6 tips berbasikal mengelilingi S'pura dengan selamat, selesa
Bagi anda yang baru berjinak-jinak dengan aktiviti berbasikal, pernahkah anda terasa ingin berhenti separuh jalan kerana tiba-tiba sakit pada punggung? Pernahkah anda juga terpaksa menahan rasa hendak buang air kecil kerana tidak dapat mencari tandas?

(Gambar: Tak Wai Cheong, SG PCN Cyclist)
SINGAPURA: Bagi anda yang baru berjinak-jinak dengan aktiviti berbasikal, pernahkah anda terasa ingin berhenti separuh jalan kerana tiba-tiba sakit pada punggung? Pernahkah anda juga terpaksa menahan rasa hendak buang air kecil kerana tidak dapat mencari tandas?
Dengan lebih ramai penduduk Singapura memilih aktiviti berbasikal sebagai kegiatan sukan atau masa untuk meluangkan bersama keluarga pada hujung minggu, ayuh kita cungkil tips daripada beberapa pengayuh basikal veteran tentang cara berbasikal dengan selamat dan selesa di Singapura.
Salah seorang daripada mereka ialah Tak Wai Cheong, yang memulakan kumpulan Facebook 'SG PCN' pada 2012.
Gara-gara pandemik, lebih ramai yang menyertai kumpulannya untuk mendapatkan tips dan panduan berbasikal di Singapura.
RANCANG PERJALANAN ANDA
Ini sesuatu yang wajib anda lakukan, melainkan jika anda merancang untuk melakukan aktiviti berbasikal secara spontan.

(Gambar: Tak Wai Cheong)
Tentu sekali anda tidak mahu mensia-siakan hujung minggu anda dengan berbasikal mengeliling sesuatu kawasan tanpa arah tuju atau mengayuh basikal hingga tiba di lebuh raya kerana anda membuat pusingan yang salah.
Jika perjalanannya jauh, pastikan anda merancang beberapa tempat perhentian untuk mengisi botol air dan menggunakan tandas.
Pastinya tiada sesiapa yang ingin mengayuh basikal dalam keadaan tergopoh-gapah mencari tandas.
LAKUKAN SENAMAN MEMANASKAN BADAN

(Gambar: iStock)
Apabila melakukan senaman memanaskan badan, pastikan anda meregangkan setiap bahagian tubuh anda termasuk leher, tangan dan lengan.
Memandangkan berbasikal melibatkan banyak pergerakan kaki dan paha, ramai pengayuh hanya menumpukan perhatian pada bahagian kaki mereka. Namun semasa berbasikal, kita pada asasnya mengekalkan postur yang sama sepanjang jalan, justeru bahagian tangan turut akan terasa lenguh.
PASTIKAN BAWA 2 BARANG KEPERLUAN INI

(Gambar: Decathlon)
Tentu sekali, ramai yang tidak mahu membawa terlalu banyak barang bersama mereka apabila pergi berbasikal.
Namun, berikut adalah dua barang keperluan yang wajib anda bawa bersama demi keselamatan diri.
Pertama sekali, pastikan anda membawa bersama sebuah kit alat tukang serbaguna untuk membaiki sebarang kerosakan pada basikal.
Selain itu, pastikan juga anda membawa kit bantuan kecemasan sekiranya anda mengalami sebarang kecederaan semasa berbasikal.
CARA TANGANI SAKIT PUNGGUNG SEMASA BERBASIKAL

(Gambar: iStock)
Ini sesuatu yang pasti pernah dialami oleh setiap pengayuh basikal. Namun, tidak semua yang tahu bahawa ada huraian mudah untuk mengatasi masalah ini.
Lazimnya, kebanyakan individu akan mula mengayuh basikal tanpa memeriksa tahap keselesaannya terlebih dahulu.
Ramai yang lebih selesa meletakkan tempat duduk basikal mereka secara melintang namun ada juga yang berasa lebih selesa jika ia condong sedikit ke hadapan.
Ketinggian tempat duduk itu juga penting kerana ia akan menimbulkan tekanan pada bahagian punggung anda ketika anda berbasikal.
Bahagian gagang basikal juga tidak boleh terlalu dekat atau jauh daripada anda kerana ia boleh menimbulkan rasa sakit semasa mengayuh basikal.
PANDUAN ABC

(Gambar: iStock)
Pastikan anda periksa dulu sebelum mula mengayuh basikal menggunakan panduan ABC seperti berikut:
A (Angin): Periksa tekanan tayar dan jika terdapat sebarang kerosakan
B (Brek): Periksa kabel dan uji keupayaannya.
C (Chain atau Rantai basikal ): Rantai basikal haruslah bersih dan dilincirkan kerana rantai kunci yang berkarat sangat berbahaya.
TANGANI PERJALANAN JAUH
Bagi mereka yang ingin mencabar diri dengan berbasikal sepanjang laluan seperti Laluan Sekeliling Pulau, atau Round Island Route (RIR), berikut adalah dua tips yang harus anda ketahui.
Pertama, cuba bertatih-tatih dulu dengan perjalanan jarak dekat sebelum anda memulakan perjalanan mengayuh jarak jauh. Anda boleh cuba mengayuh sejauh 50 kilometer hingga 80 kilometer. Ini bagi menguji tahap stamina dan memastikan basikal yang digunakan sesuai untuk anda.
Kedua, cari teman berbasikal yang sesuai. Laluan RIR bukanlah mudah justeru sangat digalakkan bagi anda untuk mencari teman berbasikal yang mempunyai tahap pengalaman dan kecergasan yang serupa dengan anda.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.