Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

7 aktiviti cuti sekolah ini tidak perlu banyak belanja tapi tetap seronok

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Setibanya cuti sekolah, ibu bapa yang paling sibuk mengatur acara dan aktiviti untuk mengisi masa anak-anak kecil. Tidak kira cuti pendek atau panjang, inilah masa yang dinanti-nantikan oleh kanak-kanak kerana mereka tidak mempunyai jadual harian yang padat dan bebas melakukan apa sahaja di rumah.

Namun jika bercuti tanpa aktiviti, anak-anak pasti akan rasa bosan dan buntu tidak tahu nak buat apa di rumah. Sebagai ibu bapa, anda juga tidak harus membenarkan anak-anak untuk menghabiskan masa dengan ‘screen time’ atau bermain dengan telefon bimbit atau komputer sehari suntuk.

Walaupun cuti sekolah hanya seminggu, banyak yang boleh dilakukan bersama seisi keluarga tanpa perlu banyak belanja. Bagi yang tiada rancangan untuk ke seberang tambak atau ke mana-mana, terdapat pelbagai aktiviti yang boleh dilakukan di rumah atau berhampiran, dengan belanja yang minimum.

Yang penting menjimatkan, tidak membosankan dan dapat membuat anda sekeluarga terhibur. Jom! Cuba aktiviti-aktiviti berikut sepanjang cuti seminggu ini.

MENONTON FILEM

Inilah antara aktiviti yang menyeronokkan dan tidak perlu banyak belanja. Anda boleh adakan maraton untuk menonton filem bersama anak-anak di rumah melalui saluran seperti Netflix. Tidak perlu beli tiket dan waktu menontonnya juga tidak terhad.

Sebagai persiapan, anda boleh senaraikan filem-filem yang ingin ditonton. Jangan lupa untuk siapkan cemilan serta minuman kegemaran anak-anak. Antaranya, keropok, kentang goreng, sandwic, roti, piza dan sebagainya.

MEMASAK

Ini satu lagi aktiviti yang dapat dilakukan bersama seisi keluarga. Percayalah walaupun dapur berselerak, ia pasti menyeronokkan apabila anda dapat masak, membuat biskut atau kek bersama anak-anak di dapur. Ia pasti tidak membosankan kerana si ibu akan mempunyai ‘pembantu’ di dapur.

Si cilik pasti dapat berseronok sambil belajar cara-cara untuk membuat sajian kegemaran mereka. Ia juga lebih menjimatkan, tidak perlu makan di luar atau buat tempahan makanan. Lebih menarik sajian yang disediakan sendiri juga pasti lebih berkhasiat dan mengenyangkan.

RIADAH

Bagi yang mempunyai anak-anak kecil, ambil peluang ini untuk meneroka pusat riadah, taman rekreasi dan permainanan berhampiran rumah anda. Banyak kegiatan luar yang boleh dilakukan bersama anak-anak. Antaranya berbasikal, bersenam di taman rekreasi, kunjungi taman permainan, bermain layang, ke kolam renang dan banyak lagi.

PERMAINAN PAPAN

Jika cuaca hujan dan tidak dapat keluar rumah, anda juga boleh menghabiskan masa di rumah dengan bermain permainan papan atau 'board games' seperti Monopoly, Scrabble and banyak lagi.

Pasti kecoh dan terhibur kerana permainan-permainan ini juga dapat menduga minda anak-anak dan sekaligus membolehkan mereka untuk belajar sesuatu yang baru selain tingkatkan memori. Tidak kira mereka kalah atau menang dalam permainan ini bolehlah hadiahkan coklat atau snek kegemaran mereka!
PASAR

Bila kali terakhir anak-anak ikut ibu dan ayah untuk berbelanja di pasar atau pasar raya? Inilah antara aktiviti cuti sekolah yang bermanfaat untuk mereka. Bukan sahaja dapat membantu ibu dan ayah untuk membawa barang, anak-anak juga dapat belajar mengenai barang-barang yang ada di pasar.

Kenali jenis-jenis ikan, sayuran dan barang-barang makanan yang lain. Jika sebelum ini anak-anak selalu ke pasaraya, cuba sesuatu yang berbeza dengan menerokai pasar basah pula di kejiranan anda.
PROJEK DIY

Ambil kesempatan cuti sekolah seminggu ini untuk melakukan projek DIY di rumah. Antaranya, anda boleh bersama anak-anak untuk membuat rak-rak buku dan pakaian yang lama. Bukan sahaja mereka dapat mempelajari kemahiran baru tapi juga menikmati masa yang bermutu bersama anda.

Antaranya anda boleh melakukan aktiviti DIY atau membaik pulih barang dengan menggunakan bahan yang mudah didapati di sekitar rumah. Contohnya, anda boleh membantu anak-anak untuk membuat hiasan dinding dengan menggunakan bekas botol plastik atau membuat taman mini dalam botol.

Aktiviti-aktiviti DIY dipercayai dapat membantu untuk meningkatkan kemahiran kreatif selain mengembangkan daya imaginasi anak-anak.
MEMBACA

Rutin membaca buku bersama merupakan aktiviti yang baik untuk menghabiskan masa di rumah. Anda boleh memilih buku yang digemari anak-anak atau membaca bersama buku yang mereka gemari. Cara ini pasti dapat memupuk minat membaca pada anak-anak selain mengembangkan kemahiran bahasa mereka.

Pilihlah buku yang sesuai dengan usia dan minat anak-anak. Jika membaca secara rutin ia dapat membantu mengasah kemahiran membaca anak-anak dan sekali gus mengeratkan lagi hubungan emosi ibu bapa dan anak-anak melalui perbualan tentang kisah yang dibaca.

Aktiviti ini juga dapat tingkatkan kesedaran anak-anak tentang kepentingan membaca, membantu tingkatkan daya imaginasi dan pengetahuan baru. Lebih menarik jika anda dapat membawa mereka untuk teroka perpustakaan yang berhampiran dengan rumah anda.

Apa juga pilihan kegiatan atau aktiviti yang ingin dilakukan pada cuti sekolah Mac ini, pastikan ianya menarik dan dapat dimanfaatkan bersama selain menimba ilmu baru!

Selamat bercuti dan 'enjoy'!
Sumber : BERITA Mediacorp/ae

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan