4 cara menentukan telur masih segar atau tidak
Baru-baru ini berlaku satu kes keracunan makanan yang membawa maut di Malaysia melibatkan puding buih.

(Gambar: Unsplash)
MALAYSIA: Baru-baru ini berlaku satu kes keracunan makanan yang membawa maut di Malaysia melibatkan puding buih.
Dalam kejadian yang dilaporkan pada 27 Mei lalu, 99 mangsa daripada 20 keluarga turut dikesan mengalami gejala keracunan tersebut.
Setelah disiasat, punca keracunan dikenalpasti akibat penggunaan telur yang sudah tamat tempoh, menurut laporan SinarPlus.
Menurut kajian saintifik, tahap mutu selaput perlindungan telur akan mempengaruhi tahap kesegarannya.
Selaput perlindungan telur wujud secara semula jadi bagi melindungi kandungan telur daripada dicemari bakteria, menurut SinarPlus.
Kulit telur pula mempunyai liang-liang halus di seluruh permukaan bagi menghalang kemasukan bakteria dan udara dari persekitaran.
Jika telur itu sudah lama atau tamat tempoh, selaput perlindungannya menjadi nipis dan liang-liang halus pada permukaan kulit telur akan menjadi semakin terbuka, lalu menyebabkan telur mudah dicemari oleh bakteria.
Berikut adalah cara-cara bagi memastikan jika telur masih selamat digunakan:
1. Hidu aroma bau telur
Telur yang sudah rosak akan mengeluarkan bau busuk atau lebih mudah dipanggil telur tembelang (telur busuk).
Jika ia berlaku, buang telur berkenaan dengan segera.
Kaedah ini juga dipercayai ramai, justeru ia menjadi kelaziman untuk mencium bau telur sebelum ia digunakan.
2. Lihat keadaan kuning dan putih telur
Pecahkan telur terlebih dahulu bagi melihat keadaan kuning dan putih telur.
Telur yang segar mempunyai kuning telur yang kelihatan masih kukuh dan elok bentuk bulatnya.
Namun jika telur itu sudah lama, kuning telurnya kelihatan agak leper dan cair. Kadang kala juga, ada yang melekat pada kulit telur.
Selain itu, anda juga perlu perhatikan keadaan putih telur. Jika warnanya keruh dan agak melekit serta tidak cair, ini bermakna telur itu masih segar.
Namun jika ia mengeluarkan warna yang agak jernih dan kelihatan cair, ini bermakna telur itu sudah lama.
3. Rendam telur dalam air
Satu lagi kaedah popular yang kerap dilakukan adalah merendam telur dalam semangkuk air sejuk lalu lihat sama ada telur itu tenggelam atau terapung.
Telur segar akan tenggelam pada dasar air manakala telur lama akan timbul pada permukaan air.
Hal demikian berlaku kerana apabila semakin lama usia telur itu, semakin banyak udara yang memasuki telur melalui liang-liang halus pada kulit telur. Ini sekali gus menyebabkan telur mudah terapung dalam air.
4. Periksa tarikh luput telur
Kebanyakan telur yang dijual di pasar raya akan ditandakan dengan tarikh luput sama ada pada kotak bungkusan atau pada permukaan kulit telur.
Menurut Jabatan Pertanian Amerika Syarikat, risiko utama daripada makan telur buruk ialah jangkitan bakteria Salmonella yang boleh menyebabkan cirit-birit, muntah dan demam.
Bagi mengelakkan telur tercemar, anda boleh menyimpan telur dalam peti sejuk, buang telur yang sudah retak kulitnya dan memasak telur dengan betul sebelum ia dihidang.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.