4 pelajar tahun akhir Politeknik Temasek diberi peluang ubah elok bilik 'pop up' di Hotel Naumi
Konsep gerai sementara atau 'pop up' semakin digunakan sebagai satu strategi pemasaran popular di kalangan peniagaan.
SINGAPURA: Konsep gerai sementara atau 'pop up' semakin digunakan sebagai satu strategi pemasaran popular di kalangan peniagaan.
Sempena Minggu Reka Bentuk Singapura tahun ini, empat pelajar tahun akhir jurusan reka bentuk runcit dan hospitaliti Politeknik Temasek diberi peluang mengubah elok sebuah bilik 'pop up' di Hotel Naumi.
Cabaran yang dilontarkan - hias bilik ikut citarasa 'pelancong generasi baru'.
Satu tinjauan oleh agensi pelancongan online Expedia tahun lalu mendapati, hampir 70 peratus penduduk Singapura gemar melancong dalam negeri atau "staycation".
Sebahagian besar daripada jumlah ini pula merangkumi golongan "pelancong generasi baru", yang mahir dalam penggunaan teknologi dan merupakan pengguna tegar media sosial Instagram.
Jadi, bagaimana agaknya rupa bentuk bilik hotel idaman golongan itu?
Para pelajar berdepan dengan cabaran pertama mereka sejurus mendapat pelan susun atur bilik 'Project #210' itu.
Bukan sahaja ia tidak mempunyai tingkap tetapi ada struktur dinding di tengah bilik.
Namun, mereka tidak patah semangat.
"Saya dan kumpulan saya ingin meletakkan sarang lebah dan lebah di dinding itu kerana ia adalah satu feature wall. Sebelum ini, dinding ini ditutupi dengan langsir dan ia memberi idea kepada tetamu bahawa bilik ini mempunyai tingkap," kata Cik Nia Astira, yang merupakan pelajar tahun akhir Politeknik Temasek.
Warna rona jingga berserta karya seni kreatif yang menghiasi dinding, merubah wajah bilik itu menjadi ruang sesuai bergambar untuk Instagram.
"Projek ini wadah tepat bagi bakat-bakat muda untuk gabungkan pendidikan dengan peluang memberi sentuhan kreatif untuk mereka bentuk sebuah ruang. Mereka juga berpeluang bekerja dengan rakan kongsi kami, dan dapatkan pengalaman sebenar sebelum mereka tamat pengajian," menurut Pengurus Maklumat & Pemasaran, Hotel Naumi, Cik Allison De Cruz.
Reka bentuk bilik itu akan diubah setiap tiga bulan sehingga akhir tahun ini.
Orang ramai boleh menginap di bilik itu dengan mendaftar melalui lelaman Hotel Naumi.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.