Skip to main content

error

  • Could not retrieve the oEmbed resource.

Gaya Hidup

4 destinasi unik untuk penggemar kopi lepaskan ketagihan

Anggaran Waktu Membaca:
4 destinasi unik untuk penggemar kopi lepaskan ketagihan

Gambar: Instagram/ Ground Floor Coffee

SINGAPURA: Mendapatkan secawan kopi kini berbeza dengan zaman dahulu di mana pilihan terhad kepada
antara kopi o kosong, kopi c ataupun kopi siu dai dari kedai-kedai kopi sahaja.

Namun sekarang, bilangan kedai kopi naik berlipat ganda seiring dengan biji kopi antarabangsa yang tumbuh pesat sejak lewat kebelakangan ini.

Ia sekali gus memantapkan lagi arena kopi Singapura dan menjadikannya mudah untuk mendapatkan secawan kopi yang memuaskan citarasa di setiap sudut negara ini.

Bahkan, beberapa pilihan unik juga tersedia - perniagaan dari rumah (HBB) yang menjual kopi terus melalui tingkap HDB, kereta sorong kopi yang mudah alih dan sebuah kedai kopi di atas bumbung sebuah bangunan perindustrian.

Berikut adalah senarai destinasi kopi di Singapura yang bukan sekadar unik konsepnya tetapi juga enak rasanya.

GROUND FLOOR COFFEE

Pemilik Ground Floor Coffee, Adhwa Hasif, membancuh kopi buat pelanggannya secara langsung dari tingkap flat HDB beliau.

Sesuai dengan nama yang diberikan, Ground Floor Coffee merupakan perniagaan dari rumah kendalian Encik Hasif dari rumahnya di tingkat bawah sebuah flat di Pasir Ris.

Jurugambar bebas dan barista yang belajar sendiri itu sudah mengendalikan stesen kopi gaya tersendirinya sejak awal Julai.

Stesen kopi itu kini tular di media sosial, menarik pelanggan dari merata Singapura untuk mencuba kopi-kopinya yang sentiasa laris dijual.

"Kadangkala, kami harus berhenti operasi lebih awal kerana tidak cukup cawan ataupun susu. Jadi secara purata, (kami) menjual kira-kira 40 hingga 50 cawan (sehari)," kata Encik Hasif ketika diwawancara oleh AsiaOne.

Kegemaran pelanggan termasuk 'lavendar latte' yang dijual pada harga S$6 dan kek gula hangus berharga S$2.50.

Jika anda tertanya-tanya mengenai status perniagaan HBB itu, menurut Encik Hasif, ia sudahpun didaftarkan dengan Penguasa Pengawalan Perakaunan dan Korporat (ACRA) serta memiliki sijil kebersihan makanan.

Ground Floor Coffee terletak di 214 Pasir Ris Street 21.

COEXIST COFFEE CO

Coexist Coffee Co ada tiga cawangan secara keseluruhannya tetapi satu daripadanya, terceruk di sebuah bangunan perindustrian yang terletak berhampiran dengan Taman Semula Jadi Bukit Batok, jelas sekali menyerlah.

Kafe yang mesra Instagram dengan dinding dua warna itu terletak di bumbung Hillview Building - dahululnya menempatkan kantin lama bangunan itu. (Tip: Naik lif ke tingkat tujuh bangunan itu sebelum naik tangga ke tingkat lapan.)

Menurut laman webnya, Coexist Coffee Co diasaskan oleh tiga kawan yang menjalani Perkhidmatan Negara (NS) bersama-sama.

Ia menawarkan biji kopi yang dipilih sendiri sumbernya dan dipanggang beberapa kali sebelum dijual kepada para pelanggan.

Kafe itu juga menyediakan pelbagai hidangan termasuk serta sarapan yang boleh dipesan sepanjang hari selain santapan tengah hari. Untuk mengelakkan daripada beratur panjang dan kesesakan waktu sibuk, selain memanfaatkan masa terbaik untuk bergambar, pelanggan disyorkan untuk mengunjungi kafe itu sebelum pukul 2.30 petang.

Coexist Coffee Co. terletak di 48 Hillview Ter, Hillview Building #08-00, Singapura 669269.

COTOB COFFEE (Chip Off The Old Block)

Dimulakan oleh pengasas Tolido’s Espresso Nook, Vivian dan Douglas, Chip Off The Old Block (COTOB) adalah khidmat kereta sorong kopi mudah alih yang menggunakan mesin La Marzocco Linea Mini - jenama mesin kopi espreso komersil yang mewah buatan Itali.

Menurut akaun rasmi TikToknya, pasangan tersebut pada awalnya memulakan khidmat kereta sorong itu pada 2019 di acara-acara, namun ia terpaksa ditutup akibat pandemik. Pada 2021, mereka memutuskan untuk memasang persediaan kopi di rumah sendiri dan mula membancuh kopi buat jiran tetangga.

Kereta sorong kopi mudah alih COTOB kini sambung semula operasi dan sedia untuk ditempah bagi pelbagai acara.

Anda boleh lungsuri laman web atau Instagramnya untuk mendapatkan lebih banyak maklumat.

SUZUKI CAFE AND ROASTERY

Kafe dihias bagai kedai teh Jepun dan terletak di sebuah kilang di Boon Lay benar-benar sesuatu yang luar biasa.

Suzuki Gourmet Coffee bukan setakat antara kedai panggang kopi yang tertua di Singapura (beroperasi sejak 1979), ia juga menawarkan pilihan luas kopi mewah dari Asia.

Dalam menunya, terdapat minuman berasaskan espreso yang menggunakan biji kopi Arabika asal tunggal, dipanggang di Suzuki Roasting Factory yang terletak bersebelahan dengan kedai itu.

Laman web kafe itu juga menjanjikan susu segar dari Hokkaido serta beraneka pencuci mulut asli Jepun.

Suzuki Gourmet Coffee terletak di 8 Chin Bee Ave, Singapura 619932.

Waktu operasi: Dari 10.00 pagi hingga 5.00 petang pada Isnin hingga Jumaat dan 10.00 pagi hingga 4.00 petang pada Sabtu. 
Sumber : CNA/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita