Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

4 tip mudah bagi sajian Lebaran lebih sihat

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Sambutan Hari Raya Aidilfitri adalah yang paling dinanti-nantikan oleh seluruh umat Islam.

Juadah Hari Raya yang lebih sihat tidak semestinya kurang lazat.

Dengan beberapa penyesuaian mudah pada sajian lauk-pauk, kuih-muih dan minuman kegemaran ramai, anda boleh mengurangkan makanan yang kurang sihat sambil menambah pengambilan zat.

Pakar Diet Hospital Besar Changi (CGH), Zakiah Mohd Halim berkongsi empat jenis makanan yang boleh disesuaikan dengan mudah agar anda dapat menggalak pemakanan lebih sihat dalam kalangan tetamu dan orang-orang tersayang.

1. Hidangan bersantan

Kebanyakan lauk-pauk yang biasanya disajikan pada Hari Raya seperti rendang, lauk lodeh dan sambal goreng pengantin mempunyai kandungan santan yang tinggi.

<p>Gambar: Qaz Farid/Unsplash</p>

Santan mengandungi lemak tepu (saturated fat) yang tinggi. Ia adalah jenis lemak yang kurang baik kerana boleh meningkatkan paras kolesterol dalam darah.

Sebaliknya, gantikan santan dengan santan kurang lemak, susu cair atau susu segar kurang lemak. Ini boleh membantu untuk mengurangkan kandungan lemak dalam pemakanan anda.

2. Minuman manis

Minuman yang gemar dihidangkan kepada tetamu sempena Hari Raya adalah minuman yang bergas atau sirap yang mengandungi kandungan gula yang tinggi.

<p>Gambar: Amanda Shepherd/Unsplash</p>

Anda boleh menyediakan air putih sebagai pilihan bagi tetamu. Ini juga bagi mengurangkan kalori berbanding minuman yang manis.

3. Sayur-sayuran & buah-buahan

Kebanyak sajian Hari Raya juga kurang mengandungi sayur-sayuran dan buah-buahan. Namun sayur-sayuran dan buah-buahan sangat penting untuk kesihatan kerana ia kaya dengan vitamin dan serat.

Pastikan anda menyediakan satu atau dua hidangan sayur-sayuran untuk memastikan pemakanan yang seimbang.

<p>Gambar: Lembaga Penggalakkan Kesihatan (HPB)</p>

Anda boleh mengikuti panduan My Healthy Plate yang disarankan oleh Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB).

Penuhkan separuh pinggan anda dengan sayur-sayuran dan buah-buahan, lagi suku pinggan anda dengan bijiran sempurna atau wholegrain (contohnya, beras perang atau brown rice) dan baki suku dengan daging serta jenis makanan lain.

Untuk lebihkan pemakanan buah-buahan, anda boleh menghidangkan buah-buahan segar sebagai sajian pencuci mulut yang ringan dan berkhasiat.

<p>Gambar: NormalCarob/Reddit</p>

Anda juga boleh menambah buah-buahan kepada pencuci mulut, contohnya agar-agar buah.

Agar-agar buah juga satu contoh pencuci mulut yang kurang lemak berbanding pencuci mulut lain.

Manisan dari buah-buahan membolehkan kita untuk mengurangkan gula tambahan yang mungkin disenaraikan dalam resepi. Ini juga boleh mengurangkan pengambilan gula sepanjang hari.

4. Makanan digoreng

Kurangkan makanan digoreng. Lazimnya dalam masakan lauk-pauk Melayu, bahan-bahan seperti daging dan ayam digoreng dahulu sebelum dimasak dengan rempah.

Namun anda boleh mencuba kaedah memasak alternatif, iaitu dengan memasak daging dan ayam bersama dengan perencah. Ini membolehkan anda untuk mengurangkan makanan yang digoreng.

Anda juga boleh menggunakan minyak masak lebih sihat seperti minyak bunga matahari, minyak canola, minyak kacang soya dan minyak zaitun.

Ini untuk menggantikan minyak masak yang mempunyai kandungan lemak tepu yang tinggi seperti minyak kelapa sawit (yang lazimnya dijual sebagai minyak sayur) dan minyak kelapa.

Sumber : BERITA Mediacorp/ZM/kf
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan