5 cara untuk berjaya kekalkan azam Tahun Baru anda
Hampir 80 peratus daripada mereka yang membuat azam baru, gagal menepati azam tahun baru dalam tempoh tiga bulan pertama.
Gambar hiasan. (Gambar: Hoe Yeen Nie)
INDONESIA: Tinggal beberapa hari sahaja, Tahun Baru 2018 bakal menjelang. Seperti biasanya, ramai yang mungkin memulakan lembaran baru ini dengan azam baru atau ‘azam tahun baru’ untuk dipikul sepanjang tahun.
Namun demikian, semua orang yang mempunyai azam tahun baru pasti pernah mengalami fenomena ini, iaitu - tidak menepati azam tersebut!
Menurut satu kajian di Australia pada 2015, azam tahun baru secara lazimnya berkaitan dengan matlamat kesihatan, kewangan, hubungan, kerjaya, pelancongan dan pendidikan, menurut laporan JakartaPost.
Walaupun demikian, hampir 80 peratus daripada mereka yang membuat azam baru, gagal menepati azam tahun baru dalam tempoh tiga bulan pertama.
Dengan itu, inilah perkara yang kita boleh lakukan supaya azam tahun baru dapat ditepati:
1. MATLAMAT YANG REALISTIK
Jangan menyasarkan satu matlamat yang tidak realistik untuk dicapai. Jika anda gagal kerana ia tidak realistik, anda mungkin akan berasa kecewa dan akan berputus asa.
Oleh itu, lakarkan azam yang mudah dan dapat dilakukan dengan senang. Contohnya, azam tahun baru seperti "bersenam sekurang-kurangnya tiga kali seminggu" lebih mudah untuk ditepati berbanding "bersenam dua kali sehari, setiap hari."
2. AZAM ANDA HARUSLAH KHUSUS
Fikirkan aspek mana yang anda ingin memperbaiki diri anda dan mengutamakan perkara yang lebih penting.
Hanya dengan ini, anda dapat menumpukan azam anda dan berusaha untuk menepatinya, menurut JakartaPost.
Contohnya: "Untuk kesihatan saya, saya ingin memakan lebih banyak makanan berkhasiat tahun ini. Saya menyasarkan untuk memakan beras perang pada hari-hari biasa dan beras biasa pada hujung minggu."
3. BERITAHU MEREKA YANG TERSAYANG
Tidak menjadi masalah untuk memberitahu sahabat yang terdekat mengenai azam tahun baru anda. Ini kerana mereka boleh menyokong anda dan mengingatkan anda tentang pencapaian anda sejauh ini.
Mereka juga boleh berikan sokongan kepada anda dan memberikan maklum balas yang positif.
4. BERIKAN GANJARAN KEPADA DIRI ANDA
Setiap kemajuan anda, anda harus berikan ganjaran kepada diri anda, walaupun ia satu langkah yang amat kecil.
Anda tidak perlu menunggu sehingga semua azam anda tercapai sebelum memberikan ganjaran kepada diri anda. Anda harus menghargai proses untuk memberikan motivasi kepada diri anda, menurut JakartaPost.
5. LAKARKAN GARIS MASA
Mungkin juga apabila anda lakukan azam tahun baru, anda boleh melakarkan garis masa bagi setiap minggu yang khusus mahupun bulan supaya anda boleh memantau kemajuan anda.
Ini juga memberikan anda peluang untuk membuat semakan terhadap tahap kemajuan anda dan membuat perancangan untuk masa depan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.