Skip to main content

Gaya Hidup

4,000 langkah sehari kurangkan risiko kematian awal

Anggaran Waktu Membaca:
WARSAW: Kajian terbaharu menunjukkan jumlah kurang daripada 5,000 langkah mungkin sudah mencukupi untuk mendapatkan manfaat kesihatan.

Dalam petikan laporan BBC, kajian yang dijalankan terhadap lebih 226,000 orang di seluruh dunia menunjukkan bahawa 4,000 langkah sudah mencukupi untuk mengurangkan risiko kematian awal disebabkan sebarang faktor.

Dalam pada itu, lebih daripada 2,300 langkah sudah mencukupi untuk memberi manfaat kepada jantung dan saluran darah.

Profesor Maciej Banach dari Universiti Lodz, Poland berkata, walaupun jumlah ubat-ubatan canggih untuk rawatan semakin bertambah, ia bukanlah satu-satunya penyelesaian.

"Saya percaya kita sepatutnya sentiasa menekankan bahawa perubahan gaya hidup, termasuk pemakanan dan senaman, yang menjadi 'pahlawan' (faktor) utama dalam analisis kami, mungkin setidaknya sama atau bahkan lebih berkesan dalam mengurangkan risiko kardiovaskular dan memanjangkan hayat," katanya.

Dalam masa sama, para penyelidik memaklumkan, semakin banyak aktiviti berjalan dilakukan, semakin banyak manfaat kesihatan yang dapat dilihat.

Sementara itu, setiap tambahan 1,000 langkah melebihi 4,000 akan mengurangkan risiko kematian awal sebanyak 15 peratus sehingga 20,000 langkah.

Pasukan penyelidik dari Universiti Perubatan Lodz dan Sekolah Perubatan Universiti Johns Hopkins di Amerika Syarikat mendapati, manfaat berjalan ini terpakai kepada semua jantina dan umur, tanpa mengira di mana mereka tinggal.

Walau bagaimanapun, manfaat terbesar dilihat dalam kalangan individu berusia di bawah 60 tahun.
Menurut data Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), ketidakcukupan aktiviti fizikal menyebabkan 3.2 juta kematian setiap tahun iaitu punca keempat paling kerap berlaku di seluruh dunia.
Sumber : Sumber Web/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita