5 trend tidur yang patut (dan tak patut) anda cuba
Pelbagai petua berkaitan tidur dikongsi di media sosial.

Kebanyakan strategi yang dikongsi di media sosial berkenaan tidur tidak disokong bukti saintifik. (Ilustrasi: The New York Times/Albert Tercero)
Perkara tersebut khususnya benar bagi trend atau teknik yang menjanjikan hasil segera, kata beliau. Namun, ada juga strategi berasaskan sains yang boleh diterapkan untuk membolehkan anda tidur dengan lebih baik.
Rencana ini akan membincangkan beberapa saranan yang dikongsikan di media sosial, bagi membantu anda membezakan antara petua yang berguna atau sebaliknya.
1. PENGGUNAAN PITA MULUT
Sesetengah pengguna media sosial mendakwa bahawa penggunaan pita mulut — sejenis pita pelekat mesra kulit yang digunakan untuk menutup mulut — boleh mengurangkan dengkuran dan memperbaiki kualiti tidur dengan memaksa anda bernafas melalui hidung.
Namun, tiada bukti kukuh yang menunjukkan bahawa penggunaan pita berkenaan dapat meningkatkan kualiti tidur, kata Dr Akinbolaji Akingbola, seorang pakar perubatan tidur dari Universiti Minnesota.
Penggunaan pita mulut juga mungkin menyukarkan anda untuk mengesan masalah kesihatan sebenar yang menyebabkan dengkuran dan perkara tersebut mungkin menghambat anda daripada menerima rawatan yang sewajarnya, jelas Dr Kansagra.
2. HADKAN PENDEDAHAN CAHAYA BIRU
Cahaya biru, iaitu sejenis cahaya yang dipancarkan peranti elektronik seperti televisyen, telefon bijak dan komputer riba, boleh mengelirukan otak sehingga ia menyangka hari masih siang, sekali gus menyebabkan anda terus berjaga, kata Andrew W McHill, pakar tidur dan ritma sirkadian dari Universiti Kesihatan & Sains Oregon.
Sebarang trend yang menggalak anda mengelakkan pendedahan kepada cahaya biru sebelum tidur atau menggantikan lampu yang memancarkan cahaya biru dengan cahaya kuning atau merah, seperti yang disarankan sesetengah pengguna media sosial mungkin dapat membantu anda tidur lebih lena, menurut para pakar.
3. ELAK PENGGUNAAN SUPLEMEN SEBAGAI UBAT TIDUR
Suplemen biasanya tidak berbahaya jika diambil mengikut arahan, kata Dr Kansagra. Namun, pengambilan suplemen pada setiap malam boleh membawa kesan negatif. Di samping harganya yang mahal, pengambilan suplemen sebagai ubat tidur masih belum dikaji secara menyeluruh. Jadi, anda mungkin membelanjakan wang untuk sesuatu yang belum terbukti berkesan.
Selain itu, pengambilan suplemen juga mungkin menyelindungi masalah tidur yang lebih serius, yang memerlukan diagnosis dan pelan rawatan yang sewajarnya.
4. LAKUKAN SENAMAN MENTAL TERTENTU
Media sosial dipenuhi dengan pelbagai petua dari segi mental untuk tidur — seperti kaedah klasik “mengira kambing” — yang hanya memerlukan daya imaginasi anda.
Kaedah-kaedah itu belum dikaji secara menyeluruh, tetapi secara teori, ia masuk akal dan mungkin boleh membantu sesetengah individu tidur, kata Allison Harvey, profesor dan pakar psikologi klinikal dari Universiti California, Berkeley. Senaman mental boleh mengalihkan perhatian seseorang daripada kebimbangan atau fikiran yang mencetuskan tekanan dan mengganggu tidur, jelasnya.
Namun, beliau menambah bahawa kaedah sedemikian tidak semestinya berkesan untuk semua. Oleh itu, ia harus dianggap sebagai hanya salah satu strategi yang boleh membantu anda tidur, dan bukan satu-satunya cara untuk tidur.
5. SIMPAN JURNAL UNTUK CATAT KEBIMBANGAN
Sama ada menggunakan jurnal khas atau sekadar helaian kertas kosong, mencatatkan kebimbangan anda sebelum tidur seperti yang disarankan sesetengah pengguna media sosial boleh membantu anda tidur dengan lebih mudah, kata Dr Harvey.
Dr Akingbola juga setuju bahawa menulis mengenai perkara yang membimbangkan dalam jurnal boleh membantu dalam proses untuk tidur. Namun, beliau menasihatkan agar aktiviti itu tidak dilakukan di atas katil supaya anda tidak mengaitkan tempat tidur anda dengan pemikiran yang menimbulkan tekanan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.