Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

2 wanita ini hasilkan beg, mainan daripada pakaian seragam sekolah terpakai

Jika anda mempunyai anak-anak yang masih bersekolah, mungkin pernah terlintas dalam fikiran anda apa yang hendak dilakukan dengan pakaian seragam sekolah mereka setelah ia tidak lagi diperlukan.

Anggaran Waktu Membaca:
2 wanita ini hasilkan beg, mainan daripada pakaian seragam sekolah terpakai

(Gambar: Tay Suan Chiang)

Diterbitkan : 26 Dec 2024 11:02PM Dikemas Kini : 26 Dec 2024 11:24PM
SINGAPURA: Jika anda mempunyai anak-anak yang masih bersekolah, mungkin pernah terlintas dalam fikiran anda apa yang hendak dilakukan dengan pakaian seragam sekolah mereka setelah ia tidak lagi diperlukan.

Mungkin pakaian seragam sekolah terpakai yang masih dalam keadaan baik boleh diberikan kepada adik-beradik mereka yang menuntut di sekolah yang sama.

Atau, anda boleh memberikannya kepada pelajar lain yang lebih memerlukan.

Anda juga boleh mendermakan pakaian seragam terpakai itu kepada The Circular Classroom untuk dikitar semula.

Lebih 420,000 pelajar menuntut di sekolah rendah dan sekolah menengah serta maktab rendah di Singapura setiap tahun, menurut Kementerian Pendidikan (MOE).

Setiap tahun, sekitar 90,000 pelajar menamatkan persekolahan mereka.

Lebih 70 peratus pelajar pula memiliki tiga atau lebih set pakaian seragam sekolah, berdasarkan tinjauan oleh The Circular Classroom bersama Universiti Pengurusan Singapura (SMU).

Kajian itu juga mendapati 86 peratus daripada pakaian seragam sekolah itu dibuang atau didermakan kepada pertubuhan-pertubuhan untuk penggunaan lanjut.

WUJUDKAN BILIK DARJAH BEBAS SISA

Pengasas The Circular Classroom, Leonie Nagarajan dan Zinobia Tinwala berkata pakaian seragam sekolah terpakai tidak semestinya harus dibuang.

Mereka menubuhkan The Circular Classroom pada 2023 dengan matlamat untuk mewujudkan bilik darjah bebas sisa di Singapura.

Bebas sisa merujuk kepada keadaan ideal di mana jumlah gas rumah hijau (GHG) dalam atmosfera dapat diimbangi dengan jumlah gas rumah hijau yang dihapuskan.
Jelas Cik Nagarajan: "Bilik darjah bebas sisa adalah ruang pembelajaran yang tertumpu kepada perlindungan sekitaran dan kemampanan."

Mereka berdua saling mengenali satu sama lain ketika mereka menganggotai Kumpulan Sokongan Ibu Bapa (PSG) di Sekolah Rendah Changkat, yang dihadiri oleh anak-anak mereka.

Cik Nagarajan merupakan seorang Penduduk Tetap (PR) Singapura dari Jerman manakala Cik Tinwala adalah seorang rakyat Singapura yang dilahirkan di India.

"Kami menyertai PSG untuk memahami dengan lebih baik sistem pendidikan tempatan dan budaya Singapura.

"Kami juga ingin berkenalan dengan ibu bapa yang lain," kata Cik Tinwala, 43 tahun.

Apabila kedua-dua anak mereka selesai persekolahan masing-masing di Sekolah Rendah Changkat pada 2016 dan 2022, mereka meninggalkan banyak bahan pembelajaran yang belum digunakan serta beberapa pakaian seragam sekolah yang tidak dapat diberikan kepada adik-beradik mereka.

Justeru ia mendorong kedua-dua wanita itu memikirkan cara-cara untuk bekerjasama dengan pihak sekolah bagi menjalankan inisiatif-insiatif berunsur kemampanan.

SELUAR PENDEK DIJADIKAN BEG JINJIT

Hasil kajian dengan SMU, "kami memutuskan untuk menubuhkan sebuah perusahaan sosial yang mengubah cabaran mengendalikan sisa bahan pembelajaran dan pakaian seragam sekolah kepada satu peluang yang boleh memanfaatkan sebab-sebab sekitaran dan sosial", kata Cik Nagarajan yang berusia 46 tahun.

Salah satu inisiatif kendalian The Circular Classroom adalah untuk mereka produk kitar semula yang unik daripada pakaian seragam sekolah terpakai.

Mereka memilih pakaian seragam sekolah kerana para pelajar mempunyai hubungan rapat dengan pakaian seragam itu.

"Pakaian seragam sekolah diperbuat daripada pelbagai warna dan corak, dan kami dapat menjadi lebih kreatif dalam mengitarkannya semula," kata Cik Tinwala.

The Circular Classroom menjalin kerjasama dengan beberapa sekolah termasuk Sekolah Rendah Changkat, Maktab Rendah Tampines Meridian (TMJC) dan Sekolah St Patrick.

Tahun ini, ia bekerjasama dengan 28 sekolah.

"Matlamat kami adalah untuk menjalin kerjasama dengan kesemua 324 sekolah di Singapura. Namun bagi 2025, kami telah menetapkan sasaran sebanyak 60 sekolah," kata Cik Nagarajan.

The Circular Classroom bekerjasama dengan pihak sekolah untuk mengumpul pakaian seragam sekolah yang didermakan.

Pakaian seragam sekolah terpakai yang masih dalam keadaan baik dijual kepada para pelajar yang memerlukannya.

Sementara itu, ada juga pakaian seragam sekolah yang dikitar semula menjadi barang lain dan bagi yang sudah terlalu lusuh, ia dijadikan sebagai bahan seni dan kraf tangan.

"Kami tidak mahu membazirkan sebarang bahan," kata Cik Nagarajan.

Tali pinggang dan butang pakaian seragam juga disimpan untuk kegunaan lain.

LEBIH SEKADAR KITAR SEMULA PAKAIAN SERAGAM SEKOLAH

Menurut Cik Nagarajan dan Cik Tinwala, inisiatif mereka lebih daripada sekadar mengitar semula pakaian seragam sekolah.

"Ia lebih daripada sekadar mengumpul pakaian seragam sekolah terpakai, memotong dan menjahitnya menjadi sesuatu yang lain," kata Cik Nagarajan.

"Kami bekerjasama dengan pihak sekolah di setiap peringkat untuk memupuk budaya mesra alam dan mengadakan aktiviti luar darjah yang bantu mengurangkan jejak ekologi dan menerapkan kesedaran terhadap penjagaan sekitaran dalam kalangan pelajar," katanya.

"Kami tidak akan pernah kehabisan bekalan pakaian seragam sekolah," kata Cik Nagarajan.

"Apa yang ingin kami lihat ialah orang ramai menganggap pakaian seragam sekolah sebagai sumber berharga dan bukan sekadar pakaian yang tidak lagi diingini."
Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan