Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

5 senaman ringkas untuk kekal cergas, aktif sepanjang Ramadan

Anggaran Waktu Membaca:
5 senaman ringkas untuk kekal cergas, aktif sepanjang Ramadan

(Gambar: Petikan skrin video BERITAmediacorp/TikTok)

BERITAmediacorp: Menjalani ibadah puasa di bulan Ramadan menguji mental serta daya ketahanan tubuh kita.

Malah disebabkan itu, sebilangan individu memilih untuk tidak bersenam atau kekal aktif kerana mereka bimbang akan berasa letih, lesu dan lemah.

Sebenarnya, senaman tidak semestinya membuat anda berasa demikian. Senaman ringan bahkan dapat membantu untuk menguatkan serta melegakan otot anda daripada berasa tegang.

Dalam edisi kedua Rahmat Ramadan, BERITAmediacorp menyenaraikan lima jenis senaman ringan yang dapat dilakukan semasa bulan Ramadan ini, atas saranan ahli fisioterapi Muhd Fadhli dari The Rehab Lab.

1. Lakukan 'squat'

(Gambar: Petikan skrin video BERITAmediacorp/TikTok)

Senaman 'squat' menguatkan otot-otot di bahagian punggung. Malah senaman ini juga dapat mencegah penyakit seperti masalah tulang belakang.

Anda hanya perlu membengkokkan kaki pada 90 darjah dan anda akan mula merasa ketegangan di bahagian punggung. Apabila sudah merasakan ketegangan itu, anda boleh kembali berdiri.

Lakukan senaman ini 10 kali sebanyak tiga hingga empat pusingan. Anda juga boleh melakukannya dua kali sehari - pada waktu pagi dan pada sebelah malam.

2. Lakukan 'lunges'

(Gambar: Petikan skrin video BERITAmediacorp/TikTok)

Senaman kedua yang boleh dilakukan di bulan Ramadan adalah senaman 'lunges'.

Pergerakannya sangat mudah tetapi dapat dipraktikkan bagi menguatkan otot, terutama sekali untuk membantu berdiri bagi tempoh yang lama semasa solat tarawih.

Cara melakukan 'lunges' ialah dengan meletakkan satu kaki di belakang dan satu kaki di depan. Kemudian anda turunkan badan anda dan berdiri semula. Senaman ini boleh dilakukan 10 kali sebanyak dua hingga tiga pusingan, dua kali sehari. 

3. Regangkan otot yang tegang

stretch
(Gambar: Petikan skrin video BERITAmediacorp/TikTok)

Apabila kita tidak meminum air secukupnya semasa bulan puasa, jumlah air dalam badan kita akan berkurangan. Ini boleh menyebabkan otot-otot kita menjadi lebih tegang.

Cara meregangkan otot kaki ialah dengan berdiri dan tarik satu kaki ke bahagian punggung, di mana anda akan merasakan ketegangan di bahagian paha. Kekalkan posisi itu selama 10 saat.

Senaman ini dapat diulangi 10 kali bagi tiga ataupun empat pusingan dan dapat dilakukan seberapa banyak mungkin dalam sehari bagi melenturkan pergerakan kita itu.

4. Regangkan otot di bahagian belakang kaki

stretch
(Gambar: Petikan skrin video BERITAmediacorp/TikTok)

Apabila kita solat dan rukuk, kita akan merasakan ketegangan di bahagian belakang kaki. Oleh itu, untuk mengelak ketegangan tersebut, anda boleh lakukan senaman yang mudah ini.

Anda hanya perlu mengambil kerusi dan letakkan kaki di atas kerusi itu. Kemudian, bawa badan anda ke depan ke arah kerusi itu, di mana anda akan dapat rasa ketegangan di bahagian belakang otot kaki anda. 

Kekalkan posisi itu selama 10 saat dan ulangi senaman ini 10 kali. Ia boleh dilakukan pada waktu pagi dan malam ataupun seberapa banyak yang anda mampu. 

5. Berjalan pantas, berlari-lari anak atau berbasikal

jog
(Gambar: Petikan skrin video BERITAmediacorp/TikTok)

Senaman yang kelima adalah senaman untuk meningkatkan daya keupayaan kita. 

Apa yang anda boleh lakukan adalah senaman seperti berjalan pantas, berlari-lari anak atau berbasikal. Anda digalakkan melakukan senaman seperti ini selama 30 minit.

Anda juga boleh melakukan senaman ini empat atau lima kali seminggu. Namun ia juga boleh dilakukan secara bertahap-tahap, mengikut kemampuan anda.

Kelima-lima senaman ini adalah antara senaman ringkas yang boleh anda lakukan di bulan Ramadan supaya anda dapat menjadi lebih cergas dan sihat serta lebih selesa untuk beribadah.

Sumber : BERITA Mediacorp/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan