Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

18 jenis makanan ini boleh elak berat badan naik

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Anda mungkin pernah berdepan situasi di mana jam sudah hampir mencecah 10.00 malam, namun perut pula tiba-tiba ‘berkeroncong’.

Tekak juga inginkan cemil-cemilan tetapi jika salah pilih makanan, ia boleh menjejas berat badan.

Lantas, apa yang boleh anda nikmati untuk mengatasi masalah perut cepat lapar ini?

Cemilan atau makanan ringan boleh menjadi penahan lapar sebelum waktu makan utama atau sebelum tidur. Namun hati-hati, jika tidak bijak membuat pemilihan makanan, ia akan menjejas berat dan membuat tubuh terus 'membelon' dari semasa ke semasa.

Mujur terdapat pelbagai makanan alternatif yang boleh dinikmati. Ia tidak akan membuat anda mudah gemuk serta diperkaya dengan serat dan mempunyai kalori yang rendah.

Walaupun dinikmati dalam kuantiti yang berlebihan, ia tidak akan menjejas berat badan serta dapat kekalkan diet yang sihat, selain berat badan dan potongan tubuh yang ideal.

18 MAKANAN SIHAT

Bertih jagung

(Gambar: Unsplash)

Makanan ini mudah untuk dibuat sendiri. Jika ingin menggoreng bertih jagung, elakkan daripada menggunakan gula dan mentega. Sebaliknya bubuhkan sedikit garam, rasanya kekal enak apabila dinikmatinya segar. Dengan anggaran secawan popcorn, ia hanya mengandungi 31 kalori.

Daun saderi

(Gambar: Pexels)

Ia sesuai dijadikan sajian untuk bersihkan tubuh atau detoks. Setiap batang saderi mengandungi anggaran 95 peratus air yang mampu untuk membantu anda menurunkan berat badan yang berlebihan.

Terung

(Gambar: Pexels)

Inilah antara sajian yang paling sihat dan tepat dijadikan sebagai cemilan terutama sekali pada sebelah malam. Setiap terung yang dipanggang tanpa minyak didapati mengandungi 24 kalori dan anda boleh menikmatinya tanpa had.

Buah sitrus

(Gambar: Pexels)

Bagi yang dalam proses untuk menurunkan berat badan, anda tidak digalakkan untuk mengambil buah-buahan dalam kadar yang banyak. Namun, jenis buah-buahan sitrus dikecualikan kerana ia diperkaya dengan bahan serat, flavonoid selain vitamin C yang dapat membantu dalam proses penghadaman. Malah, ia juga boleh mengenyangkan selain dapat mencantikkan mutu kulit anda secara semula jadi.

Zucchini

(Gambar: Pexels)

Setiap biji zucchini didapati mengandungi anggaran 42 kalori. Ia dapat membantu meneutralkan nisbah kandungan garam dalam tubuh selain melancarkan fungsi usus.

Timun

(Gambar: Unsplash)

Inilah antara sayuran yang paling sesuai bagi yang ingin mengurangkan berat badan. Mudah dijadikan sebagai bahan pelbagai masakan. Contohnya, letakkan timun di dalam sup atau sajian salada. Anda juga boleh meratahnya begitu sahaja selain cecah dengan tairu rendah lemak.

Akar bit

(Gambar: Pexels)

Ia merupakan antara sumber protein yang dapat membantu dan ianya berkesan untuk membakar lemak selain menguatkan otot dan sekaligus membantu mengawal gula dalam darah. Setiap biji akar bit (beetroot) hanya mengandungi anggaran 40 kalori.

Telur

Inilah antara sajian yang boleh dijadikan snek dan dinikmati tidak kira beberapa kali sehari, pagi atau malam. Namun, sebaik-baiknya asingkan kuning telur kerana ia mengandungi kadar kolesterol yang tinggi. Jika dibandingkan dengan telur goreng, sudah pasti pilihan yang sihat merupakan telur rebus.

Epal

Setiap biji epal mengandungi anggaran 50 kalori dan ia bergantung pada saiznya. Walaupun saiz epal kecil, ia tetap mampu untuk membuat perut kenyang selain mengawal sistem pencernaan.

Salada

(Gambar: Pexels)

Setiap sajian salada mengandungi sumber asid folik yang baik dan anda boleh menikmatinya tanpa had kerana setiap helai daun salada hanya mengandungi 3 kalori.

Buah beri

(Gambar: Pexels)

Tidak kira strawberi atau kranberi, kedua-duanya diperkaya dengan zat vitamin C dan dapat membantu menyingkirkan air yang berlebihan dalam tubuh. Contohnya, strawberi berkhasiat untuk membantu proses penghadaman selain sistem kardiovaskular anda.

Puding

Pilihlah jenis yang rendah lemak. Anda boleh buat sendiri puding mengikut cita rasa sendiri yang diperkaya bahan serat, tapi cuba elak tambahan susu dan gula yang berlebihan.

Biskut dan keju

(Gambar: Pexels)

Pilihlah biskut yang mengandungi kandungan biji-bijian seperti gandum dan rendah lemak. Mengikut cita rasa masing-masing, anda boleh gandingkan dengan keju parut selain krim keju rendah lemak.

Bijirin

Ia merupakan sajian yang tidak asing yang dapat menjadi pilihan makanan ringan yang sihat, selain diperkaya dengan serat dan rendah kadar gula.

Roti

Panggang dua keping roti yang dibuat dari biji-bijian, gandingkan dengan tomato yang telah dipotong dadu selain keju parut rendah lemak. Tambahkan bawang yang dicencang jika suka dan ratah ia begitu sehaja.

Ikan salmon

(Gambar: Pexels)

Ambil isi empat kepingan hirisan salmon salai dan lapiskan dengan krim keju rendah lemak, gulung dan jadikan sebagai cemilan. Sajian ini ringan tapi berkhasiat dan mengenyangkan.

'Smoothie' pisang

Kisar pisang dengan campuran susu rendah lemak. Campurkan serbuk kayu manis jika anda suka. Selain mengenyangkan, ia penuh dengan tenaga.

Aiskrim

Sememangnya tidak tepat untuk dijadikan makanan ringan seharian, tetapi pilihlah ais krim rendah lemak dan pastinya ia seronok dinikmati pada siang hari yang panas. Pastikan ais krim yang dibeli mengandungi biji-bijian asli yang kaya serat, nutrisi dan protein. Pastikan juga kalorinya tidak terlalu banyak dan ia mempunyai label rendah lemak dan rendah gula.

Akhir sekali, pastikan untuk sentiasa mempunyai air jarang apabila di meja pejabat kerana sering kali perut anda juga tidak selalu perlu makanan cemilan yang ringan, cukuplah juga dengan minuman air putih yang mencukupi.

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan