5 tips menua dengan sihat sambil mencegah penyakit kronik
Walaupun risiko dijangkiti penyakit seperti Alzheimer, barah dan kencing manis meningkat seiring dengan usia, penyakit-penyakit sedemikian lazimnya mengambil tempoh berdekad-dekad untuk berkembang – memberi anda “masa yang panjang” untuk mencegahnya, kata Dr Eric Topol, pakar kardiologi dan pengasas Institut Penyelidikan Scripps.
Gaya hidup sihat boleh mengurangkan risiko penyakit berjangkit pada usia senja. (Ilustrasi: The New York Times/Sonia Pulido)
Anda boleh menerapkan strategi-strategi berikut untuk menua dengan lebih sihat:
1. MULAKAN LATIHAN KEKUATAN
Senaman secara berkala terbukti memanjangkan jangka hayat seseorang dan mengurangkan risiko penyakit seperti barah, kemurungan dan kencing manis.
Senaman menguatkan otot juga dikaitkan dengan mutu tidur yang lebih baik, tulang lebih kuat dan kesihatan mental yang lebih stabil.
2. TETAPKAN WAKTU TIDUR ANDA
Tidur yang mencukupi dapat mengurangkan risiko barah, angin ahmar dan pelbagai penyakit lain.
Selain itu, mengekalkan jadual tidur yang tetap juga penting, kerana kajian menunjukkan bahawa corak tidur yang tidak teratur boleh meningkatkan risiko kematian secara keseluruhan.
3. JAGA KESIHATAN MENTAL ANDA
Mengurus tekanan dan menjaga kesihatan mental secara menyeluruh dapat membantu mengurangkan risiko penyakit kronik dan kematian.
Langkah mudah seperti meluangkan masa di luar rumah juga boleh memberi kesan positif kepada kesihatan mental dan fizikal anda.
4. GUNAKAN UJIAN DAN ALAT PENJEJAK SECARA BERHEMAH
Dr Topol tidak mengesyorkan ujian penuaan yang ditawarkan di pasaran kerana harganya mahal dan hasil ujiannya juga mungkin tidak tepat.
Walaupun peranti seperti penjejak tidur dan glukosa boleh memberikan gambaran tentang tahap kesihatan, manfaatnya tetap terhad tanpa perubahan gaya hidup yang sebenar.
5. BERWASPADA TERHADAP PEMPENGARUH
Individu yang prihatin akan kesihatan dan ingin hidup lama mungkin melakukan penyelidikan sendiri, terutamanya jika doktor mereka tidak mengikuti perkembangan terkini dalam kemajuan teknologi. Namun, Dr Topol memberi amaran bahawa pempengaruh popular sering memberi pandangan yang berat sebelah.
Justeru, anda tidak harus mencuba-cuba menggunakan ubat-ubatan, terapi atau suplemen yang belum terbukti melalui ujian klinikal, tegasnya. Ini terutamanya kerana senaman, tidur yang mencukupi, kesihatan mental yang baik dan pemakanan seimbang jauh lebih berpotensi dalam memanjangkan usia serta meningkatkan mutu kesihatan anda, kata beliau.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.