4 petua jamuan rumah terbuka Hari Raya lebih sihat untuk anda & tetamu

Suasana Hari Raya semasa berkunjung ke rumah sanak-saudara. (Gambar: Petikan skrin dari Youtube)
Lazimnya, kita akan menghidangkan dan dihidangkan dengan pelbagai juadah yang lazat-lazat.
Sebenarnya agak sukar untuk kita menolak hidangan yang disediakan. Untuk menahan godaan makanan yang berlebihan, kita boleh fikirkan bagaimana kita boleh sama-sama meraikan Hari Raya dengan makanan yang lebih sihat.
Semasa kita ingin menjamu selera ketika keluar beraya, kita boleh merancang strategi untuk memilih juadah makanan dengan lebih bijak.
Kita boleh makan sedikit di rumah supaya tidak terlalu lapar apabila sampai ke rumah yang dikunjungi. Kalau kita terlalu lapar, kita mungkin akan makan terlalu pantas dan berlebihan.

Cuba ambil pinggan kecil untuk makanan kita. Dengan cara ini, lebih mudah mengawal pengambilan makanan kita. Kita juga boleh menjauhkan diri secara fizikal daripada ruang makanan. Kalau ruang makan terlalu dekat, kita mudah tergoda untuk makan lebih. Kita boleh memberi tempat duduk kita kepada mereka yang lebih memerlukan dan kita bolehlah duduk lebih jauh dari ruang makanan.
Kalau boleh, pilihlah makanan yang rendah kalori, kurang minyak, kurang lemak dan kurang santan.
Hadkan pengambilan makanan manis dan berlemak. Pilih makanan yang tinggi serat. Berikan ruang untuk sayur-sayuran seperti makanan salad - selada, timun dan tomato yang dihidangkan bersama.
Kita boleh memilih buah-buahan segar sebagai makanan ringan atau pencuci mulut.

Hadkan Makanan Bergaram
Hadkan pengambilan makanan bergaram tinggi seperti kerepek. Kita boleh menukarnya dengan memilih kekacang seperti kacang pistachio, badam, gajus dan walnut. Elakkan makanan dan minuman yang diproses seperti koktail buah-buahan.
Ikut peraturan 20 minit. Kita mungkin pernah mendengar tentang panduan ini, tetapi adalah baik untuk mengingati bahawa tubuh kita mungkin mengambil masa kira-kira 20 minit untuk menyedari bahawa perut kita sudah penuh.
Semua minuman berwarna-warni yang kita lihat di meja, sama ada sirap bandung, strawberi F&N atau jus kotak, semuanya sarat dengan gula.
Tidak salah untuk minum minuman yang berwarna-warni, tetapi jadikannya sebagai kebiasaan untuk memilih air kosong kerana kita sepatutnya memakan kalori dan bukan meminum kalori.
Untuk menjadikan air lebih menyegarkan, kita boleh meletakkan ais, memerah jus lemon atau meletakkan daun pudina.
Dengan ini, harapan saya supaya kita boleh beraya dan menjamu selera dengan pilihan yang sedap tetapi sihat.

Hari Raya adalah perayaan yang penting dan masa untuk berjumpa keluarga dan teman-teman yang lama kita tidak jumpa. Hargai tawa dan sembang bersama mereka dan bukan setakat menjamu selera sahaja.
Sebagai tuan rumah, kita juga boleh menyediakan makanan yang lebih berkhasiat. Kita masih boleh menyediakan menu juadah yang sama dengan menukar sedikit cara kita menyiapkan makanan.
Rendang dimasak dengan daging yang direbus dalam santan dan rempah ratus, dan mempunyai sejarah yang panjang dengan versi berbeza sedikit di Malaysia, Singapura dan Indonesia.
Santan biasanya mempunyai kandungan lemak yang tinggi dan kebanyakan lemak adalah lemak tepu, yang dalam jumlah yang berlebihan, boleh meningkatkan tahap kolesterol darah kita.
Minyak masak biasa atau minyak sayur juga mengandungi lemak tepu. Kita boleh mengurangkan kandungan lemak tepu dalam hidangan rendang sebanyak 60% dengan memilih santan ringan dan menggunakan minyak kurang tepu seperti minyak kacang soya, jagung, bunga matahari, kacang tanah atau minyak zaitun.
Untuk nasi beriani dam ayam, kita boleh mengurangkan jumlah lemak dan kandungan lemak tepu hidangan dengan membuang kulit ayam dan menggunakan yogurt rendah lemak dan dengan menggunakan minyak masak yang kurang tepu.
Satu idea yang cukup baik ialah untuk memasak dengan mengasingkan kuah dari daging kita, seperti sate atau masakan stik lada hitam di mana kuah/sos lada hitam dipisahkan dari dagingnya.
Kita juga boleh menyiapkan daging/ayam bakar di mana kuahnya diasingkan. Dengan cara sedemikian, kita boleh menyukat kuah dan gulai yang selalu 'menggoda'.
Kita boleh mengubah suai masakan kita dengan membuat penggantian yang sihat tanpa menjejas rasanya. Hidangkan hidangan seperti rendang dan lontong dengan bijirin penuh dengan menggantikan nasi putih dengan nasi perang.

Hidangkan minuman dengan versi yang lebih sihat atau sediakan minuman yang baik untuk penghadaman.
Kita boleh menyediakan air yang dibubuh dengan buah-buahan seperti lemon, strawberi atau limau. Untuk air teh panas, kita juga boleh memilih teh buah yang tidak memerlukan tambahan gula. Halia juga bagus untuk kembung perut dan melegakan penghadaman. Kita boleh tambahkannya untuk resipi minuman. Kita boleh menukar sirap bandung dengan menggantikan susu sejat dengan susu rendah lemak.
Sukar untuk beraya tanpa pelbagai kuih dan biskut yang dihidangkan di meja. Kita boleh menjadikan pemakanan kita lebih sihat dengan menukar bahan masakan dengan pilihan yang lebih sihat.
Kita juga boleh memilih pemanis semula jadi daripada buah-buahan sebagai ganti bagi gula putih yang selalu kita gunakan. Dibandingkan dengan gula putih, kita juga boleh memilih gula perang dan madu untuk masakan dan minuman kita tetapi mesti terus mengamalkan kesederhanaan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.