6 buku Dr Seuss henti penerbitan kerana gambaran bersifat perkauman
Enam buku kanak-kanak yang ditulis beberapa dekad lalu oleh Dr Seuss ditarik balik daripada penerbitan kerana mengandungi gambaran bersifat perkauman dan tidak sensitif, umum syarikat yang dibentuk untuk memelihara warisan mendiang penulis itu pada Selasa (2 Mac).
NEW YORK: Enam buku kanak-kanak yang ditulis beberapa dekad lalu oleh Dr Seuss ditarik balik daripada penerbitan kerana mengandungi gambaran bersifat perkauman dan tidak sensitif, umum syarikat yang dibentuk untuk memelihara warisan mendiang penulis itu pada Selasa (2 Mac).
Buku-buku tersebut - And to Think That I Saw It on Mulberry Street, If I Ran the Zoo, McElligot's Pool, On Beyond Zebra!, Scrambled Eggs Super! dan The Cat's Quizzer - adalah antara lebih 60 tajuk klasik yang ditulis oleh Dr Seuss, nama pena penulis dan pelukis Amerika Syarikat Theodor Geisel, yang meninggal dunia pada 1991.
"Buku-buku tersebut menggambarkan orang-orang dengan cara yang menyinggung perasaan dan salah," kata Dr Seuss Enterprises dalam satu kenyataan yang menjelaskan mengapa ia menghentikan penerbitannya.
Buku-buku itu, yang pada awalnya diterbitkan antara tahun 1937 dengan 1976, mengandungi banyak karikatur orang Asia dan kulit hitam yang memaparkan stereotaip yang dikritik sebagai berunsur perkauman.
Judul-judul karya Dr Seuss yang paling terkenal - The Cat in the Hat dan Green Eggs and Ham - tidak termasuk dalam senarai buku yang akan dihentikan penerbitannya. Oh, the Places You'll Go! yang sering mendahului senarai buku terlaris New York Times semasa musim tamat pengajian, juga tidak termasuk dalam senarai buku yang dihentikan penerbitannya.
Kontroversi mengenai gambaran oleh Dr Seuss berlegar sejak beberapa tahun. Pada 2017, isteri presiden ketika itu Melania Trump menawarkan derma 10 buku Dr Seuss kepada sebuah sekolah di Cambridge, Massachusetts. Pustakawannya menolak hadiah itu, menukil gambar-gambar yang dikritik sebagai "propaganda perkauman dan stereotaip berbahaya" yang mengisi halaman muka surat buku-buku itu.
Dr Seuss Enterprises menyatakan pihaknya bekerjasama dengan panel pakar, termasuk pendidik, untuk mengkaji semula katalognya dan membuat keputusan tahun lalu bagi menghentikan penerbitan dan pelesenan. Antara penerbitnya adalah Random House dan Vanguard Press.
Syarikat itu menyatakan langkah itu adalah langkah pertama dalam usaha mempromosikan sikap inklusif untuk semua kanak-kanak.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.