Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

12 cara berjimat untuk majlis perkahwinan

Anggaran Waktu Membaca:


SINGAPURA: Soal kewangan atau bajet merupakan perkara utama jika anda sudah mempunyai ura-ura untuk mengakhiri zaman bujang.

Tidak kira sama ada anda impikan majlis yang mewah dan gah atau yang sederhana dan ringkas. Yang pasti, persiapan haruslah dibuat awal secara bertahap-tahap dan penting untuk tetapkan bajet bagi majlis yang bakal diadakan.

Bagi pasangan yang mempunyai perancangan untuk berkahwin pastinya anda sudah mula untuk menabung untuk majlis yang bakal diadakan. Salah satu cara untuk menjimatkan kos perkahwinan adalah dengan membuka akaun khas untuk majlis anda.

Dengan demikian anda tidak akan menggunakan kesemua wang simpanan atau terus berhutang. Pastikan juga untuk elakkan daripada menggunakan kad kredit untuk membeli barangan perkahwinan. Apa pun bajet, penting untuk memastikan ia mengikut kemampuan masing-masing.

Bagi yang akan atau sedang membuat perancangan untuk hari bahagia, tip-tip berikut dapat membantu untuk selamatkan dompet anda sedikit sebanyak. Walaupun majlis sederhana ia tetap meriah dan akan menjadi kenangan manis sepanjang hayat!

SENARAI SEMAK SEBELUM BERSANDIN

(Gambar: Pexels)

Tetamu
Penting untuk tetapkan bilangan tetamu yang akan diundang agar anda dapat rancang bajet dengan teratur dan lebih baik. Setelah tetapkan bilangan tetamu, barulah boleh mengira bajet untuk lokasi, makanan, berkat, kad undangan dan sebagainya.

(Gambar: Pexels)

Lokasi

Apabila jumlah tetamu yang ingin diundang sudah diketahui, bolehlah pilih tempat yang praktikal selain mudah dikunjungi oleh tetamu. Selain itu, pastikan untuk mengira perbelanjaan yang diperlukan bagi sewa meja, kerusi, hiasan, pelamin dan lain-lain.

Bagi yang ingin berjimat atau mempunyai bajet yang ketat, sebagai alternatif anda juga boleh melangsungkan pernikahan di rumah atau di masjid. Ia lebih praktikal, namun terpulanglah pada pilihan masing-masing.

Gambar hiasan. (Gambar-gambar: Ihsan Bakhtiar Dasuki & XOXO & Co)

Pelamin

Aura dan penampilannya pasti berbeza apabila anda memilih untuk menggunakan bunga segar sebagai hiasan gubahan dan juga pelamin. Kosnya juga lebih tinggi. Tapi, jika anda seorang yang kreatif, bunga tiruan juga boleh tampil cantik dan setanding dengan bunga hidup bila ia dihias dan digubah cantik. Lebih praktikal, bunga tiruan boleh disimpan untuk buat hiasan, sementara bunga hidup tidak dapat bertahan lama dan akan dibuang.

(Gambar: Pexels)
Cincin

Tidak perlulah beli cincin bertatah permata yang harganya sampai mencecah belasan atau puluhan ribu dolar. Cukuplah setakat yang dimampui sebagai tanda ikatan yang boleh dijadikan sebagai simbol pelengkap bagi setiap pasangan dalam sesebuah ikatan. Seperti roda yang berputar, ada manis dan pahitnya dan bagaimana mereka dapat melengkapi satu sama lain.
(Gambar: Pexels)
Baju pengantin

Jika bajet ketat atau terhad, elakkan daripada menempah pakaian eksklusif yang baru kerana harganya pasti lebih mahal daripada menyewa pakaian. Kini terdapat juga khidmat di mana anda boleh tempah pakaian pengantin yang baru tetapi melalui cara sewa. Maknanya, lepas pakai anda haruslah pulangkan semula kepada butik atau kedai yang ditempah. Harganya pasti lebih rendah daripada anda membelinya.
(Gambar: Pexels)
Tempahan

Buat perancangan awal dan elak daripada membuat tempahan di saat-saat akhir. Contohnya tempahan khidmat fotografi, kad jemputan, katering, berkat dan sebagainya harus ditetapkan awal. Dapatkan promosi harga potongan awal melalui pameran pengantin dan sebagainya.

Selain itu, jika anda membuat tempahan majlis pada hari yang tidak sibuk contohnya bukan waktu cuti sekolah, harga pakej juga pasti akan lebih memadai kerana ia bukan musim cuti. Cuba dapatkan pakej dari beberapa tempat dan nilai dan bandingkan sendiri harganya mengikut bajet dan yang penting khidmat yang boleh dipercayai.
(Gambar: Pexels)
Hantaran

Elakkan daripada membeli barangan yang tidak perlu gara-gara ingin memastikan dulang hantaran nampak banyak. Atau anda mungkin jenis yang tidak mahu kalah dengan saudara mara atau rakan-rakan lain yang baru berkahwin.

Contohnya jika orang lain hantarannya lima dulang anda pula inginkan 10 dulang kerana ingin tampil lebih gah. Elakkan daripada pembaziran. Jika ingin membeli barang, pilih barang yang praktikal yang sering digunakan seharian dan bukan sekadar berjenama dan tampil cantik sahaja.
(Gambar: Pexels)
Kad undangan

Kerana inginkan keunikan ada yang sanggup berhabisan wang untuk dapatkan rekaan kad jemputan eksklusif. Percayalah, tidak semua tetamu yang hadir akan menyimpan kad undangan anda sebagai kenangan. Lainlah kalau ia luar biasa dan mempunyai kegunaan lain. Untuk jimatkan kos, anda boleh gabungkan majlis bersama pasangan anda dan gunakan satu kad sahaja. Atau jika mengikut peredaran zaman sekarang, gunakan sahaja kad dalam talian atau e-card.
Hiburan

Jika mempunyai bajet yang ‘ngam-ngam’ atau bajet ketat, elak daripada menempah kugiran atau pemuzik profesional untuk membuat persembahan. Untuk hiburan halwa telinga tetamu, dapatkan sahaja khidmat DJ yang boleh memutarkan lagu-lagu pilihan dengan pakej harga yang lebih berpatutan. Selain itu anda juga boleh senaraikan kompilasi lagu-lagu kegemaran dan dapatkan bantuan ahli keluarga atau saudara mara untuk putarkan lagu-lagu itu sepanjang majlis.
(Gambar: Pexels)
Katering

Terdapat banyak perkhidmatan katering yang menawarkan pelbagai pakej. Buat tinjauan dan dapatkan khidmat katering yang menepati bajet. Elak daripada berbelanja lebih dari bajet gara-gara ingin menampilkan majlis yang gah dan inginkan pelbagai sajian dari hujung ke hujung dewan!
(Gambar: Pexels)
Jurufoto

Mereka merupakan inividu yang akan merakamkan saat indah dan kemeriahan di majlis perkahwinan anda. Pastinya tanggungjawab jurufoto adalah berat untuk memastikan gambar-gambar yang diambil bermutu dan cantik.

Dapat khidmat jurufoto yang bertauliah. Buat tinjauan dulu dan lihat sendiri hasil kreatif mereka. Tapi, bagi yang ingin berjimat cermat, bolehlah lantik ahli keluarga yang boleh membantu mengambil gambar. Tapi, jangan merungut jika mutunya tidak setanding dengan apa yang anda impikan!
(Gambar: Pexels)
Berkat

Ia merupakan antara perkara yang perlu diberi perhatian. Penting untuk pastikan berkat yang praktikal dan pada masa yang sama, harganya juga haruslah berpatutan menepati bajet yang ditetapkan.
Elak daripada memberi cenderahati yang tidak ada fungsi dan akan berakhir di dalam tong sampah. Anda tidak perlu berhabisan wang untuk membeli berkat yang mahal.
(Gambar: Pexels)
Senarai semak atau 'checklist'

Akhir sekali, pastikan untuk buat senarai semak perkara yang perlu dilakukan. Buat perancangan awal agar anda tidak terlupa atau tertinggal perkara penting. Dengan mempunyai senarai semak ia pasti dapat membantu untuk mengawal perbelanjaan dan sekaligus memantau bajet yang telah ditetapkan agar ia tidak tersasar.
Sumber : BERITA Mediacorp/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan