Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

2 individu ini teroka fesyen mampan jadikan industri fesyen Singapura lebih mesra alam

Trend fesyen mampan semakin mendapat perhatian sebagai satu huraian menjadikan industri fesyen lebih mesra alam.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Trend fesyen mampan semakin mendapat perhatian sebagai satu huraian menjadikan industri fesyen lebih mesra alam.

Industri fesyen menyumbang kepada sekitar 10 peratus pengeluaran gas karbon dan hampir 20 peratus air sisa.

Lebihan kain perca dan sisa tekstil pula memakan masa sehingga 200 tahun untuk diuraikan di tapak-tapak pelupusan sampah dan mencemarkan alam sekitar.

Dalam episod Jelajah Cinta Bumi kali ini, BERITAmediacorp bertemu dengan dua individu iaitu seorang pereka fesyen dan seorang pengasas perusahaan sosial bagi mencungkil cara kita dapat terus bergaya sambil mengurangkan kesan terhadap alam sekitar.

PURATA 4-6% SISA TEKSTIL DIKITAR SEMULA DI S'PURA

Setiap tahun, sejumlah besar sisa tekstil dibuang di tapak-tapak pelupusan di Singapura.

Menurut perangkaan Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA), hampir 200,000 tan sisa tekstil dijana pada 2019. Namun, hanya 6,000 tan yang dikitar semula, iaitu 4 peratus daripada keseluruhan jumlah itu.

Jumlah tersebut pula merosot daripada 6 peratus sisa tekstil yang dikitar semula pada 2018.

Perkembangan ‘fast fashion’ atau trend pakaian murah pakai buang dipercayai adalah salah satu penyumbang kepada jumlah sisa tekstil yang banyak ini.

Dalam satu tinjauan yang dijalankan oleh CNA pada 2016, setiap 1,000 penduduk di Singapura didapati membeli purata 34 pakaian baru dan membuang 27 pakaian lama setiap tahun.

‘SLOW FASHION’ SEBAGAI HURAIAN TREND PAKAIAN MURAH PAKAI BUANG

Justeru, apakah itu sebenarnya ‘fast fashion’?

“Fast fashion adalah pembuatan atau pemasaran desain pakaian secara penghasilan besar-besaran dan ia juga terkenal dengan ciri-ciri replikasi trend – iaitu penghasilan baju yang mutunya rendah dari bahan-bahan yang sangat murah,” jelas pereka fesyen, Hafizah Ghazali kepada BERITAmediacorp.

Cik Hafizah merupakan pengasas di sebalik jenama pakaian sopan yang dihasilkan di bawah namanya sendiri.

(Gambar: BERITAmediacorp)

Sebagai label pakaian sopan dan peka alam sekitar yang pertama seumpamanya di Singapura, Cik Hafizah mengambil pendekatan ‘slow fashion’ untuk menghasilkan pakaian secara mampan, beretika dan bertanggungjawab.

“Kami tidak ada penghasilan secara besar-besaran, jadi kami hasilkan pakaian dalam jumlah sedikit supaya mutu terjaga. Selain daripada itu, kami juga cuba menggunakan fabrik-fabrik alternatif berbanding dengan fabrik sintetik atau polyester,” kata Cik Hafizah yang berusia 30 tahun.

Malah, koleksi pakaian kasual di bawah jenamanya cukup eksklusif kerana hanya 100 helai dihasilkan bagi setiap warna dan desain.

HAFIZAH GHAZALI HASIL PAKAIAN GUNA KAIN DARI BAHAN SEMULA JADI

Sebahagian daripada pakaian yang dihasilkan pula menggunakan kain diperbuat daripada bahan-bahan semula jadi seperti linen dan tencel.

(Gambar: BERITAmediacorp)

(Gambar: BERITAmediacorp)

“Fabrik tencel ini kalau awak tengok, ia sangat lembut, ia dapat bernafas, ia tahan lama dan ia diperbuat daripada kayu yang diperolehi secara mampan. Jadi sebenarnya kalau kain ini diperbuat daripada bahan semula jadi, ia mudah lupus,” kongsi Cik Hafizah yang mengusahakan jenama pakaian itu sejak tahun 2018.

Bagi pengguna yang baru sahaja ingin mula membeli pakaian diperbuat daripada bahan semula jadi, Cik Hafizah menasihatkan mereka supaya melakukan kajian terhadap jenama pakaian tersebut.

“Kalau kita nak mula berjinak dengan beli kain yang diperbuat daripada bahan semula jadi atau pun bahan alternatif, kita harus lakukan sedikit kajian, tahu tentang jenama itu, tentang nilai-nilai yang dipegang oleh jenama itu kalau kita nak sokong kita perlu tahu tentang apa-apa pun yang disokong oleh jenama itu,” katanya.

Satu lagi cara menyokong trend fesyen yang mampan adalah dengan membeli pakaian terpakai atau saling tukar-tukar pakaian menerusi ‘clothes swap’.

THE FASHION PULPIT WADAH ‘CLOTHES SWAP’ PERTAMA DI S’PURA

Terletak di Marina One, kedai dua tingkat The Fashion Pulpit bak syurga bagi pakaian terpakai.

Apa pun citarasa fesyen pengunjung, mereka boleh memilih daripada lebih 2,000 koleksi pakaian termasuk kasut dan barang perhiasan yang tersusun rapi.

The Fashion Pulpit adalah sebuah perusahaan sosial pakaian terpakai yang dibuka pada tahun 2018.

(Gambar: BERITAmediacorp)

(Gambar: BERITAmediacorp)

Menariknya, para pelanggan tidak membeli pakaian yang terpikat di hati, sebaliknya mereka ‘saling tukar-tukar pakaian’ dengan orang lain.

“Kami akan menilai pakaian yang diberikan berdasarkan mutu, gaya dan jenama dan dari situ anda akan diberi mata kredit yang boleh digunakan untuk pilih pakaian yang lain,” kata Raye Padit, pengasas The Fashion Pulpit.

Menurut Encik Padit, sekitar 80,000 pakaian telah bertukar tangan sejak kedai itu dibuka lebih dua tahun lalu. Antara pakaian yang paling diburu pula adalah ‘dress’ wanita.

“Kami di The Fashion Pulpit, mahu menyediakan huraian fesyen mampan yang ketara bagi semua orang. Anda dapat perpanjang usia pakaian anda, pada masa yang sama mengurangkan jumlah sisa tekstil selain tidak memaksa syarikat-syarikat fesyen untuk menghasilkan lebih banyak pakaian kerana anda tidak membeli pakaian baru,” kata penggiat alam sekitar ini yang berusia 30 tahun.

(Gambar: BERITAmediacorp)

(Gambar: BERITAmediacorp)

Secara purata, sekitar 80 hingga 100 pakaian dihantar ke kedai itu setiap hari, kongsi Encik Padit yang berpengalaman dalam bidang pemasaran.

Namun, tidak semua pakaian yang diterima dianggap sesuai untuk menjalani ‘clothes swap’.

KHIDMAT 'UPCYCLING' SUNTIK KESEGARAN PADA PAKAIAN TERPAKAI

Bagi tujuan itu, The Fashion Pulpit menawarkan khidmat ‘upcycling’ untuk menyuntik kesegaran pada pakaian terpakai supaya tampil lebih bergaya dan menarik.

Menurut Iris Isa, salah seorang pereka fesyen di The Fashion Pulpit, proses 'upcycling' boleh memakan masa sekitar tiga jam untuk menjahit semula satu pakaian.

Kesedaran terhadap fesyen mampan semakin meningkat – dari pihak pengilang, pereka hingga ke pengguna.

Bahkan minat untuk mengurangkan jejak ekologi juga sudah mula membuahkan hasil. Tinjauan Perbelanjaan Isi Rumah pada tahun 2017/18 mendapati perbelanjaan bagi pakaian dan kasut merosot sebanyak 40 peratus berbanding lima tahun lalu.

Dengan penekanan bagi pembangunan lestari di bawah Pelan Hijau Singapura 2030, orang ramai diajak supaya sama-sama membantu memelihara alam sekitar yang kian terancam. 

Sumber : BERITA Mediacorp/nk

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa