Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

12 bulan pertama kehidupan bayi amat mencabar, ini 9 tip untuk bantu ibu bapa

Anggaran Waktu Membaca:
KUALA LUMPUR: 12 bulan pertama kehidupan bayi amat mencabar. Sebab itu kata orang, sebelum kelahiran bayi, nikmatilah kehidupan anda sepuas-puasnya, lapor SinarPlus.

Walaupun kedengaran seperti mustahil, tetapi percayalah proses tumbesaran si manja akan berlaku dengan pantas. Tanpa disedari, anak sudah memasuki usia setahun.

Banyak cabaran dan ujian yang perlu ditempuhi dalam membesarkan anak, terutamanya buat mereka yang pertama kali bergelar ibu bapa.

Berikut adalah tip dikongsi dalam laporan
di SinarPlus, bagaimana untuk menikmati proses perkembangan tersebut;

1. Dapatkan pertolongan

Mencuba untuk melakukan segalanya dalam tempoh 12 bulan pertama kelahiran si manja boleh menyebabkan anda tidak tentu arah.

Bahkan, tiada siapa mengharapkan anda untuk menjadi 'superwoman' – jika ada pun, mereka jelas tidak berpengalaman menjaga anak kecil, lapor SinarPlus.

Jadi, jangan malu untuk meminta pertolongan apabila memerlukan dan menerima bantuan yang diberikan.

2. Hindari tekanan

Anda harus ingat, tekanan berlebihan boleh dikaitkan dengan pelbagai masalah kesihatan – kenaikan berat badan, sakit kepala dan serangan jantung.

Melakukan kesilapan adalah perkara biasa dan belajarlah untuk tidak mengulanginya. Bertenang, biasanya keadaan akan menjadi baik.

Usah risau untuk membuktikan bahawa anda adalah ibu bapa terbaik di dunia – sebaliknya jadilah yang terbaik untuk si manja.

3. Bersederhana dalam persiapan kelahiran bayi

Ambil masa untuk menyediakan senarai barangan keperluan bayi. Lakukan carian dan penyelidikan jika perlu.

Ia adalah perkara biasa untuk anda tertarik membeli segalanya yang comel dan baru buat si manja.

Tetapi jangan membazir kerana ada sesetengah barangan seperti buaian bayi, mungkin tidak diperlukan atau hanya digunakan untuk tempoh yang singkat.

4. Usah lakukan perbandingan

Ada kalanya secara tidak sengaja anda mungkin membandingkan si manja dengan bayi lain, tiada salahnya tetapi ia mungkin secara tidak langsung mewujudkan tekanan.

Ingatlah, setiap anak berbeza dan mempunyai tahap perkembangan dan tumbesaran yang berlainan.

5. Manfaatkan saat bayi tidur

Pernah dengar pesanan bahawa ibu juga perlu tidur apabila bayi melelapkan mata?

Walaupun pada saat itu wujud keinginan untuk melakukan banyak perkara yang tidak dapat dibuat semasa bayi terjaga, namun anda perlu ikut saranan untuk berehat.

Mendapat tidur yang mencukupi bukan sahaja penting buat si manja tetapi juga buat ibu, jadi berehatlah.

6. Setiap saat itu berharga

Rakamlah setiap saat tumbesaran anak dan jadikan ia memori yang sangat berharga untuk dikenangkan apabila mereka dewasa kelak.

Percayalah, anak juga akan gembira melihat gambar mereka semasa kecil.

7. Ambil masa bersendirian

Masa bersendirian juga penting buat ibu-ibu terutamanya buat mereka yang bergelar suri rumah. Ia perlu bagi merehatkan mental.

Memberikan diri sedikit masa berehat, walaupun dengan hanya tidur siang atau meminta seseorang menjaga si manja untuk seketika dapat meningkatkan kualiti hubungan antara anda dan bayi.

8. Hargai setiap fasa perkembangan bayi

Ada yang menyukai fasa kelahiran bayi dan sebaliknya. Tetapi walau apa pun fasa anak sekarang ini, ia akan berakhir sebelum anda menyedarinya.

Setiap peringkat itu adalah penting untuk mereka dan cubalah untuk menikmatinya semampu yang boleh.

9. Hadapi setiap kebaikan dan keburukan

Setiap anak adalah unik dan mempunyai kekuatan serta kelemahan tersendiri.

Paling mustahak adalah untuk anda menyayangi anak dan membiarkan si kecil mengetahui bahawa diri mereka disayangi.

Bayi mungkin tidak boleh bercakap atau berkomunikasi dengan anda seperti individu lain, tetapi percayalah mereka dapat merasakan sama ada diri disayangi atau sebaliknya.

Jangan lokek untuk memberikan si manja ciuman dan pelukan kasih sayang setiap saat. Tidak pernah timbul isu atau masalah berkaitan ciuman atau kasih sayang yang berlebihan.

Menjaga dan membesarkan bayi adalah perkara yang menguji kesabaran dan mengundang cabaran tetapi 12 bulan pertama kehidupan mereka nanti pasti akan menjadi momen paling dirindui apabila mereka dewasa kelak.
Sumber : Agensi berita/FA/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan