7 jenis makanan untuk kulit cantik, awet muda
Ini 7 jenis makanan yang ditukil dari buku 'Beauty from the Inside Out' yang baik untuk meningkatkan kesihatan kulit.
Gambar buah-buahan. (Gambar: Facebook/ Rebel dietician)
INDONESIA: Sebut sahaja tentang makanan yang baik untuk kesihatan kulit, macam-macam jenis bahan dan makanan akan disebutkan. Tidak kira sama ada pandangan pakar solekan moden mahupun petua kecantikan tradisional, pasti anda pernah mendengar sepatah dua tip yang mengaitkan makanan tertentu dengan kejelitaan kulit.
Laman Merdeka.com menukil buku Beauty From the Inside Out (Kecantikan dari dalam) hasil penulisan Bobbi Brown, nama yang tidak asing lagi dalam dunia kecantikan.
Ini 7 jenis makanan yang ditukil dari buku itu yang baik untuk meningkatkan kesihatan kulit.
1. Sayur-sayuran dan Buah Merah
Tomato, lada merah dan sebarang makanan yang dikategorikan sebagai sayur merah dapat meningkatkan penghasilan kolagen. Jenis sayuran sebegini juga mengandungi lycopene yang membantu melindungi sel-sel kulit daripada radikal bebas dan kesan buruk cahaya matahari, selain boleh bertindak sebagai pelindung matahari yang semula jadi.
Namun begitu, anda masih memerlukan produk pelindung matahari untuk menawarkan perlindungan yang lebih menyeluruh. Sudah pasti lebih baik jika anda mempunyai perlindungan kulit dari dalam dan luar tubuh, bukan?
2. Sayuran berwarna oren
Sayuran berwarna oren biasanya mempunyai kandungan Vitamin A yang tinggi. Bukan sahaja ia cukup baik untuk deria penglihatan, vitamin ini juga mempunyai keupayaan untuk membantu sel-sel kulit lebih cepat membaiki diri daripada pelbagai kerosakan. Antara sayuran yang kaya dengan Vitamin A adalah lobak merah dan keledek.
3. Sayuran Hijau
Peminat sayur-sayuran boleh bergembira, kerana sayur hijau seperti kale, alfalfa dan bayam mempunyai banyak manfaat yang baik untuk kesihatan kulit. Sayuran sebegini bukan sahaja kaya dengan antioksidan, malah pelbagai sayuran hijau juga dapat membantu dan meningkatkan pengeluaran kolagen dalam tubuh. Untuk memastikan anda dapat kandungan zat yang optimum, pastikan anda memberi perhatian terhadap perkara-perkara penting dalam proses menyiapkan hidangan daripada mencuci sehingga memasak sayur-sayur itu.
4. Buah jeruk
Buah jeruk dan buah-buahan tropika kaya dengan Vitamin C boleh meningkatkan keupayaan tubuh menyerap zat, terutama dalam menjaga kulit yang sihat. Limau lemon, lime, oren, mangga, durian belanda dan betik misalnya bukan sahaja kaya dengan antioksidan dan Vitamin C tetapi juga mempunyai peranan penting dalam penghasilan kolagen dalam badan.
5. Badam
Meskipun sesetengah orang mempunyai alahan terhadap jenis makanan ini, sebenarnya jenis kekacang ini kaya dengan antioksidan dan Vitamin E yang baik untuk kulit. Salah satu daripada kacang itu adalah badam. Kacang ini diketahui dapat memberi kesan yang baik pada kulit jika dimakan secara tetap, seperti menjadikan kulit kelihatan lebih lembut dan sihat. Ia juga lebih kaya dengan khasiat protein.
6. Ikan
Bukan lagi satu rahsia untuk mengatakan jenis makanan seperti salmon dan sardin kaya dengan minyak omega-3 yang berperanan untuk menguatkan dan melindungi sel-sel kulit. Namun bagi anda yang benar-benar tidak suka makanan laut atau ikan, anda boleh menggantikannya dengan biji chia dan flax yang juga kaya dengan Omega-3
7. Makanan yang ditapai
Dengan rasa masamnya yang tersendiri, makanan yang dijadikan jeruk menyimpan banyak faedah untuk kesihatan kulit. Sebut sahaja kimchi (kubis jeruk), kombucha, tairu - ia semua sarat dengan prebiotik.
Menurut buku itu, selain membantu proses pencernaan yang lancar, makanan yang dijadikan tapai juga dapat meningkatkan penyerapan khasiat, detoksifikasi, mengurangkan keradangan dan meningkatkan fungsi imun dan mengembalikan keseimbangan hormon yang juga mempengaruhi kesihatan mata, rambut, kuku dan kulit.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.