12 manfaat minyak pokok teh atau 'tea tree oil' untuk kehidupan seharian
Minyak pokok teh atau 'tea tree oil' merupakan bahan yang sering ditemukan dalam produk rawatan kulit dan rambut.

Ilustrasi minyak pokok teh atau 'tea tree oil'. (Gambar: Shutterstock)
INDONESIA: Minyak pokok teh atau 'tea tree oil' merupakan bahan yang sering ditemukan dalam produk rawatan kulit dan rambut.
Ia biasanya digunakan bagi mengatasi masalah jerawat dan kelemumur. Namun, manfaatnya jauh lebih banyak.
Kandungan Terpinen-4-ol yang dimilikinya ini sangat berkesan dalam rawatan penyakit kulit dan mengatasi jangkitan kulat kerana ia dapat merangsang aktiviti sel darah putih dalam melawan bakteria dan 'benda-benda asing' dalam tubuh.
Berikut adalah manfaat minyak pokok teh yang dikongsi laman Merdeka.com:
1. BOLEH DIGUNAKAN SEBAGAI SANITIZER TANGAN
Minyak pokok teh ini dapat digunakan sebagai sanitizer tangan menurut Healthline kerana mampu membunuh beberapa jenis bakteria.
Sebuah kajian juga membuktikan bahawa dengan menambah minyak ini pada sabun antiseptik dapat meningkatkan kesannya dalam membunuh bakteria E. coli.
2. BOLEH DIGUNAKAN SEBAGAI DEODORAN
Sifat anti-bakteria yang dimiliki minyak pokok teh ini dapat membantu mengawal bakteria penyebab masalah bau badan seperti di ketiak.
3. BOLEH DIGUNAKAN SEBAGAI ANTISEPTIK BAGI LUKA RINGAN
Luka yang terbuka boleh menjadi tempat kuman penyebab jangkitan. Minyak pokok teh ini boleh berfungsi sebagai antiseptik bagi luka ringan kerana ia boleh membunuh S. aureus, penyebab jangkitan.
Anda boleh menyapu satu titik minyak ini yang sudah dicampur dengan satu sudu minyak kelapa murni, sebanyak dua kali sehari. Setelah itu, tutup luka dengan plaster.
4. MEMBANTU PROSES PENYEMBUHAN LUKA
Selain mencegah jangkitan, minyak pokok teh juga dapat membantu mempercepatkan penyembuhan luka.
Kajian menunjukkan bahawa ia dapat meredakan keradangan dan merangsang sel darah putih untuk menjalankan proses pemulihan pada kulit.
5. MEMBUNUH JANGKITAN KULAT KUKU
Jangkitan kulat yang menyebabkan kuku menebal, kasar, rapuh dan berwarna kekuningan boleh diatasi dengan minyak ini juga.
Menurut kajian, 60 peratus pesakit sembuh dari jangkitan ini setelah dirawat dengan minyak pokok teh selama enam bulan.
6. PEMBERSIH PERABOT
Minyak pokok teh juga dapat berfungsi sebagai pembersih perabot.
Anda hanya perlu mencampur 20 titik minyak tersebut dengan 180 ml air dan 120 ml cuka epal untuk tujuan ini.
Salinkan campuran ini ke dalam botol penyembur air sebelum menggunakannya ke atas permukaan perabot. Kemudian, lap dengan bersih.
7. MEREDAKAN KERADANGAN DAN KULIT GATAL
Jika anda mengalami keradangan dan kegatalan pada kulit, anda boleh menenangkannya menggunakan minyak pokok teh ini.
Ini terbukti dapat meringankan rasa gatal, kemerahan, dan sensasi pedih pada kulit yang mengalami kegatalan sehingga 40 peratus.
8. MERINGANKAN KESAN KUTU AIR
Kutu air merupakan jangkitan kulat, Tinea pedis, yang biasanya muncul di celah jari kaki. Ciri-cirinya adalah pengelupasan, kulit pecah-pecah dan kemerahan.
Kajian menunjukkan bahawa minyak pokok teh berkesan meringankan keadaan kulit yang dijangkiti kutu air.
9. MENCEGAH BUAH-BUAHAN DAN SAYUR-SAYURAN DARIPADA BUSUK
Bukan sahaja penyakit kulit dan rambut yang boleh diatasi oleh minyak pokok teh.
Malah, buah-buahan dan sayur-sayuran juga dapat dicegah daripada menjadi busuk.
Bagi memastikan makanan anda tidak mudah busuk, anda boleh membubuh 5 hingga 10 titik minyak tersebut pada air yang digunakan untuk mencuci buah-buahan dan sayur-sayuran.
10. ATASI JERAWAT
Minyak pokok teh juga dapat mengatasi jerawat. Campurkan satu titik minyak dengan sembilan titik air.
Kemudian, sapukannya kepada kulit berjerawat dengan kapas. Ia disarankan dilakukan sekali hingga dua kali sehari jika perlu.
11. ATASI KULIT BERMINYAK
Sifat antiseptik yang dimiliki minyak ini membuatnya amat sesuai mengatasi kulit yang berminyak.
Anda hanya perlu campurkan beberapa titik minyak tersebut ke dalam toner, pelembap atau krim pelindung matahari. Menurut kajian, ini dapat memperbaiki kulit berminyak.
12. ATASI KULIT KEPALA BERMINYAK DAN KELEMUMUR
Minyak pokok teh juga terbukti dapat mengurangkan jumlah kelemumur, rasa gatal dan kulit kepala yang berminyak.
Namun, minyak ini tidak sepatutnya disapu terus pada kulit kepala. Sebaiknya ia harus dicampur dengan air, syampu dan sebagainya.
Inilah 12 manfaat minyak pokok teh. Minyak ini disarankan digunakan sebagai ubat luaran sahaja dan tidak boleh diminum, terutama sekali yang belum dicampur dengan air. Pastikan juga anda tidak mempunyai sebarang alahan kepada minyak ini sebelum menggunakannya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.