoran kerana dek khidmat yang dilihat sebagai lambat.

4. BAGAIMANA IBU BAPA TUNJUK TANDA HORMAT PADA ORANG LEBIH TUA

Jika kita kurang ajar pada orang yang lebih tua dan berumur atau sentiasa melemparkan kata-kata kasar, anak-anak kita juga akan membesar dengan kurangnya rasa hormat kepada orang yang lebih dewasa termasuklah kita sendiri sebagai mak dan ayahnya.

5. KEJUJURAN IBU DAN AYAH

Anak-anak akan tahu kalau kita menipu. Mereka tahu jika kita cakap lain tapi buat lain. Cakap tidak serupa buat.

Kalau sentiasa cakap tidak betul, lama kelamaan anak-anak juga akan mula menipu kerana mereka sudah terbiasa dengan perlakuan yang tidak jujur.

6. UKURAN DISIPLIN DALAM MENJALANI KEHIDUPAN

Kalau kita makan banyak, selalu membazir, anak-anak juga akan terbiasa dengan keadaan macam itu.

Mereka tidak akan menghargai yang sedikit. Lambat laun perasaan tamak juga mungkin akan bersarang dalam kehidupan mereka, seperti dinukil daripada Astro AWANI.

Walau bagaimanapun, jika kita pilih untuk menjalani kehidupan yang berdisiplin, anak-anak kita akan buat pilihan lebih baik (dan sihat) dengan kehidupan mereka.

7. SIFAT PEMURAH

Kalau kita selalu terlibat dengan kerja-kerja amal, bersedekah, amalan-amalan baik ini juga akan diikuti oleh anak-anak.

Apa lagi kalau kita turut libatkan anak-anak dalam perkara ini contohnya hasil pengumpulan duit tabungan mereka, kita agihkan untuk tujuan sedekah.

Kesimpulannya, rumah adalah sekolah pertama anak. Sebetulnya memang segala personaliti kita lahir daripada asuhan dan didikan ibu dan ayah.

Sumber : Agensi berita/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan