Skip to main content

Gaya Hidup

2 cawangan karaoke Cash Studio tawar khidmat rakaman video muzik

Jika anda rindu untuk mengadu suara dengan sahabat handai mahupun anggota keluarga dalam persekitaran KTV, anda boleh melanggani cawangan tertentu Cash Studio untuk menyanyi sepuas hati anda.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Cawangan-cawangan karaoke di Singapura sudah ditutup selama hampir dua tahun dek pandemik.

Jika anda rindu untuk mengadu suara dengan sahabat handai mahupun anggota keluarga dalam persekitaran KTV, anda boleh melanggani cawangan tertentu Cash Studio untuk menyanyi sepuas hati anda.

Namun, ini bukan sesi karaoke biasa kerana itu masih tidak dibenarkan.

Sebaliknya, Cash Studio kini menawarkan khidmat rakaman video muzik yang membolehkan anda menyanyi dan merakam video muzik anda sendiri.

Semua peralatan yang ada di sesi KTV biasa akan disediakan - mikrofon, sistem bunyi dan senarai pilihan lagu yang seakan tiada noktahnya.

Namun, anda tidak hanya akan duduk santai di sofa sambil menyanyi.

Bagi konsep ini, anda akan berdiri di dalam sebuah studio dengan kelengkapan kamera dan menyanyi di hadapan layar hijau.

Pada suntingan pasca penerbitan video muzik itu, anda akan ditindihkan di pentas - atau satu teknik dipanggil superimpose - untuk menampakkan seolah-olah anda bernyanyi di sebuah konsert ataupun rancangan nyanyian sebenar.

Menariknya, pelanggan boleh merakamkan lebih daripada satu lagu pilihan mereka dan menerima semua video itu pada hari yang sama.

Khidmat ini hanya disediakan di cawangan-cawangan Cash Studio di pusat beli-belah Djitsun Bedok dan Simpang Bedok.

Kadarnya adalah S$20+ sejam pada hari biasa dan S$25+ sejam pada hujung minggu, jika anda mengunjungi cawangan tersebut sebelum pukul 6.00 petang.

Bagi waktu selepas 6.00 petang, kadarnya adalah S$25 sejam pada hari biasa manakala S$35 sejam pada hujung minggu.

Setiap sesi membenarkan kumpulan sehingga tiga orang.

Cash Studio di Pusat Beli-Belah Djitsun terletak di 445 Bedok North St 1, #03-03. Cash Studio di Simpang Bedok terletak di 347 Bedok Road.

Sumber : Today/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita