Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

5 cara kekal segar sepanjang hari berpuasa

Anggaran Waktu Membaca:

KUALA LUMPUR: Bulan di mana umat Islam diwajibkan berpuasa, tidak makan atau minum dari terbit fajar sehingga terbenam matahari.

Cabarannya pasti ada, namun rahmatnya lebih menjadi dambaan, menjadikan ibadah antara tumpuan utama sepanjang bulan Ramadan.

Bercerita cabaran ketika berpuasa, selain menahan lapar, usaha untuk memastikan badan kekal hidrasi sering dibincangkan secara meluas.

Artikel terbitan Astro AWANI ini memetik portal perubatan, Hello Doktor, yang menyenaraikan lima tips untuk anda kekal hidrasi sepanjang 14 jam berpuasa.

1. Minum air secukupnya

Pastikan anda minum air secukupnya pada waktu malam, hari sebelum anda berpuasa keesokannya.

Kalau boleh, pastikan air botol tersedia di sisi anda dan cuba untuk minum sekurang-kurangnya satu atau dua gelas air setiap sejam.

Ketika bersahur pula, elakkan mengambil minuman bergula dan berkafein kerana ia akan menyebabkan anda berasa dahaga pada waktu siangnya.

2. Mandi

Selepas beberapa hari berpuasa, biasanya badan sudah boleh membiasakan diri dengan rasa dahaga pada waktu siang.

Sungguhpun demikian, anda mungkin mengalami gejala lain seperti keletihan, peningkatan suhu badan, peningkatan kadar denyutan dan pernafasan serta pening kepala.

Kalau ada salah satu simptom itu, apa kata anda cuba untuk mandi dengan air sejuk (bukan air sejuk bercampur ais).

Selain itu, cuba untuk biarkan diri anda di bawah pancuran air selama lima hingga 10 minit namun jika sedang bekerja, anda boleh basahkan tuala kecil dan sapukan tuala itu pada bahagian dahi, sekitar telinga dan leher, bahagian belakang badan dan dada.

3. Pakai pakaian bersesuaian

Pakaian memainkan peranan penting apatah lagi sekiranya berpuasa pada cuaca panas.

Antara tipsnya seperti dikongsikan Hello Doktor adalah memakai pakaian bersesuain dari aspek warna, fabrik dan lapisan pakaian yang dipakai.

Jika anda bekerja dalam bangunan, pilih warna yang terang dan jika kebanyakan waktu kerja anda berada di luar, anda boleh memilih warna yang gelap untuk melindungi diri daripada kesan matahari.

Begitupun, warna merah tidak digalakkan kerana cenderung menarik haba dan membuatkan ia terperangkap pada badan anda.

4. Amalkan senaman

Senaman sangat baik untuk membantu badan mengeluarkan toksin dan elemen lain yang boleh menyebabkan hidrasi.

Namun masa senaman itu sangat penting. Jika sebelum ini anda biasa bersenam pada waktu pagi namun ketika berpuasa, amalan itu harus ditukar.

Waktu terbaik adalah selepas dua atau tiga jam berbuka puasa tapi boleh juga cuba bersenam dalam satu jam atau 45 minit sebelum berbuka puasa - pembakaran lemak lebih jitu pada waktu itu.

Pastikan anda mengimbangi kembali air yang telah keluar dari badan sewaktu bersenam dengan minum banyak air sebelum tidur.

5. Berbuka dengan makanan sihat

Tatkala berbuka, pasti kita mengidam untuk makan pelbagai jenis makanan namun seeloknya, pilihlah makanan yang tidak mengandungi terlalu banyak gula kerana ia boleh menyebabkan dehidrasi.

Makanlah buah-buahan kerana ia adalah pilihan yang baik untuk membekalkan lebih banyak air. Makanan pedas dan masin juga sebenarnya meningkatkan keperluan air dalam badan.

Sekiranya mengambil makanan seperti itu, ambillah dalam kuantiti terkawal untuk membantu anda kekal hidrat ketika berpuasa.

Sumber : Agensi berita/AW/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan