Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

5 tempat untuk tonton siaran Piala Dunia secara percuma

Anggaran Waktu Membaca:
5 tempat untuk tonton siaran Piala Dunia secara percuma

Jewel Lapangan Terbang Changi akan menayangkan perlawanan Piala Dunia 2022 di Shiseido Forest Valley hingga ke perlawanan akhir. (Gambar: Facebook/Changi Airport)

Diterbitkan : 06 Dec 2022 11:53PM Dikemas Kini : 09 Dec 2022 04:25PM
SINGAPURA: Dengan kurang dua minggu lagi sebelum pusingan akhir Piala Dunia, terdapat banyak tempat di mana para peminat di Singapura dapat mengikuti perlawanan secara percuma.

Selepas perlawanan 16 pasukan di peringkat kalah mati, lapan pasukan bakal berentap di pusingan suku akhir antara 9 Dis hingga 11 Dis.

Perlawanan separuh akhir pula akan berlangsung pada 14 Dis dan 15 Dis, diikuti dengan perlawanan tempat ketiga pada 17 Dis. Piala Dunia 2022 di Qatar akan melabuhkan tirainya dengan perlawanan akhir pada 18 Dis.

Sama ada anda sedang mencari tempat yang menyediakan kudapan, minuman atau suasana yang mengasyikkan sedang anda menonton aksi pasukan kegemaran anda sehingga awal pagi, berikut adalah antara tempat yang menyiarkan perlawanan Piala Dunia secara percuma:

1. KELAB MASYARAKAT

Kesemua perlawanan akan ditayangkan secara percuma di 59 kelab masyarakat di merata negara.

Sesi-sesi tayangan juga menawarkan kegiatan sampingan seperti e-sukan, permainan foosball dan cabaran lain bertemakan bola sepak. Ada juga kelab masyarakat yang mengadakan cabutan bertuah.

Mereka yang mengikuti perlawanan pusingan 16 terakhir di Kelab Masyarakat Bukit Timah bukan saja dapat menikmati makanan yang disajikan secara percuma seperti prata dan aiskrim, tetapi mereka juga berpeluang memenangi iPad.

Di Kelab Masyarakat Gek Poh Ville, penonton diberikan kupon kudapan dan mereka boleh memilih antara pelbagai jenis makanan seperti sotong kering dan kerepek.

2. LAPANGAN TERBANG CHANGI

Sejak 21 Nov, Lapangan Terbang Changi melanjutkan waktu pembukaannya bagi menayangkan Piala Dunia yang berlangsung hingga 3.00 pagi.

Ruang ST3PS yang berhawa dingin di aras B2 Terminal 3 menyediakan tempat duduk untuk 200 penonton, dan ruang bagi 100 orang untuk berdiri.

Jika anda ingin menonton perlawanan dalam suasana serba indah, Jewel Lapangan Terbang Changi juga akan menyiarkan semua perlawanan Piala Dunia di Shiseido Forest Valley hingga ke perlawanan akhir.

Tempat itu boleh memuatkan sehingga 600 penonton. Anda boleh menonton perlawanan yang ditayangkan pada skrin LED yang digantung di tengah-tengah tanaman hijau. Anda dapat meletak kereta secara percuma sekiranya anda berbelanja sekurang-kurangnya S$20 dalam satu resit antara 10.00 malam hingga 6.00 pagi.

Anda perlu berbelanja di salah satu daripada sembilan kedai yang mengambil bahagian: 7-Eleven, A&W, Arteastiq and Arteastiq DePatio, Beauty in the Pot, Hitoyoshi Izakaya, McDonald's, Starbucks dan The Coffee Bean & Tea Leaf.

Kedai-kedai yang mengambil bahagian juga akan dibuka lewat pada hari-hari perlawanan.
Para pengunjung Jewel Lapangan Terbang Changi boleh menghiburkan hati dengan permainan konsol hingga 2 Jan 2023. (Gambar: Facebook/Changi Airport)
3. PUSAT ACTIVE SG

Lima pusat Sukan ActiveSG di Toa Payoh, Woodlands, Pasir Ris, Hougang dan Jurong West akan menayangkan kedua-dua perlawanan separuh akhir pada 3.00 pagi waktu Singapura, 14 dan 15 Dis, serta perlawanan akhir pada 11.00 malam, 18 Dis.

Sesi tayangan di Pusat Sukan Woodlands akan berlangsung bersebelahan kafe Citrus by the Pool, yang akan dibuka hingga jam 5.00 pagi. Pusat ActiveSG Pasir Ris juga mempunyai restoran McDonald's yang dibuka 24 jam sehari.

4. SAFRA

Anggota SAFRA boleh menjemput dua tetamu untuk menikmati tayangan percuma Piala Dunia di pusat riadah Jurong, Mount Faber, Punggol, Tampines, Toa Payoh dan Yishun.

Di SAFRA Mount Faber, mereka yang menonton perlawanan suku akhir hingga peringkat akhir diajak untuk meneka keputusan perlawanan sebelum perlawanan bermula. 10 peserta dengan tekaan paling tepat akan membawa pulang beg cenderahati bernilai S$10.

Di pusat riadah Toa Payoh, anggota SAFRA juga boleh menikmati kudapan dan minuman percuma. Ada juga aktiviti seperti cabaran foosball dan tendangan penalti pada hari perlawanan akhir.

Peminat yang rasa lapar ketika menonton perlawanan bagi perebutan tempat ketiga di SAFRA Tampines pada 17 Dis bakal disajikan sajian roti prata dan teh tarik percuma dari Singleaf.
5. HAB SUKAN SINGAPURA

Hab Sukan Singapura akan menayangkan perlawanan suku akhir, separuh akhir, perlawanan tempat ketiga dan perlawanan akhir di OCBC Square.

Versi gergasi bola perlawanan rasmi bagi Piala Dunia 2022 juga akan dipamerkan antara 10 Dis hingga 11 Dis.

Para peminat boleh bergambar dengan bola gergasi setinggi hampir 2 meter dan seberat 280 kilogram itu bagi memperingati acara tersebut.
Sumber : CNA/ZM/zm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan