Skip to main content

Gaya Hidup

24 jam Ramadan di Kuala Lumpur: Masjid Jamek Sultan Abdul Samad, Bazar Wangsa Maju dan KWC Fashion Wholesale

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 15 Mar 2026 06:24PM Dikemas Kini : 08 Apr 2026 11:22PM
KUALA LUMPUR: Kurang seminggu lagi sebelum kedatangan bulan Syawal.

Di sebalik hiruk-pikuk Kuala Lumpur, Ramadan masih jelas menyuntik suasana yang cukup megah — meriah, penuh warna dan sarat dengan semangat kebersamaan.

Suasana istimewa itu bukan sahaja dinikmati warga tempatan, malah turut memikat pelancong yang ingin merasai sendiri pengalaman Ramadan di negara majoriti Muslim itu.

Daripada membeli-belah di KWC Fashion Wholesale, mengunjungi Bazar Ramadan Wangsa Maju — antara yang terpanjang di Malaysia — hinggalah berbuka puasa di Masjid Jamek Sultan Abdul Samad yang berdiri megah sejak abad ke-20.

Berikut gambaran 24 jam suasana Ramadan di Kuala Lumpur bersama wartawan Syazwani Sanep.

1,800 JEMAAH IMARAHKAN MASJID JAMEK SULTAN ABDUL SAMAD SEPANJANG RAMADAN; KOS PENYEDIAAN MAKANAN CECAH RM15,000 SEHARI

Masjid menjadi tempat utama bagi jemaah sepanjang bulan Ramadan, terutama dalam mengeratkan semangat kebersamaan dalam kalangan masyarakat.
Related article image
Seawal lima petang, barisan jemaah mula menjalar di Masjid Jamek Sultan Abdul Samad yang terletak berdekatan Dataran Merdeka. (Gambar: Syazwani Sanep/BERITA Mediacorp)
Di Masjid Jamek Sultan Abdul Samad yang terletak berdekatan Dataran Merdeka misalnya, barisan jemaah mula menjalar seawal jam lima petang lagi.
Kehadiran mereka bukan sahaja untuk menunaikan ibadah, malah bagi sama-sama menikmati juadah berbuka puasa yang disediakan pihak masjid sepanjang Ramadan.

Sepanjang bulan Ramadan, seramai 1,800 jemaah dijangka mengimarahkan masjid bersejarah yang telah bertapak sejak awal abad ke-20 itu.

Tahun demi tahun, tradisi penyediaan juadah berbuka puasa diteruskan hasil semangat kebersamaan masyarakat setempat.
Related article image
Sepanjang bulan Ramadan, seramai 1,800 jemaah, termasuk warga asing dan pelancong, dijangka mengimarahkan Masjid Jamek Sultan Abdul Samad, masjid bersejarah yang telah bertapak sejak awal abad ke-20 itu. (Gambar: Syazwani Sanep/BERITA Mediacorp)
Namun, usaha menyediakan makanan untuk jumlah jemaah yang ramai memerlukan perbelanjaan yang besar.

"Kami perlukan lebih kurang RM15,000 (S$4,900) sehari untuk kami adakan program berbuka puasa dan juga moreh sehari," kongsi Ketua Eksekutif Masjid Jamek Sultan Abdul Samad, Mohd Hariz Jamil kepada wartawan Syazwani Sanep.
Related article image
Ketua Eksekutif Masjid Jamek Sultan Abdul Samad, Mohd Hariz Jamil. (Gambar: Syazwani Sanep/BERITA Mediacorp)
Antara hidangan yang paling dinanti-nantikan para jemaah ialah bubur lambuk yang dimasak di perkarangan masjid.

Sajian itu merupakan hasil air tangan para relawan seperti Adiman Baharon.
 
Related article image
Antara hidangan yang paling dinanti-nantikan para jemaah ialah bubur lambuk, hasil air tangan Adiman Baharon, yang sudah berkhidmat di Masjid Jamek Sultan Abdul Samad selama lebih 20 tahun.(Gambar: Syazwani Sanep/BERITA Mediacorp)
Beliau sudah berkhidmat di masjid itu selama lebih 20 tahun.

Hampir setiap hari, beliau menyediakan tiga hingga empat periuk bubur lambuk untuk diagihkan kepada para jemaah.

Setiap periuk bubur lambuk menelan kos sekitar RM1,000 (S$325) untuk disiapkan.

Walaupun bubur itu hanya diagihkan selepas solat Asar, Encik Adiman sudah mula menyiapkannya ketika ramai masih bersahur.

Menurut beliau, bubur lambuk perlu dimasak dan dibiarkan sejuk sekurang-kurangnya empat jam sebelum boleh dibungkus dan diagihkan kepada jemaah.

Bubur lambuk Masjid Jamek juga terkenal dengan penggunaan daging yang tidak kedekut serta ramuan serbuk sup yang memberikan rasanya yang tersendiri.

Menariknya, suasana berbuka puasa di masjid itu turut menarik kehadiran jemaah dari pelbagai latar belakang.

Malah hampir separuh daripada mereka yang mengimarahkan Masjid Jamek Sultan Abdul Samad terdiri daripada warga asing dan pelancong.

Antaranya ialah Karim Goudjil dari Algeria, yang bukan pertama kali meluangkan Ramadan di masjid tersebut.
Related article image
Antara jemaah yang mengimarahkan Masjid Jamek Sultan Abdul Samad termasuk Karim Goudjil dari Algeria (kiri) bersama rakannya. Ia bukan pertama kali mereka meluangkan Ramadan di Kuala Lumpur, bahkan di masjid itu. (Gambar: Syazwani Sanep/BERITA Mediacorp)
Ditanya apa yang menariknya berbuka puasa di Kuala Lumpur dua tahun berturut-turut, beliau berkata: "Tidak kira siapa saja anda, anda akan duduk bersama semua. Anda akan kongsi detik ini bersama sesiapa saja dari mana-mana negara di dunia. Dan anda akan berkongsi detik ini dengan seseorang yang mungkin kaya mahupun yang miskin."
Related article image
Suasana berbuka puasa di Masjid Jamek Sultan Abdul Samad menarik kehadiran jemaah dari pelbagai latar belakang. (Gambar: Syazwani Sanep/BERITA Mediacorp)
KEGIATAN MOREH MERIAH DI KUALA LUMPUR, BIARPUN DI MASJID MAHUPUN DI PELBAGAI LOKASI MAKANAN

Menjelang waktu malam pula, kemeriahan Ramadan di masjid tidak berakhir setakat waktu berbuka puasa sahaja.

Selepas solat tarawih, jemaah biasanya berkumpul sekali lagi untuk menikmati hidangan ringan yang dikenali sebagai moreh.
Related article image
Selepas solat tarawih, jemaah Masjid Jamek Sultan Abdul Samad disajikan hidangan ringan yang dikenali sebagai moreh. (Gambar: Syazwani Sanep/BERITA Mediacorp)
Menjelaskan tradisi yang sinonim dengan Ramadan di Kuala Lumpur itu, Ketua Eksekutif Masjid Jamek Sultan Abdul Samad, Mohd Hariz Jamil berkata:

"Moreh ini ialah satu hidangan yang disediakan selepas solat sunat tarawih. Moreh ini disediakan adalah khusus untuk aktiviti bersilaturrahim."

Dalam semangat itu, tradisi tersebut terus dihidupkan saban tahun di Masjid Jamek Sultan Abdul Samad, apabila para jemaah meluangkan masa bersama selepas menunaikan solat tarawih.

Kemeriahan moreh bagaimanapun tidak terhad di masjid sahaja.

Di luar pekarangan masjid, suasana sama turut dirasai di pelbagai lokasi makanan sekitar Kuala Lumpur, termasuk di kawasan Kampung Baru.
Related article image
Nasi Lemak Wanjo Kampung Baru. (Gambar: Syazwani Sanep/BERITA Mediacorp)
Nasi Lemak Wanjo misalnya, mengubah waktu operasinya kepada 3.00 petang hingga 5.00 pagi sepanjang Ramadan bagi menyediakan ruang untuk orang ramai bukan sahaja menikmati moreh, malah bersahur bersama.

BAZAR RAMADAN WANGSA MAJU ANTARA YANG TERPANJANG DI MALAYSIA, TAWAR PELBAGAI PILIHAN SAJIAN TIDAK MELEBIHI RM5

Selain restoran dan kedai makan, bazar Ramadan turut menjadi antara tumpuan utama warga Kuala Lumpur untuk mendapatkan pelbagai juadah berbuka puasa mahupun moreh.

Bazar Ramadan Wangsa Maju misalnya pasti tidak asing buat warga ibu kota itu.
Related article image
Bazar Ramadan Wangsa Maju, antara bazar terpanjang di Kuala Lumpur, dengan panjang kira-kira satu kilometer dan menempatkan hampir 300 gerai. (Gambar: Syazwani Sanep/BERITA Mediacorp)

Dengan panjang kira-kira satu kilometer, bazar itu menempatkan hampir 300 gerai yang menawarkan pelbagai pilihan makanan.

Selain tular sebagai antara bazar terpanjang di Kuala Lumpur, bazar itu turut dikenali sebagai salah satu daripada empat lokasi Bazar Ramadan Rahmah di sekitar ibu negara itu.

Inisiatif Bazar Ramadan Rahmah menggalakkan peniaga menawarkan pelbagai pilihan Menu Rahmah pada harga tidak melebihi RM5.

Related article image
Bazar Ramadan Wangsa Maju adalah salah satu daripada empat lokasi Bazar Ramadan Rahmah di sekitar ibu negara itu. (Gambar: Syazwani Sanep/BERITA Mediacorp)
Langkah tersebut bertujuan memastikan golongan berpendapatan rendah dapat menikmati juadah berbuka puasa pada harga yang berpatutan.

KIRA-KIRA 40% PELANGGAN KWC FASHION WHOLESALE DARI SG; JUALAN RAYA MULA SEAWAL DIS TAHUN LALU

Jika berada di Kuala Lumpur, pastinya terasa tidak lengkap tanpa singgah ke lokasi beli-belah untuk meninjau koleksi busana Hari Raya.

Antara destinasi yang menjadi tumpuan ialah KWC Fashion Wholesale, pusat borong dan runcit fesyen pertama di Malaysia.
Related article image
Terdapat lebih 800 kedai beroperasi di KWC Fashion Wholesale. (Gambar: Syazwani Sanep/BERITA Mediacorp)
Related article image
Sekali Lafaz antara lebih 800 kedai yang ada di KWC Fashion Wholesale. (Gambar: Syazwani Sanep/BERITA Mediacorp)
Seawal Disember tahun lalu, kedai Sekali Lafaz sudah mula menerima pelanggan yang mendapatkan busana Hari Raya, bahkan dari Singapura.

Ini meskipun koleksi tahun ini hanya dilancarkan pada Januari.
Related article image
Para pelanggan mengunjungi kedai Sekali Lafaz. (Gambar: Syazwani Sanep/BERITA Mediacorp)
"Untuk orang Singapura purata orang membeli belah dalam 40 peratus. Ada peningkatan daripada tahun ke tahun. Malahan, kami juga mendapat sambutan daripada, sudah tentu, warga tempatan Malaysia dan juga, ada juga dari Sabah, Sarawak. Bahkan, Brunei pun ada," jelas Pegawai Eksekutif Strategi Pemasaran, Sekali Lafaz, Siti Norismaniza Muhamad Sobri.
Related article image
Pegawai Eksekutif Strategi Pemasaran, Sekali Lafaz, Siti Norismaniza Muhamad Sobri. (Gambar: Syazwani Sanep/BERITA Mediacorp)
Koleksi busana Hari Raya lelaki, wanita dan kanak-kanak di bawah jenama itu dijual pada harga antara RM179 (S$58) hingga RM429 (S$139).
Related article image
Koleksi busana Raya lelaki keluaran Sekali Lafaz. (Gambar: Syazwani Sanep/BERITA Mediacorp)
Meski tidak menawarkan platform pembelian di wadah online, pelanggan dari sejauh Singapura malah Brunei tetap sanggup berkunjung ke premis itu semata-mata untuk mendapatkan busana Hari Raya mereka.

Menariknya, Cik Siti berkongsi bahawa terdapat kelainan citarasa pelanggan Singapura berbanding pelanggan tempatan.
Related article image
Kebanyakan pelanggan Singapura cenderung memilih rekaan ringkas dan moden seperti gaun atau busana sehelai, berbanding pelanggan tempatan yang lebih menggemari baju kurung tradisional. (Gambar: Syazwani Sanep/BERITA Mediacorp)
Kebanyakan pelanggan Singapura cenderung memilih rekaan ringkas dan moden seperti gaun atau busana sehelai, berbanding pelanggan tempatan yang lebih menggemari baju kurung tradisional.
Sumber : BERITA Mediacorp/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita