Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

2 sahabat dari Malaysia tekad berjalan kaki ke Makkah

Anggaran Waktu Membaca:
2 sahabat dari Malaysia tekad berjalan kaki ke Makkah

Muhammad Farhan Khadid dan Shamsul Azrin Man bertekad menunaikan ibadah umrah dengan berjalan kaki sejauh lebih 10,000 kilometer dari Bertam, Pulau Pinang ke Makkah. (Gambar: Petikan skrin video Instagram/Sinar Harian)

Diterbitkan : 04 Feb 2025 12:23AM Dikemas Kini : 05 Feb 2025 09:33AM

PULAU PINANG: Dua sahabat bertekad memulakan perjalanan bagi menunaikan ibadah umrah dengan berjalan kaki sejauh lebih 10,000 kilometer dari Bertam, Pulau Pinang ke Makkah bermula 3 Februari.

Muhammad Farhan Khadid, 34 tahun, dan Shamsul Azrin Man, 43 tahun, masing-masing berasal dari Pendang serta Kota Sarang Semut di Kedah, mengakui kegembiraan dan teruja untuk memulakan perjalanan itu.

Encik Muhammad Farhan berkata mereka memilih untuk memulakan perjalanan dari Masjid Abdullah Fahim, Pulau Pinang dan berharap perjalanan mereka ke Tanah Suci akan dipermudahkan.

Beliau berkata idea untuk berjalan kaki itu tercetus selepas mengiringi Mohamad Al Bukhari Ellia, 26 tahun dan Mohamad Azizul Abdullah, 34 tahun, yang turut berjalan kaki dari Perak ke Makkah pada awal Disember tahun lalu.

“Kami mengiringi mereka berjalan kaki dari Alor Setar, Kedah ke Hatyai, Thailand dan dari situ, terbuka hati untuk mengikut jejak mereka. 

“Sejak itu, kami mula mengumpul duit dan melakukan persiapan fizikal serta mental. Alhamdulillah, kami dapat memulakan perjalanan hari ini berkat semangat dan doa semua pihak terutamanya keluarga,” katanya. 

Antara persiapan yang dibuat ialah berlari-lari anak secara konsisten dan banyak bertanya kepada mereka yang berpengalaman berjalan kaki atau berbasikal ke Makkah.

Beliau yang masih bujang berkata mereka bergantung sepenuhnya kepada duit simpanan masing-masing iaitu sekitar RM10,000 (S$3,056) bagi perjalanan itu.

Sementara itu, Encik Shamsul Azrin berkata mereka tidak menetapkan tempoh masa tertentu untuk sampai di Makkah, namun merancang untuk berjalan kaki antara 25 hingga 30km sehari.

Menjelaskan perancangan mereka, bapa kepada seorang anak berusia tujuh tahun itu berkata akan berjalan kaki ke Hatyai sebelum menaiki kereta api ke Bangkok, Thailand sebelum ‘terbang’ ke New Delhi, India.

“Kemudian kami akan berjalan kaki ke Lahore dan Karachi di Pakistan untuk ke Bandar Abbas, Iran sebelum menaiki feri ke Dubai, Amiriah Arab Bersatu (UAE) dan seterusnya menuju Riyadh dan Madinah, Arab Saudi,” katanya.

Encik Shamsul Azrin berkata beliau dan Encik Muhammad Farhan berharap rakyat Malaysia akan turut mendoakan mereka supaya kembara ke Makkah dan pulang ke tanah air dengan selamat.

Sumber : Agensi berita/SK/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan