300 duta kesihatan akan dilatih, didik orang ramai cegah osteoporosis
Osteoporosis, iaitu kerapuhan tulang, sering kali dikatakan menjejas golongan warga tua saja. Tanggapan ini tidak benar sama sekali.
Warga emas melakukan senaman mengangkat berat semasa satu karnival Hospital Universiti Nasional (NUH) pada 2019. (Gambar: Masagos Zulkifli/Facebook)
SINGAPURA: Osteoporosis, iaitu kerapuhan tulang, sering kali dikatakan menjejas golongan warga tua saja.
Tanggapan ini tidak benar sama sekali.
Menteri Kedua Kesihatan Masagos Zulkifli menarik perhatian tentang peri pentingnya ‘menabung’ kandungan kalsium dalam tubuh sejak muda lagi bagi menguatkan tulang untuk mencegah osteoporosis apabila meniti usia senja kelak.
Bagi meningkatkan kesedaran tentang langkah-langkah mencegah osteoporosis, Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB) dan Persatuan Osteoporosis Singapura (OSS) sedang bekerjasama untuk melatih 300 Duta Kesihatan Tulang, menurut Encik Masagos dalam catatan Facebooknya pada Isnin (20 Okt).
Duta-duta itu akan menyokong acara-acara kemasyarakatan dan sesi-sesi pendidikan awam yang dikendalikan oleh para pakar jagaan kesihatan.
Mereka akan memainkan peranan penting untuk meningkatkan kesedaran tentang langkah-langkah bagi mencegah para penduduk yang berusia lebih 50 tahun daripada terjatuh. Ini memandangkan osteoporosis boleh meningkatkan risiko keretakan tulang dalam kalangan warga tua.
Ini dilakukan dengan membekalkan orang ramai dengan maklumat seperti tip-tip pemakanan bagi menjaga kesihatan tulang dan senaman mengangkat berat yang ringkas lagi mudah dilakukan di rumah.
Kira-kira 120 peserta mengikuti bengkel online yang diadakan buat julung-julung kalinya bulan lalu untuk mempelajari tentang kesihatan tulang menerusi ceramah interaktif dan simulasi.
Sempena Hari Osteoporosis Sedunia, Encik Masagos mengajak orang ramai mengamalkan tabiat berikut bagi mencegah osteoporosis:
- Meningkatkan pengambilan makanan yang kaya dengan kalsium
- Kerap bersenam
- Jangan merokok dan elak minuman keras
“Kesihatan adalah kekayaan dan ia tidak terlalu awal ataupun sudah terlambat untuk berusaha bagi memastikan anda cergas dan sihat,” ujar Encik Masagos.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.