Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

7 makanan berkhasiat bantu pastikan rambut lebih sihat, lebat

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Rambut bukan sahaja melindungi kulit kepala daripada kotoran dan pencemaran. Ia menyerlahkan gaya dan penampilan anda. Selain penjagaan yang baik, diet seharian memainkan peranan yang penting. Ia dapat mengelakkan keguguran rambut yang tidak diingini.

Begitu besar peranan rambut sebagai mahkota semula jadi manusia. Tidak kira jantina, penjagaan rambut bermula sejak usia muda. Sering kali punca masalah rambut dikaitkan dengan tekanan, pengambilan makanan yang tidak berkhasiat, penggunaan produk yang tidak sesuai, perubahan cuaca dan sebagainya.

Walaupun masalah rambut tidak memudaratkan keadaan fizikal tubuh tetapi ia akan menjejas penampilan, mengurangkan keyakinan diri dan sebagainya. Lantas, sebelum keguguran rambut menjadi mudarat lebih baik mencegahnya.

Bagi wanita berhijab anda juga perlu peka tentang penjagaan rambut agar ia tidak mudah gugur akibat kulit kepala yang berminyak. Tidak kira sama ada anda berhijab atau tidak, selain menggunakan syampu, perapi dan tonik yang menepati jenis rambut anda, cuba amalkan diet yang dapat menyumbang kepada kesihatan dan kecantikan rambut.

gugur
Gambar: Unsplash

KURANG KHASIAT

Menurut kajian, kepala manusia mempunyai anggaran 100,000 hingga 150,000 folikel rambut. Secara purata, kira-kira 100 helai rambut akan gugur setiap hari. Untuk mengelakkan keguguran rambut yang berterusan, penting untuk tidak mengabaikan tanda-tanda awal.

Rambut mempunyai sekitar 97 peratus protein. Apabila kekurangan protein dalam tubuh, ia akan menyukarkan rambut untuk tumbuh secara semula jadi setiap hari. Keadaan akan menjadi lebih buruk jika anda sedang melalui tekanan. Ia akan mengundang keguguran rambut yang banyak dari masa ke semasa.

Sekiranya anda sudah mempunyai tanda-tanda rambut gugur dengan banyak semasa mencucinya, pastikan untuk tangani segera. Selain menukar syampu, perapi atau tonik kepada yang lebih sesuai, anda juga harus memberi perhatian kepada pemakanan.

Makanan yang dinikmati setiap hari bukan sahaja dapat menyumbang kepada kesihatan tubuh. Ia juga dapat memberi kesan pada mahkota anda bagi jangka panjang. Apabila rambut cukup khasiat, ia akan tumbuh dengan lebat, cantik dan bersinar.

7 MAKANAN UNTUK RAMBUT SIHAT, LEBAT

1. TELUR

Putih dan kuning telur, kedua-duanya memainkan peranan yang penting untuk kesihatan secara menyeluruh. Putih telur diperkaya dengan kandungan protein sebanyak dua kali ganda jika dibandingkan dengan kuning telur. Protein yang ada dalam putih telur juga didapati mudah diserap oleh tubuh.

2. BIJIRIN

bijirin
Gambar: Unsplash

Bijirin dikatakan dapat mengelakkan rambut daripada menjadi botak. Menurut pakar rambut dan kulit kepala, keguguran rambut secara berlebihan mempunyai kaitan dengan kurangnya pengaliran darah ke kulit kepala. Selain itu keguguran juga boleh berlaku jika tubuh kekurangan protein, vitamin B dan E, asid lemak.

Semua khasiat itu boleh didapati dalam sajian bijirin penuh yang mengandungi bahan antioksida semula jadi. Ia dapat mencegah kesan radikal bebas dan negatif. Lantas, memberikan kesihatan berpanjangan untuk rambut.

3. IKAN SALMON

salmon
Gambar: Unsplash

Ikan salmon diperkaya dengan khasiat asid lemak Omega-3. Selain itu ia juga mengandungi protein, vitamin B12 dan zat besi. Terbukti sudah ikan salmon merupakan antara makanan yang dapat membantu mencantikkan rambut. Kehadiran protein dan vitamin D yang ada dalam ikan ini juga dikatakan dapat membantu rambut menjadi lebih kuat dan bebas daripada masalah keguguran.

Selain itu, asid lemak Omega-3 yang ada dalam ikan salmon juga dapat menyihatkan kulit kepala. Sementara minyak ikan pula membantu untuk menghidratkan rambut secara berterusan.

4. TIRAM

Diperkaya dengan zat zinc, ia membantu untuk mempercepatkan pertumbuhan rambut baru. Kekurangan zinc dalam tubuh boleh menyebabkan keguguran rambut dan kulit kepala mula menjadi kering atau ada kalanya bersisik. Selain diperkaya dengan zat zinc, tiram juga diperkaya dengan protein yang baik.

5. AYAM

ayam
Gambar: Unsplash

Bukan saja enak disantap begitu sahaja, daging ayam juga dapat memberi kesan pada rambut menerusi khasiatnya. Tahukah anda setiap helai rambut terdiri daripada jumlah besar protein?

Lantas, makanan yang mempunyai khasiat protein dapat menjadi nutrisi untuk merawat rambut.

Daging ayam bebas lemak didapati mengandungi protein yang tinggi. Selain itu ia juga mempunyai zat besi dan vitamin B yang membantu untuk memperkuatkan akar rambut. Di samping itu, mineral dan vitamin pula dapat mengelakkan masalah keguguran rambut.

6. KACANG

kacang
Gambar: Unsplash

Cemilan yang digemari ramai ini juga berperanan dalam memastikan kesihatan rambut. Pelbagai khasiat yang tersembunyi dalam kacang. Antaranya protein, zinc, vitamin dan zat besi.

Menurut pakar rambut, protein yang ada dalam kacang merah dan hijau dapat membantu untuk meningkatkan pertumbuhan rambut baru.

Apabila tubuh kekurangan vitamin, rambut mudah gugur dan rosak. Lantas, jika anda amalkan untuk menikmati kacang dalam diet seharian, ia dapat memberi kesan pada kesihatan rambut anda. Antaranya kacang merah dan kacang hijau.

7. BROKOLI

brocoli
Gambar: Unsplash

Dalam banyak-banyak sayur, brokoli didapati dapat menguatkan folikel rambut. Ia mengandungi vitamin yang diperlukan untuk setiap jenis rambut. Vitamin A, C dan B6 yang ada dalam sayur mampu memelihara kecantikan rambut dan membuatnya lebih kuat dan halus.

Selain itu vitamin lain yang terkandung dalam brokoli juga dapat merangsang pengeluaran minyak yang digelar sebum. Sebum memainkan peranan sebagai perapi dan pelembap semula jadi pada rambut. Pada masa yang sama, khasiat kalsium yang ada dalam brokoli juga dapat membantu untuk menguatkan folikel rambut.

Sumber : BERITA Mediacorp//fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan