20 kedai buku bersama jayakan Hari Kedai Buku Indie pertama SG
Dua puluh kedai buku bebas di Singapura akan bergabung bagi menjayakan Hari Kedai Buku Indie Singapura (SGIBD) 2026 buat julung-julung kalinya.
Hari Kedai Buku Indie Singapura 2026 yang diadakan buat julung-julung kalinya akan disertai 20 kedai buku di serata negara. (Gambar: Book Bar, Wardah Books)
Acara tersebut sebahagian besarnya akan berlangsung pada 3 Oktober, dengan program-program dijalankan dari 2 hingga 4 Oktober.
SGIBD mengajak orang ramai untuk mengunjungi kedai-kedai buku tempatan dan menyertai pelbagai program yang bakal diadakan termasuk sesi bercerita, kunjungan penulis, acara PowerPoint, lukisan potret secara langsung dan kegiatan mengumpul cop kedai buku, sambil meraikan komuniti pembaca di Singapura.
Acara tersebut dianjurkan secara bersama oleh kedai-kedai buku bebas yang mengambil bahagian dan Persatuan Penerbit Buku Singapura, dengan sokongan Majlis Seni Kebangsaan (NAC) dan penerbit antarabangsa Hachette Book Group. Ia turut diinspirasikan acara-acara yang memberi tumpuan kepada penjual dan pembaca buku di negara lain, termasuk 'Independent Booksellers Week' di Britain dan 'Independent Bookstore Day' di Amerika Syarikat.
Daripada menghimpunkan semua kedai buku yang mengambil bahagian di satu lokasi, SGIBD akan berlangsung di kedai masing-masing, sekali gus memberi kebebasan kepada setiap kedai untuk merancang program mereka sendiri.
“SGIBD bukan pesta yang sekadar bertujuan menjual buku, tetapi untuk meraikan ruang kedai buku kita dan membawa lebih ramai orang mengenali dunia kami,” kata pengasas dan penjual buku utama Wardah Books, Ibrahim Tahir. Kedai buku tersebut terletak di Kampong Gelam.
PELBAGAI PROGRAM DITAWARKAN
“Program ini mencerminkan identiti berbeza-beza kedai-kedai buku yang mengambil bahagian; ia benar-benar terpulang kepada setiap kedai buku untuk menentukan apa yang ingin dilakukan,” kata Ho TingXuan, seorang penjual buku dari kedai buku online Wormhole.
Hasilnya ialah pelbagai kegiatan, dengan setiap kedai menampilkan caranya yang tersendiri untuk meraikan buku dan budaya membaca.
Di Book Bar, para pengunjung boleh melihat pilihan buku yang disarankan Presiden Tharman Shanmugaratnam, manakala Epigram Books akan mengundang para pembaca untuk menyertai pertukaran buku secara rahsia atau berkongsi kenangan mereka tentang kedai buku pada sebuah tembok masyarakat. Wardah Books pula akan mengundang para pembaca untuk memadankan buku dengan batik menerusi sesi konsultasi “Batik Librarian”.
Kegiatan lain pula lebih bersifat praktikal, daripada menyaksikan demonstrasi lakaran secara langsung di Basheer Graphic Books dan sesi bercerita di Eliko Picture Books & Things, hingga bengkel penjualan buku di Closetful of Books dan bengkel zine di City Book Room.
Para pembaca boleh mengetahui lebih lanjut mengenai komik Singapura dan penerbitan sendiri di Dakota Dreams, mendapatkan potret yang dilukis selepas membuat pembelian di Bommoi, atau menerima puisi Melayu yang diperibadikan dan ditaip menggunakan mesin taip di Nurul Anwar Bookstore.
Terdapat juga program yang direka untuk menghimpunkan para pembaca. Wormhole akan mengadakan satu acara sementara pada hujung minggu yang menampilkan permainan sastera dan ilustrasi secara langsung bagi penanda buku, serta acara PowerPoint yang memberi peluang kepada para peserta untuk berkongsi pandangan mereka mengenai buku. Woods in the Books pula akan meraikan pelancaran semula buku 'The Invisible Manuscript' karya Alfian Sa’at.
Para pengunjung boleh meneroka kesemua 20 kedai buku yang mengambil bahagian menerusi Pasport SGIBD, yang juga berfungsi sebagai sebuah direktori dan turut digunakan bagi kegiatan mengumpul cop. Setiap kedai mempunyai copnya yang tersendiri dan para peserta yang mengumpul cop daripada sekurang-kurangnya 10 kedai yang mengambil bahagian layak menyertai cabutan bertuah. Hadiah termasuk baucar buku dan set hadiah buku yang dipilih secara khusus.
Pasport tersebut direka supaya ia dapat terus digunakan selepas hujung minggu acara tersebut. Ia disertakan dengan peta dan maklumat untuk membantu para pembaca mencari kedai-kedai yang mengambil bahagian dan merancang kunjungan mereka. SGIBD juga akan menyarankan laluan berjalan kaki yang menghubungkan kedai-kedai buku di kawasan seperti Chinatown, Bras Basah dan Joo Chiat. Lawatan bas berbayar pula sedang dirancang bagi mereka yang berminat untuk mengunjungi beberapa kedai dalam satu perjalanan.
Penanda buku SGIBD edisi terhad juga akan tersedia di kedai-kedai buku yang mengambil bahagian, selagi stok masih ada.
Maklumat lanjut mengenai program, kedai buku yang mengambil bahagian dan butiran pendaftaran akan dimaklumkan di akaun Instagram rasmi SGIBD.
MERAIKAN KOMUNITI PEMBACA DI SINGAPURA
Bagi pihak penganjur, SGIBD bukan sekadar mengetengahkan 20 kedai buku. Ia juga merupakan satu peluang untuk menonjolkan masyarakat, perbualan dan pertemuan yang sudah berlangsung di dalam dan sekitar kedai-kedai buku Singapura.
“Orang ramai sering menganggap penjualan buku sekadar satu urus niaga, tetapi peranan kami lebih daripada itu,” kata Encik Ibrahim. “Kami di sini untuk membina masyarakat, mendidik dan menyatukan orang ramai.”
Bagi pengasas kedai buku Korea Bommoi, Yuree Hwang, komuniti yang terbentuk di sesebuah kedai buku paling jelas dilihat menerusi kesediaan para pelanggan menyokong ruang tersebut.
“Ramai pelanggan datang kepada saya dan berkata, ‘Jika anda perlukan seseorang untuk menjaga kedai selama beberapa jam sehari, saya boleh bantu. Saya ada di sini. Hubungi sahaja saya,’” kata beliau. “Para pembaca kami bersedia untuk tampil membantu kami, jadi kami juga mahu melakukan ini untuk mereka.”
Para penganjur juga mahu acara tersebut mempamerkan kepelbagaian kedai buku indie di Singapura, termasuk kedai-kedai lebih kecil dan kurang dikenali yang mungkin tidak diketahui para pembaca.
Meskipun buku kini mudah dibeli secara online atau dipinjam dari perpustakaan, kedai buku bebas menawarkan sesuatu yang lebih daripada sekadar urus niaga membeli buku, menurut penganjur.
“Jika sesebuah kedai buku ditutup, anda bukan sahaja kehilangan satu tempat untuk membeli buku,” kata Encik Ibrahim. “Anda kehilangan sebuah komuniti, perbualan, pertemuan dan begitu banyak lagi, bukan sekadar tempat untuk membeli buku.”
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.