Skip to main content

Gaya Hidup

20% kematian global ada kaitan dengan diet kurang sihat

Satu daripada setiap lima kematian di merata dunia ada kaitan dengan diet yang kurang sihat.

Anggaran Waktu Membaca:
20% kematian global ada kaitan dengan diet kurang sihat

(Gambar: Unsplash)

Diterbitkan : 27 Apr 2019 09:15AM Dikemas Kini : 27 Apr 2019 09:27AM

PARIS: Satu daripada setiap lima kematian di merata dunia ada kaitan dengan diet yang kurang sihat.

Para pakar mendedahkan demikian sambil memberi amaran bahawa pengambilan gula, garam dan daging yang keterlaluan membunuh berjuta-juta orang setiap tahun.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) meramalkan bahawa hampir satu bilion penduduk di seluruh dunia mengalami masalah pemakanan yang tidak seimbang, manakala hampir dua bilion yang lain "terlalu tinggi khasiatnya".

Bagaimanapun hasil kajian mengenai trend pemakanan global yang diterbitkan dalam jurnal The Lancet menunjukkan bahawa para penduduk di setiap satu daripada 195 negara yang ditinjau memakan jenis makanan yang kurang sihat. Jumlah hasil tani sihat yang dimakan juga terlalu rendah.

Misalnya, para penduduk dunia secara purata meminum lebih sembilan kali ganda jumlah minuman manis yang disarankan dan 86 peratus lebih garam berbanding jumlah yang dianggap selamat bagi setiap orang.

Tinjauan itu meneliti trend pengambilan makanan dan penyakit antara 1990 hingga 2017. Ia memberi amaran bahawa terlalu ramai orang tidak memakan bijirin sempurna, buah-buahan, kacang dan bijiran yang mencukupi bagi mengekalkan gaya hidup yang sihat.

Daripada 11 juta kematian yang ada kaitan dengan diet yang kurang sihat, punca kematian utama adalah penyakit kardiovaskular yang biasanya disebabkan atau menjadi bertambah buruk akibat masalah kegemukan.

"Hasil kajian ini mengesahkan pandangan orang ramai selama bertahun-tahun - iaitu diet yang kurang sihat bertanggungjawab ke atas lebih banyak kematian berbanding faktor risiko lain di dunia," kata penyelidik kajian itu, Christopher Murray. Beliau adalah Pengarah Institut Metrik Kesihatan dan Penilaian di Universiti Washington.

Sumber : AFP/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita