Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

5 khasiat bijirin barli yang baik untuk kesihatan

Barli merupakan salah satu bijirin yang banyak digunakan dalam pembuatan roti, minuman dan hidangan lain.

Anggaran Waktu Membaca:
5 khasiat bijirin barli yang baik untuk kesihatan

(Gambar: Google)

Diterbitkan : 17 Jan 2021 08:21PM Dikemas Kini : 17 Jan 2021 08:25PM

KUALA LUMPUR: Barli merupakan salah satu bijirin yang banyak digunakan dalam pembuatan roti, minuman dan hidangan lain.

Sebagai bijirin penuh, ia kaya dengan serat, vitamin dan galian yang memberikannya banyak khasiat untuk kesihatan.

Memakan makanan yang kaya dengan bijirin penuh dapat mengurangkan risiko menghidap masalah kegemukan, kencing manis, penyakit jantung, sebahagian jenis barah dan masalah kesihatan kronik yang lain.

KESIHATAN JANTUNG DAN TEKANAN DARAH

Pelbagai khasiat yang ada pada barli dapat membantu sistem kardiovaskular.

1) Vitamin dan galian

Kandungan kalium, folat, zat besi dan vitamin B-6 serta rendah kolesterol pada barli dapat meningkatkan fungsi kardiovaskular.

Kajian menunjukkan bahawa memakan makanan yang kaya dengan vitamin B-6 dan folat dapat membantu mengurangkan tahap sebatian homosisteina (sejenis asid amino).

Ini kerana tahap sebatian homosisteina yang tinggi boleh meningkatkan risiko penyakit jantung.

Selain itu, kajian lain pula mendapati khasiat itu juga dapat membantu merendahkan faktor risiko penyakit jantung seperti tekanan darah tinggi.

Folat dan zat besi sangat penting untuk membentuk sel darah merah dan menyalurkan oksigen dalam darah bagi meningkatkan kesihatan jantung secara keseluruhannya.

Zat lain iaitu niasin, riboflavin, tiamin, folat, zat besi, magnesium dan selenium, berupaya meningkatkan proses pembentukan sel seperti membawa oksigen melalui darah dan fungsi kekebalan tubuh.

2. Kandungan serat

Serat dapat bantu meningkatkan kesihatan jantung dengan membantu menguruskan tekanan darah dan mengawal tahap kolesterol.

Lebih khusus lagi, serat beta glukan yang terdapat dalam barli mengurangkan lipoprotein berketumpatan rendah atau kolesterol tidak baik dengan menghalang asid hempedu dan mengeluarkannya daripada badan menerusi perkumuhan.

Satu kajian yang dilakukan pada 2008 menunjukkan dengan memakan tiga gram beta glukan setiap hari daripada produk berasakan barli, ia dapat mengurangkan tahap kolesterol sehingga lapan peratus.

3. Kesihatan tulang

Zat fosfrus, kalsium, kuprum, magnesium dan zink dalam barli menyumbang kepada peningkatan struktur serta kekuatan tulang.

Sebagai contoh, zink berperanan dalam pemineralan dan pertumbuhan tulang.

Sementara itu, kalsium, kalium, magnesium serta fosforus menyumbang kepada kesihatan tulang dan keperluan untuk mengekalkan kekuatan sistem rangka.

4. Kurangkan risiko hidap barah

Barli mengandungi selenium dan pengambilannya dalam diet harian boleh mencegah keradangan.

Menurut Institut Barah Negara Malaysia, individu yang menghidap sebahagian jenis keradangan kronik seperti penyakit Crohn, berisiko tinggi menghidap penyakit barah.

Ini kerana keradangan yang berlaku secara berpanjangan, ada kalanya boleh mencetuskan perubahan DNA yang menyebabkan sel terbahagi secara tidak terkawal.

Selenium juga bertindak sebagai antioksidan yang melindungi sel daripada kerosakan disebabkan oleh molekul iaitu radikal bebas.

Ia boleh meningkatkan risiko barah.

Selain itu, pengambilan tinggi serat berasaskan tumbuhan seperti barli juga boleh merendahkan risiko menghidap barah usus.

5. Keradangan

Kolin adalah zat lain yang dapat membantu mengurangkan keradangan.

Barli mengandungi betaina yang mana tubuh boleh menukarnya menjadi kolin.

Kolin membantu mendapatkan tidur yang baik, meningkatkan pergerakan otot dan daya ingatan.

Selain itu, ia juga dapat mengekalkan struktur membran selular, membantu penghantaran impuls dan penyerapan lemak. 

Sumber : Agensi berita/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan