Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

5 pilihan wisata dalam negeri sempena NDP 2022

Ini 5 pilihan 'staycation' atau percutian dalam negeri yang menarik di sekitar kawasan Marina Bay.

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) 2022 mungkin kali terakhir anda berpeluang menyaksikan bunga api, pertunjukan terbang lalu dan banyak lagi berlatarbelakangkan latar langit Marina Bay.

Ini memandangkan tahun depan, NDP akan diadakan di Padang, dengan perbarisan-perbarisan selanjutnya dijangka berlangsung di Stadium Negara.

Jadi, apa kata anda meraikan hari kebangsaan ke-57 Singapura dengan menyaksikan perbarisan itu lebih dekat lagi sambil menikmati persekitaran mewah?

Ini 5 pilihan 'staycation' atau percutian dalam negeri yang menarik di sekitar kawasan Marina Bay.

1. PAN PACIFIC SINGAPORE
(Gambar: Pan Pacific Singapore)
Anda akan dapat menikmati pemandangan indah Marina Bay dan pakej 'Fireworks By The Bay' yang ditawarkan hotel ini membolehkan anda menyambut NDP dengan penuh gaya, tanpa pemandangan terhalang bunga api.

Anda boleh memilih untuk menginap di Pacific Club Harbour Select Studio, sebuah bilik seluas 65 meter persegi yang menyediakan tab mandi mewah serta akses eksklusif ke Pacific Club Lounge.

Jika anda bercuti inap sebagai satu keluarga, caj tambahan boleh dikenakan bagi kanak-kanak berusia enam hingga 12 tahun.

Turut perlu diambil perhatian, kanak-kanak berusia 12 tahun dan ke bawah hanya boleh mendapat akses ke Pacific CLub Lounge sebelum pukul 5.30 petang.

7 Raffles Blvd, Singapore 039595. Tel: 63368111.

2. PARKROYAL COLLECTION MARINA BAY
(Gambar: Parkroyal Collection Marina Bay)
Terletak berhampiran Pentas Terapung di Marina Bay, hartanah dengan 583 bilik itu membawa anda lebih dekat dengan acara NDP tanpa perlu berada di tempat duduk penonton yang sebenar.

Pakej 'Skyline National Day Celebration' termasuk bilik Marina Bay dengan beranda privet yang menghadap latar langit bandar dan pemandangan tidak terhalang bunga api.

Anda juga akan boleh menikmati kemudahan yang disusun khas sempena Hari Kebangsaan dan akses ke 'Wellness Floor' di tingkat lima, yang menyediakan gim 24 jam, kolam renang di tempat terbuka dan sebuah taman dengan pemandangan Marina Bay.

6 Raffles Boulevard Level 5, Parkroyal Collection Marina Bay, Singapore 039594. Tel: 68451118.

3. THE CAPITOL KEMPINSKI HOTEL SINGAPORE
(Gambar: The Capitol Kempinski)
Hanya setinggi empat tingkat, Capitol Kempinski mungkin tidak mempunyai pemandangan langsung atau dramatik Marina Bay. Namun lokasinya yang terletak dalam kawasan bangunan bersejarah sudah cukup menarik, sebagaimana pakej NDP 2022 'Fireworks Escape' hotel tersebut.

Disediakan bagi 'Grand Deluxe Rooms', 'Suites' dan 'Connecting Rooms', pakej itu termasuk sarapan bufet untuk dua orang di 15 Stamford, akses harian ke Executive Lounge bagi tetamu dewasa dari jam 6.00 petang hingga 8.00 malam dan akses eksklusif ke bumbung di Eden Residences bagi menonton pertunjukan bunga api Marina Bay.

15 Stamford Rd, Singapore 178906, Tel: 63688888.

4. FAIRMONT SINGAPORE
Gambar: Fairmont Hotel 
Meskipun secara teknikal ia bukanlah cuti inap berkaitan dengan NDP, Fairmont Pawcation adalah peluang baik bagi mereka yang memelihara haiwan untuk sama-sama bercuti inap dengan menyemarakkan lagi semangat cinta negara.

Pakej tersebut termasuk penginapan semalaman di Fairmont Room atau Signature Suite, sarapan untuk dua orang di Prego atau makan di dalam bilik dan kredit makan bernilai S$50 nett.

Anda dan pasangan anda boleh menjaga haiwan peliharaan anda secara bergilir-gilir sementara seorang lagi menikmati khidmat urut di Willow Stream Spa atau membeli-belah di Raffles City.

80 Bras Basah Rd, Singapore 189560. Tel: 63397777.

5. JW MARRIOTT HOTEL SINGAPORE SOUTH BEACH
(Gambar: JW Marriott Singapore South Beach)
Walaupun pada dasarnya ia juga bukan pakej cuti inap NDP, pakej 'JW Marriott South Beach’s Fun For The Whole Family' memberi peluang buat anda sekeluarga menikmati keseronokan bersama-sama sebelum NDP bermula.

Kemudahan 'Family by JW' termasuk panduan kegiatan dan peta penerokaan bagi menggalak kanak-kanak meneroka hotel itu - dua taman langit yang indah dan kolam-kolam renang - serta mengambil bahagian dalam kegiatan seperti kelas memasak, aktiviti berasaskan seni dan kelas kecergasan.

Pelekat, krayon dan poskad juga disediakan di dalam kamar hotel dan anda malah boleh meminta khemah comel dipasang untuk anak anda!

30 Beach Road, Nicoll Highway, 189763. Tel: 68181888.
Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan