Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

5 cara jaga kesihatan sempena Hari Raya ini

Anggaran Waktu Membaca:
5 cara jaga kesihatan sempena Hari Raya ini

Gambar fail sebuah keluarga di Singapura menyambut Hari Raya.

BERITAmediacorp: Umat Islam pastinya tidak sabar meraikan Hari Raya Aidilfitri hujung minggu ini selepas sebulan berpuasa.

Ramai juga yang pasti berasa teruja untuk berkunjung-kunjungan dan bertemu sanak saudara yang sudah lama tidak berjumpa.

Namun demikian, dalam kemeriahan suasana Hari Raya dengan lauk-pauk yang serba enak, usah lupa untuk terus menjaga pemakanan dan kesihatan semasa anda berjalan Raya.

Dalam edisi kelima Rahmat Ramadan, BERITAmediacorp menyenaraikan lima cara anda dapat menjaga kesihatan anda secara amnya sepanjang bulan Syawal nanti.

1. Kawal pengambilan makanan

Dengan lauk-pauk seperti lodeh, rendang dan sambal goreng pengantin yang biasanya dihidangkan, anda pasti berasa seronok untuk merasakan air tangan tuan rumah.

Namun, utamakan kesederhanaan dan keseimbangan kerana hidangan itu mungkin mengandungi kadar lemak dan kolesterol yang tinggi.

Sebaiknya, gunakan pinggan yang kecil supaya anda dapat mengawal pengambilan makanan dan tidak makan secara berlebihan.

2. Elakkan minuman bergula atau berkarbonat

Air sirap dan soda kerap dihidangkan semasa Hari Raya kerana ia mudah diperolehi dan dapat disediakan dalam jumlah yang banyak.

Minuman seumpama ini bagaimanapun mengandungi jumlah gula yang tinggi dan menggunakan banyak pewarna.

Oleh itu, adalah lebih baik sekiranya anda menghadkan pengambilan minuman sedemikian kerana anda dapat menambah kalori tanpa disedari.

3. Hadkan pengambilan kuih Raya

Kuih-muih Raya memang enak dimakan, lebih-lebih lagi kerana ia hanya akan dihidangkan setahun sekali.

Namun, ia biasanya diperbuat daripada mentega, gula, telur atau tepung gandum, yang apabila siap kelak, tetap mengandungi kadar lemak dan gula yang tinggi.

Seeloknya, anda menghadkan pengambilan kuih Raya semasa kunjung-mengunjung kerana banyak rumah yang bakal diziarahi - kesemuanya dengan kuih-muih yang beraneka.

4. Basuh tangan secara kerap

Di tengah-tengah gelombang COVID-19 sekarang ini, lebih ramai orang sekali lagi dijangkiti virus tersebut.

Oleh itu, semasa berjalan Raya nanti, anda digalakkan supaya terus berwaspada dan kerap membasuh tangan selepas bersalam-salaman.

Malah anda juga boleh berjaga-jaga dengan membasuh tangan selepas saling bertukar sampul Raya.

5. Duduk di rumah jika tidak sihat

Bukan sahaja bagi orang dewasa, ibu bapa yang mempunyai anak-anak kecil juga perlu memastikan anak-anak itu tidak keluar rumah jika ada yang demam atau berasa kurang sihat.

Jika perlu, anda digalakkan untuk mendapatkan nasihat doktor dan memastikan ubat-ubatan juga mencukupi.

Adalah lebih baik untuk tidak mendedahkan orang dewasa mahupun anak-anak yang kurang sihat kepada persekitaran yang boleh menjangkiti mereka yang masih sihat semasa Lebaran ini.

Yang pasti, kesihatan diri dan penjagaan makanan secara amnya masih perlu dijaga, walaupun selepas bulan Ramadan demi mengekalkan tubuh yang sihat sepanjang Syawal ini.

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan