Skip to main content

Gaya Hidup

7 lokasi kejiranan akan adakan sambutan Tahun Baharu 2026

Sambutan dan pertunjukan bunga api bagi meraikan ketibaan tahun baharu akan diadakan di pelbagai lokasi di pusat bandar dan kawasan kejiranan pada 31 Disember, menurut Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY) pada Rabu (12 Nov).
Anggaran Waktu Membaca:
7 lokasi kejiranan akan adakan sambutan Tahun Baharu 2026
Pertunjukan bunga api berlatarbelakangkan langit Marina Bay. (Gambar fail: Penguasa Pembangunan Semula Bandar)
Diterbitkan : 12 Nov 2025 10:26PM Dikemas Kini : 12 Nov 2025 10:30PM
SINGAPURA: Sambutan dan pertunjukan bunga api bagi meraikan ketibaan tahun baharu akan diadakan di pelbagai lokasi di pusat bandar dan kawasan kejiranan pada 31 Disember, menurut Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY) pada Rabu (12 Nov).

Pelbagai aktiviti, termasuk persembahan secara langsung dan acara mesra keluarga akan diadakan di Marina Bay, Hab Sukan Singapura, Sentosa dan Clarke Quay, serta tujuh lokasi lain di kawasan kejiranan.

Orang ramai yang menghadiri sambutan Tahun Baharu di Hab Sukan Singapura berpeluang menyaksikan pertunjukan bunga api yang akan bermula pada pukul 9.00 malam dan berlangsung selama 35 minit, menjadikannya pertunjukan bunga api paling lama tahun ini sempena sambutan tahun baharu di Singapura.

Konsert Countdown 2026, yang menampilkan kumpulan K-pop Super Junior sebagai bintang utama, turut akan diadakan di Hab Sukan Singapura, dengan penyanyi China Cheng Huan serta para pemuzik tempatan termasuk Benjamin Kheng, Tabitha Nauser dan Iman Fandi antara yang akan membuat persembahan.

Antara aktiviti sambutan lain di pusat bandar termasuk "Togetherland by World Christmas Market" di Marina Bay, sambutan tahun baharu "Let’s Celebrate 2026" oleh Mediacorp dan pertunjukan bunga api di Sentosa, serta persembahan muzik secara langsung dan pertunjukan dron di Clarke Quay.

Di kawasan-kawasan kejiranan, para penduduk boleh mengambil peluang untuk menyertai pelbagai aktiviti berasaskan keluarga dan menyaksikan persembahan-persembahan secara langsung.

Tujuh lokasi di kawasan kejiranan yang akan mengadakan sambutan tahun baharu adalah:

- Boon Lay
- Keat Hong
- Marsiling
- Nee Soon
- Punggol
- Tampines
- Woodlands

Butiran lanjut termasuk sorotan program bagi setiap lokasi sambutan tahun baharu akan dikongsi oleh Persatuan Rakyat (PA) pada awal Disember.

Para pekerja hijrahan juga berpeluang menyertai sambutan tahun baharu di lebih 10 asrama dan lima pusat rekreasi — Kranji, Penjuru, Soon Lee, Terusan dan Tuas South.

Pelbagai aktiviti akan diadakan termasuk persembahan secara langsung, gerai makanan, permainan karnival dan cabutan bertuah.

“Bagi menyokong aktiviti sambutan perayaan, pengendali pengangkutan awam sedang meneliti pelanjutan waktu perkhidmatan,” menurut MCCY, sambil menambah bahawa maklumat lanjut akan dikongsi tidak lama lagi.

Senarai penuh acara boleh didapati menerusi pautan ini.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita