Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

3 petua ini elak rasa lesu dan kekal bertenaga sepanjang Ramadan

Anggaran Waktu Membaca:
3 petua ini elak rasa lesu dan kekal bertenaga sepanjang Ramadan

(Gambar: Ketut Subiyanto/Pexels)

KUALA LUMPUR: Rasa tidak bermaya, kurang bertenaga atau lesu sememangnya perkara yang lazim berlaku sewaktu menjalani ibadah puasa pada bulan Ramadan.

Hakikatnya, Ramadan bukan sekadar mengajar umat Islam untuk menahan diri daripada lapar dan dahaga.

Kita juga digalakkan supaya lebih bersabar, melakukan lebih banyak amal ibadah, bersedekah dan juga mengukuhkan hubungan silaturahim sesama manusia.

Mengapa Bulan Puasa Sering Dikaitkan Dengan Badan Yang Lesu?

Pakar Psikologi Sukan dan Pelatih Kecergasan, Aiman Salim memberitahu Astro AWANI bahawa ia mungkin kerana ada di antara kita yang tidak menjaga pemakanan dan tidak tahu bahawa kita masih perlu bersenam atau melakukan aktiviti yang boleh mengeluarkan peluh.

Katanya lagi, terdapat tiga petua boleh diamalkan untuk menjadikan badan kekal cergas, antaranya:

(1) Makan Secukupnya

Sama juga tiga kali sehari seperti pada bulan-bulan biasa iaitu sewaktu berbuka, dua hingga tiga jam selepas berbuka iaitu moreh (jamuan di masjid atau surau dalam bulan puasa, biasanya selepas bertarawih dan bertadarus) dan sewaktu sahur.

Makan hidangan yang bernutrisi lengkap berupaya mengembalikan tenaga anda untuk melakukan rutin harian dan dapat lebih menumpukan perhatian semasa bekerja.

Selain itu, minum air yang mencukupi tetapi secara berkala dan tidak minum dalam jumlah yang banyak sekaligus kerana badan seseorang memerlukan masa untuk menyerap air.

(2) Bersenam Secara Konsisten

Jika kita konsisten bersenam setiap minggu misalnya, tidak bermaksud anda perlu melakukan senaman berat di gimnasium atau membakar seribu kalori sehari.

Anda perlu mencari keseimbangan antara menunaikan ibadah semasa bulan Ramadan dan memastikan diri anda kekal sihat serta aktif.

Kalau hari ini anda mungkin dapat bersenam dalam masa lima ke 10 minit saja sehari, cuba tingkatkan kepada 30 minit sehari. Tidak perlu lakukan senaman yang berat pun, cukup sekadar ‘home workout’ yang boleh membuatkan anda berpeluh.

(3) Jaga Mental

Cara kita bercakap dengan diri kita sendiri amat penting kerana tiada perkara lain yang mampu mendorong diri kita untuk menjadi lebih baik selain diri kita sendiri.

Jika anda ingin hidup sihat, pastikan pemikiran anda juga sihat. Elakkan diri anda terbeban seperti memikirkan yang kalau kita ingin memiliki bentuk tubuh badan yang ideal, anda memerlukan kos dan masa yang panjang.

Setiap aktiviti pastinya boleh dilaksanakan jika anda menetapkan pemikiran yang betul. Tidak mengapa jika anda tidak mempunyai masa yang cukup untuk bersenam.

Hentikan pemikiran sebegitu, bangun dari katil anda dan segera melakukan lompat bintang dan anda akan merasakan sendiri perubahannya.

Bila Waktu Yang Sebaiknya Untuk Bersenam Ketika Berpuasa?

Sebenarnya, waktu yang tepat untuk anda bersukan semasa berpuasa bergantung kepada diri anda sendiri.

Kekuatan setiap orang berbeza-beza. 

Walau bagaimanapun, terdapat masa yang paling baik bagi anda untuk bersenam di bulan puasa.

Jelas Encik Aiman kepada Astro AWANI, waktu yang seelok-eloknya untuk kita bersenam adalah beberapa jam selepas berbuka kerana pada ketika itu badan kita mempunyai kalori yang banyak untuk dibakar.

Namun tambahnya, ia bergantung juga kerana ada yang melihat senaman itu boleh dilakukan ketika seseorang mempunyai kelapangan masa.

Selain itu, ada juga masa-masa lain seperti sebelum berbuka kerana melakukan aktiviti sukan semasa perut kosong boleh membantu anda menghilangkan lebih banyak lemak.

Orang ramai juga mungkin tidak perlu bimbang akan mengalami paras gula dalam darah rendah atau kekal dehidrasi.

Namun beliau mengingatkan, orang ramai perlu menyediakan tenaga untuk melakukan aktiviti selanjutnya sehingga berbuka puasa, di samping memastikan mereka tidak melakukannya secara berlebihan.

Sumber : Agensi berita/AW/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan