2 juruterbang main Snapchat digantung tugas
Dua juruterbang pesawat tambang murah easyJet digantung tugas setelah didapati bermain permainan di aplikasi Snapchat semasa melakukan penerbangan dari Paris ke Madrid.

(Gambar: YouTube)
AMERIKA SYARIKAT: Dua juruterbang pesawat tambang murah easyJet digantung tugas setelah didapati bermain permainan di aplikasi Snapchat semasa melakukan penerbangan dari Paris ke Madrid.
Akhbar The Sun, melaporkan Kapten Michel Castelluci, dan rakan juruterbangnya bermain telefon bimbit menggunakan 'filter' gambar dan 'emoticon' di aplikasi media sosial tersebut.
Castelluci kemudian memuat naik video yang dipanggil "Dancing first officer in cruise doing paperwork" (Juruterbang yang menari ini sedang menyelesaikan kertas kerja dalam penerbangan).
Castelluci bagaimanapun sudah memadam akaun media sosial beliau.
Video yang dimuat naik itu menarik perhatian ribuan orang dalam masa beberapa jam sahaja di laman Snachat, lapor The Sun.
Warga siber yang menonton video tersebut memberikan respons bercampur-campur. Ada yang menyifatkan kedua-dua juruterbang sebagai membahayakan nyawa orang lain. Ada pula yang menyatakan Encik Castelluci dan rakannya cuma berseronok.
Ketua Eksekutif easyJet, Johan Lundgren memberitahu Press Association bahawa ia "amat kecewa" kerana sudah ada "dasar-dasar jelas tentang penggunaan media sosial", lapor The Sun.
"Insiden ini mencetuskan kesulitan yang tidak sepatutnya berlaku," tambah beliau.
Selepas siasatan dijalankan, syarikat penerbangan itu mengesahkan kedua-dua juruterbang sudah digantung kerja.
Seorang jurucakap memberitahu BBC: "Perbuatan mereka tidak boleh diterima sama sekali dan tidak mewakili ribuan juruterbang lain yang berwibawa di syarikat ini.
"Kami memandang serius perkara ini dan oleh itu, kedua-dua juruterbang sudah digantung kerja (sejajar dengan prosedur kami) sementara menunggu siasatan disiplin."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.