Skip to main content

Gaya Hidup

5 tanda amaran masalah penghadaman yang tidak harus diabaikan, menurut doktor

Cirit-birit, perut kembung dan perubahan tabiat membuang air besar sering dianggap masalah biasa yang mungkin berpunca daripada tekanan, pemakanan atau jangkitan sementara.

Anggaran Waktu Membaca:
5 tanda amaran masalah penghadaman yang tidak harus diabaikan, menurut doktor

Masalah penghadaman seperti sakit perut, kembung dan cirit-birit yang berpanjangan mungkin memerlukan pemeriksaan doktor. (Gambar hiasan: iStock/Sitthiphong)

Diterbitkan : 18 Oct 2026 03:20PM
5 warning signs of digestive problems that should not be ignored, according to doctors
  • Gastroenterologists Dr Cathy Eng, Dr Baha Moshiree and Dr Andrew Chan warned that digestive symptoms considered common could point to more serious illnesses.
  • Warning signs include blood in the stool, sudden changes in bowel habits, diarrhoea lasting more than five to seven days, and difficulty swallowing.
  • Symptoms that wake someone from sleep, night sweats and unexplained weight loss of more than 10 per cent should also be reported to a doctor because they may be linked to infections, inflammatory bowel disease or cancer.
  • If symptoms do not improve within a few days to a few weeks, a primary care doctor can conduct an initial assessment and refer the patient to a gastroenterologist to identify the cause and necessary treatment.
Dijana oleh AI
NEW YORK: Cirit-birit, perut kembung dan perubahan tabiat membuang air besar sering dianggap masalah biasa yang mungkin berpunca daripada tekanan, pemakanan atau jangkitan sementara.

Namun, gejala yang sama juga boleh menjadi petanda masalah kesihatan lebih serius, termasuk penyakit radang usus dan barah kolorektal.

Menurut beberapa pakar gastroenterologi yang ditemu bual The New York Times, terdapat lima tanda amaran berkaitan sistem penghadaman yang tidak harus diabaikan.

1. DARAH DALAM NAJIS

Kehadiran darah dalam najis atau ketika membuang air besar merupakan antara tanda amaran yang memerlukan perhatian doktor.

Menurut Profesor Perubatan di Pusat Barah Vanderbilt-Ingram, Dr Cathy Eng, sesetengah individu menganggap pendarahan itu berpunca daripada buasir.

Buasir berlaku apabila saluran darah di sekitar dubur atau bahagian bawah rektum membengkak dan mengalami keradangan.

Keadaan itu boleh menyebabkan darah merah terang kelihatan pada kertas tandas, di dalam mangkuk tandas atau pada permukaan najis.

Bagaimanapun, Dr Eng berkata sukar untuk menentukan punca pendarahan berdasarkan rupa darah semata-mata.

Pakar gastroenterologi di Sekolah Perubatan Universiti Wake Forest, Dr Baha Moshiree, menjelaskan bahawa darah dalam najis juga boleh berpunca daripada barah kolorektal, penyakit Crohn, divertikulitis atau jangkitan usus tertentu.

Najis yang berwarna hitam seperti tar atau merah gelap pula mungkin menandakan pendarahan pada perut atau bahagian atas saluran penghadaman.

Antara puncanya termasuk ulser perut serta barah perut atau esofagus.

Dr Eng menasihatkan orang ramai supaya memaklumkan kepada doktor sekiranya mendapati darah dalam najis.

2. PERUBAHAN LUAR BIASA PADA TABIAT MEMBUANG AIR BESAR

Perubahan mendadak pada bentuk, kekerapan atau tekstur najis juga tidak harus dipandang ringan.

Menurut pakar gastroenterologi di Mass General Brigham, Boston, Dr Andrew Chan, perubahan itu termasuk sembelit yang baru dialami, cirit-birit atau najis yang menjadi lebih nipis daripada biasa.

Beliau berkata perubahan tanpa sebab yang jelas, seperti pertukaran diet, pengambilan ubat-ubatan, tekanan atau jadual kerja, mungkin menandakan gangguan pada sistem penghadaman.

Dr Eng menjelaskan bahawa ketumbuhan yang semakin membesar di dalam kolon boleh menyebabkan sembelit atau perubahan bentuk najis.

Keradangan usus pula boleh menyebabkan sembelit atau cirit-birit yang disertai sakit perut, angin dan kembung.

3. CIRIT-BIRIT BERPANJANGAN

Cirit-birit yang berlarutan lebih lima hingga tujuh hari, khususnya jika disertai sakit perut, kekejangan atau perubahan selera makan, wajar diperiksa doktor.

Dr Moshiree berkata jangkitan usus yang disebabkan oleh parasit seperti Cyclospora dan Giardia, atau bakteria Clostridioides difficile, boleh menyebabkan gejala tersebut.

Sesetengah jangkitan mungkin memerlukan antibiotik atau rawatan lain, bergantung pada puncanya.

Penyakit radang usus, termasuk penyakit Crohn dan kolitis ulseratif, juga boleh menyebabkan cirit-birit kronik, sakit perut serta kembung.

Selain itu, penyakit seliak, iaitu penyakit autoimun yang menyebabkan sistem imun menyerang usus kecil apabila seseorang mengambil gluten, boleh menyebabkan gejala yang serupa.

Dalam sesetengah kes, cirit-birit berpanjangan juga boleh menjadi tanda barah kolorektal, menurut Dr Eng.

4. KESUKARAN MENELAN MAKANAN

Kesakitan, ketidakselesaan atau kesukaran menelan makanan yang berulang juga memerlukan pemeriksaan doktor.

Dr Moshiree berkata gejala tersebut termasuk rasa seolah-olah makanan tersekat di kerongkong atau sukar bergerak dari mulut ke tekak.

Masalah saraf atau otot, termasuk penyakit Parkinson dan sklerosis berbilang, boleh menjejas proses menelan.

Keadaan yang menyebabkan penyumbatan pada saluran makanan, termasuk barah tekak atau esofagus, juga boleh menyukarkan makanan untuk melalui saluran tersebut.

Dr Chan menegaskan bahawa seseorang tidak perlu menunggu sehingga makanan benar-benar tersekat atau menyebabkan tercekik sebelum mendapatkan nasihat perubatan.

5. GEJALA PENGHADAMAN YANG MENGGANGGU TIDUR

Cirit-birit, sakit perut, kekejangan atau rasa mual yang menyebabkan seseorang terjaga daripada tidur juga merupakan tanda amaran.

Menurut Dr Moshiree, keadaan itu mungkin berpunca daripada penyakit serius seperti penyakit Crohn atau barah kolorektal.

Bagaimanapun, jangkitan virus pada perut atau keracunan makanan juga boleh menyebabkan seseorang terjaga pada waktu malam.

Masalah penghadaman yang lazimnya kurang serius, seperti sindrom usus rengsa (IBS), lebih jarang menyebabkan gangguan tidur sedemikian.

Dr Eng turut menasihatkan orang ramai supaya memaklumkan kepada doktor jika kerap mengalami peluh malam yang tidak berkaitan dengan menopaus.

Ini kerana peluh malam boleh menjadi gejala beberapa jenis barah, termasuk barah kolorektal dan pankreas.

PENURUNAN BERAT BADAN TANPA SEBAB JUGA PERLU DIPERIKSA

Selain lima tanda amaran tersebut, penurunan berat badan yang tidak dapat dijelaskan juga memerlukan perhatian.

Menurut Dr Moshiree, kehilangan lebih 10 peratus berat badan tanpa sebab yang jelas, tanpa mengira tempoh masa, wajar dimaklumkan kepada doktor.

Keadaan itu mungkin dikaitkan dengan barah saluran penghadaman, penyakit radang usus, penyumbatan usus atau gastroparesis.

Gastroparesis merupakan gangguan yang menyebabkan perut mengambil masa lebih lama daripada biasa untuk mengosongkan kandungannya.

Para pakar menasihatkan orang ramai supaya mendapatkan pemeriksaan doktor jika gejala penghadaman tidak pulih dalam tempoh beberapa hari hingga beberapa minggu, atau jika timbul tanda amaran yang membimbangkan.

Doktor di klinik jagaan primer boleh menjalankan pemeriksaan awal dan merujuk pesakit kepada pakar gastroenterologi jika perlu.
Sumber : New York Times/FD/fd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita