Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

2 gadis ini dapat ilham berjaja Kopi Teduh dari TikTok

Walaupun hanya berbumbungkan langit dan di bawah teduhan sebatang pokok, gerai Kopi Teduh menyajikan kopi yang mempunyai aroma dan rasa yang setanding dengan jenama-jenama terkenal.

Anggaran Waktu Membaca:

KOTA BHARU: Walaupun hanya berbumbungkan langit dan di bawah teduhan sebatang pokok, gerai Kopi Teduh menyajikan kopi yang mempunyai aroma dan rasa yang setanding dengan jenama-jenama terkenal.

Pemilik gerai Siti Nurashakila Zakari, 24, berkata ilham untuk mengusahakan ‘kopi tepi jalan’ itu timbul apabila beliau sering menonton video mengenai perniagaan seumpama itu di media sosial, khususnya aplikasi TikTok.

Menurutnya, kebanyakan video tersebut dimuat naik oleh para netizen dari Indonesia dan Thailand yang menunjukkan masyarakat di sana berniaga kopi yang hanya dibancuh di atas motosikal.

Menyifatkan perniagaan itu ringkas dan mudah, beliau bersama rakan karibnya Intan Zulsyawani Zulkifli, 24, bertekad menerapkan perniagaan berkonsep sama di Malaysia sejak akhir tahun lalu.

“Ia juga tidak memerlukan modal yang besar dan kafe (premis), iaitu kami memulakan dengan modal sekitar RM5,000 sahaja,” katanya ketika ditemui Bernama di gerai mereka di Taman Maju.

Beliau berkata trend perniagaan kopi jalanan itu juga masih kurang popular di Kelantan, sekali gus dapat memberi inspirasi kepada anak muda di negeri ini, bahawa mereka juga dapat berniaga walaupun tidak mempunyai modal besar.

Bercerita lanjut, mahasiswa tahun akhir Kejuruteraan Elektronik Universiti Multimedia itu berkata laman YouTube menjadi ‘guru’ yang mengajar pelbagai resipi sehingga beliau dan Intan Zulsyawani berjaya menghasilkan lebih 17 jenis minuman berasaskan kopi dan bukan kopi.

Katanya lagi, untuk mencipta kelainan, mereka memilih kaedah tradisional bagi mengekalkan aroma wangi kopi iaitu dengan menggunakan alat pembancuh biji kopi Moka Pot.

Malah, katanya, tidak ramai yang mampu menggunakan alat itu kerana cara penggunaannya agak rumit, namun berbaloi kerana dapat mengekalkan rasa ‘not’ kopi yang memikat hati penggemar minuman itu. 

Menurut Siti Nurashakila, mereka menggunakan biji kopi berkualiti tinggi iaitu jenis Arabica dari Brazil yang diperoleh daripada pembekal tempatan.

Menurutnya lagi, antara yang sering menjadi pilihan pelanggan adalah minuman Mesir Kuno Latte yang mengetengahkan rasa kayu manis, selain Nissey Kerek Latte yang menggunakan manisan nira kelapa. 

Siti Nurashakila berkata antara cabaran yang dihadapi bersama Intan Zulsyawani, yang juga mahasiswi tahun kedua Sarjana Muda Komunikasi Massa (Kewartawanan) Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu, adalah pada hari hujan kerana mereka terpaksa memakai baju hujan, selain kurang jualan.

“Walaupun berdepan cabaran terutama ketika musim hujan mahupun ketika ribut, sehingga ada membuatkan khemah kami tercabut, namun ia tidak mematahkan semangat saya dan Intan Zulsyawani untuk meneruskan perniagaan dengan berkonsepkan teduhan secara semula jadi ini,” katanya yang meraih hasil jualan hampir RM1,000 (S$321) sehari.

Beliau juga bersyukur kerana dengan adanya pelbagai wadah media sosial, mereka dapat mempromosikan Kopi Teduh secara lebih meluas, antaranya menerusi laman Instagram yang kini mempunyai hampir 6,000 pengikut.

Sumber : Bernama/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan