Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

60% rakyat S'pura tidak cukup tidur angkara COVID-19

Anda mungkin pernah terbaca atau terdengar bahawa rakyat Singapura adalah antara penduduk yang paling kurang tidur di dunia.

Anggaran Waktu Membaca:
60% rakyat S'pura tidak cukup tidur angkara COVID-19

(Gambar: Unsplash)

Diterbitkan : 19 Mar 2021 10:02AM Dikemas Kini : 19 Mar 2021 10:03AM

SINGAPURA: Anda mungkin pernah terbaca atau terdengar bahawa rakyat Singapura adalah antara penduduk yang paling kurang tidur di dunia.

Dalam tinjauan yang dijalankan di 43 bandar pada 2014, Singapura adalah negara ketiga dengan penduduk paling kurang tidur, selepas Tokyo dan Seoul.

Dalam tinjauan baru-baru ini yang melibatkan 12 negara pada 2018, Singapura menduduki tangga kedua di belakang Britain.

Justeru, bagaimana pula kedudukan Singapura sekarang di tengah-tengah ketidaktentuan akibat COVID-19?

Dalam tinjauan tidur global pada 2021 yang dijalankan oleh Philips, Singapura menduduki tangga keempat selepas Jepun, Amerika Syarikat dan Britain. Dapatan daripada tinjauan terhadap 13,000 orang dewasa dari 13 negara di mana 1,000 berasal dari Singapura, diterbitkan sempena Hari Tidur Sedunia pada 19 Mac.

Meskipun Singapura jatuh ke tangga keempat, ini tidak bermakna para penduduk di sini mendapatkan mutu tidur yang memuaskan. Hakikatnya, hampir 60 peratus penduduk Singapura tidak dapat tidur lena kerana terjejas secara langsung oleh pandemik. Lebih sepertiga pula mengalami kesan negatif pada paras stres mereka, keupayaan untuk tidur lena, kesihatan mental/emosi, rutin tidur dan pekerjaan.

LEBIH BANYAK RINTANGAN UNTUK TIDUR LENA DI WAKTU MALAM

Hampir 30 peratus rakyat Singapura berkata mereka kini tidak dapat tidur secukupnya setiap malam. Lebih khusus, rakyat Singapura secara purata tidur selama 6.8 jam setiap malam, merosot daripada tujuh jam pada 2020. Menurut Yayasan Tidur Nasional, mereka yang berusia antara 18 dengan 64 tahun perlu tidur antara tujuh hingga sembilan jam.

Pada hari-hari biasa pula, rakyat Singapura tidak mendapatkan tidur secukupnya dan jumlah itu semakin berkurangan semasa pandemik. Secara purata, warga Singapura tidur selama 6.6 jam pada hari biasa (berbanding 6.7 jam pada 2020) dan 7.3 jam pada hujung minggu (berbanding 7.5 jam pada 2020).

Maka itu, tidak menghairankan mengapa hanya kurang separuh responden di Singapura berkata bahawa mereka dapat tidur secukupnya pada waktu malam dan hanya 21 peratus berasa segar setiap masa apabila bangun pagi.

TIP UNTUK DAPATKAN TIDUR SECUKUPNYA

Jika anda ingin mendapatkan tidur yang secukupnya dengan tidur awal, ini satu tip untuk anda: Jangan meluangkan masa untuk tidur tetapi sebaliknya menetapkan masa untuk tidur dan bangun pagi, kata Dr Han Hong Juan, pakar bedah konsultan telinga, hidung dan tekak (ENT) dan pengarah perubatan di The ENT, Voice & Snoring Clinic di Hospital Mount Elizabeth.

"Sebagai permulaan, rancang jadual tidur awal anda secara bertahap-tahap, misalnya pada pukul 11.45 malam kemudian pukul 11.30 malam sehingga anda mencecah waktu tidur yang disasarkan," katanya.

Selain daripada waktu tidur, mutu tidur penduduk Singapura juga agak membimbangkan.

Menurut tinjauan sama Philips yang dijalankan antara 17 Nov dengan 7 Dis 2020, 40 peratus melaporkan mereka terjaga dari tidur pada waktu malam. Walaupun sebelum ini mereka tidak mengalami sebarang isu, 35 peratus kini menghadapi kesukaran untuk tidur manakala 21 peratus mengalami kesulitan untuk tidur sepanjang malam.

Apa yang boleh anda lakukan jika kerap terjaga di waktu malam?

"Jika anda tidak boleh tidur selepas 20 hingga 30 minit, bangun dari katil dan lakukan sesuatu yang menenangkan (misalnya, mendengar muzik yang menenangkan) sehingga anda terasa mengantuk untuk tidur sekali lagi," cadang Dr Han.

Walaupun lebih 10 peratus rakyat Singapura terjaga dari tidur disebabkan oleh telefon bimbit dan tablet dan persekitaran tidur (16 peratus), rasa tertekan kini adalah gangguan tidur paling utama dalam kalangan lebih 30 peratus responden.

Hampir 60 peratus mengalami tekanan dalam bentuk tanggungjawab kerja manakala cabaran kewangan membelenggu lebih daripada separuh responden dan sepertiga mengalami tekanan akibat isu-isu keluarga.

30 peratus rakyat Singapura pula berasa tertekan kerana kesihatan diri atau keluarga mereka.

Bagi membantu anda tidur dengan lebih mudah, Dr Han mencadangkan supaya menulis segala kebimbangan yang membebankan minda anda dalam sebuah jurnal supaya dapat mengelakkan diri daripada memikirkan tentangnya sebelum tidur. Selain itu, beliau juga menyarankan supaya cuba menjarakkan sekurang-kurangnya beberapa jam antara waktu makan dan tidur, katanya. 

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan