Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

11 cadangan kegiatan bersama keluarga cuti sekolah ini

Cuti sekolah sudahpun tiba!

Anggaran Waktu Membaca:
11 cadangan kegiatan bersama keluarga cuti sekolah ini

Gambar: Mandai Wildlife Reserve

Diterbitkan : 23 Nov 2021 09:42PM Dikemas Kini : 23 Nov 2021 10:14PM

SINGAPURA: Cuti sekolah sudahpun tiba!

Berikut kegiatan-kegiatan pilihan kami untuk menyambut cuti sekolah bersama anak-anak anda:

1. BRICKOSAURS

Gambar: Mandai Wildlife Reserve

Kanak-kanak yang mempunyai minat mendalam kepada dinosaur dan LEGO pastinya akan tertarik dengan dinosaur-dinosaur ala Jurassic Park yang dibuat daripada LEGO di Singapore Zoo dan River Wonders.

Lebih 1.5 juta LEGO digunakan sepanjang 8,548 jam untuk membina tarikan Brickosaurs in Brickosaurs: Land Before Time.

Terdapat dua jejak interaktif pandu sendiri di kedua-dua taman Mandai itu di mana anda akan melihat T-Rex atau burung pemangsa.

Pada hujung minggu, cuti umum dan cuti sekolah pula, terdapat program berbayar Explore the Brickosaurs World di mana anak anda boleh melakukan kegiatan-kegiatan berkaitan dinosaur di lapan stesen.

Brickosaurs: Land Before Time dibuka dari 13 November hingga 3 Mei 2022. Masuk percuma dengan tiket daripada mana-mana taman itu. Tambah S$15 kepada setiap tiket untuk mengakses kegiatan-kegiatan Explore the Brickosaurs World.

2. JUMPTOPIA

Gambar: Kiztopia

Edisi kedua Jumptopia oleh Kiztopia adalah pengalaman amat menyeronokkan dengan 15 permainan istana belon di ruang sebesar 44,000 kaki persegi di Pusat Pameran dan Konvensyen Singapore Expo.

Jumptopia: Holiday Village menampilkan taman permainan berkonsep, laluan keliru (maze), buaian, papan gelongsor dan juga tembok memanjat untuk kanak-kanak.

Malah terdapat empat permainan istana belon untuk orang dewasa, termasuk balapan Zorb Racer dan juga Bumper Challenge, iaitu seperti kereta laga tetapi berlainan sedikit.

Jumptopia: Holiday Village berlangsung dari 19 November hingga 2 Januari 2022. Setiap tiket berharga S$28 untuk bermain selama dua jam. Tiket-tiket boleh ditempah menerusi Klook.

3. JADI 'PAKAR CILIK' BUAT KRAFTANGAN DARI KULIT

Gambar: Hides & Threads

Pelajari cara-cara menghasilkan kraftangan yang diperbuat daripada kulit dengan teknik-teknik seperti menggunting, memasang butang dan juga pelbagai cara menjahit.

Oleh kerana ia adalah kegiatan yang rumit, ia sesuai untuk kanak-kanak berusia 10 tahun dan ke atas.

Selain itu bengkel-bengkel di Hides & Thread itu hanya dijalankan mengikut janji temu sahaja. Harga bengkel berbeza-beza bergantung kepada projek yang dipilih - harga bagi setiap orang bermula daripada S$60.

Ketahui lebih lanjut di laman ini.

4. BERTUKANG KAYU

Gambar: Ground Up Initiative

Perkenalkan anak-anak anda kepada keseronokan 'upcyle' atau guna semula barangan terpakai dan memanfaatkan bahan semula jadi dengan bertukang kayu.

Bengkel-bengkel Kraf Ground Up Initiative (GUI) termasuk My Woody Hero Workshop iaitu sesi pertukangan kayu dua jam menggunakan gerudi, tukul dan kertas pasir.

Bengkel itu disasarkan untuk kanak-kanak berusia lima hingga sembilan tahun.

Slot bengkel-bengkel terhad dan memerlukan lima orang untuk dijalankan. Harganya S$65 bagi setiap kanak-kanak.

5. KEMBARA TENGGILING DI NIGHT SAFARI

Gambar: Mandai Wildlife Group

Teroka empat jejak berjalan kaki sebelah malam, dengan memanfaatkan Realiti Tambahan (AR) dan Realiti Maya (VR), sedang anda sekeluarga melalui pengalaman Journey with Pangolin Experience di East Lodge Night Safari.

Anda akan mempelajari tentang kehidupan liar menerusi pengalaman VR dan membantu anak-anak anda menerusi pelbagai kegiatan, mengetahui tentang bagaimana mereka boleh menyumbang kepada kepelbagaian bio dan menyelamatkan haiwan daripada pupus.

Journey with Pangolin Experience berharga S$15 selain tiket masuk Night Safari bagi Wild About Twilight. Tiket boleh dibeli di sini.

6. PUPUK MINAT KEPADA SENI

Gambar: National Gallery Singapore

Biennale Kanak-kanak dilancarkan dengan versi digital pada Mei dan akan berterusan dengan sembilan pameran yang menekankan tentang pentingnya seni.

Karya-karya seni itu meliputi tema-tema seperti Rumah, Kepelbagaian, Sekitaran dan Masa. Lalu masuk kejiranan-kejiranan yang dibina sepenuhnya menggunakan arca-arca kadbod di bahagian Rumah atau jejaki Masa di sebuah perpustakaan dipenuhi diari dan ajak kanak-kanak anda menyumbang kepada masa hadapan.

Masuk Biennale Kanak-kanak adalah percuma dan juga merangkumi program-program saling melengkapi seperti bengkel-bengkel bercerita dan pergerakan.

7. SAMBUT MICKEY MOUSE

Gambar: Kingsmen

Raikan Mickey Mouse di Pop-Up Disney! iaitu pameran yang berasal dari Disneyland Resort di Anaheim, California. Pameran yang terletak di Pusat Pameran dan Konvensyen Singapore Expo itu menampilkan tujuh zon bertema watak-watak ikonik dan jalan cerita bersama Mickey.

Petik gambar mesra Instagram di setiap daripada tujuh zon itu.

Tiket bagi kanak-kanak berusia tiga hingga 12 tahun berharga S$20 setiap seorang' kanak-kanak lebih 12 tahun dan orang dewasa pula harus membayar S$25 setiap seorang.

8. HIDUP AKTIF BERSAMA ACTIVESG

Gambar: iStock

Daftar anak-anak anda untuk kelas-kelas memanah, aikido, frisbee, bermain kasut roda, paddleboard dan juga kursus asas CPR.

Ketahui lebih lanjut tentang program-program yang dianjurkan Sport Singapore termasuk sukan untuk semua golongan usia demi menggalak gaya hidup sihat.

Slot-slot terhad disebabkan sekatan pengurusan selamat. Maka, pastikan anda buat tempahan lebih awal.

9. ALAMI DUNIA PEPPA PIG

Gambar: Biz Trends Media

Alami dunia Peppa Pig bersama keluarga dan kawan-kawannya di Let's Play Marina Square. Taman permainan bertema yang dinamakan Peppa Pig Happy Day Interactive Play itu seluas 14,000 kaki persegi dan menghicupkan semula babak-babak dalam kehidupan Peppa.

Peppa Pig Happy Day Interactive Play sedang berlangsung hingga 13 Februari 2022. Terdapat enam sesi setiap hari, setiap satu sepanjang 90 minit tanpa waktu rehat. Harga tiket bermula dari S$28 dan harap maklum kanak-kanak bawah dua tahun tidak digalakkan.

10. JALAN-JALAN DI MUZIUM ARTSCIENCE

Gambar: Faber Courtial

Teroka kehidupan di angkasa lepas melalui program-program baru Muzium ArtScience yang menyuntik sifat ingin tahu dan meraikan usaha manusia untuk menemui kehidupan lain.

Saksikan juga hasil karya dan filem yang mengkaji sains di sebalik penerokaan angkasa lepas.

Program itu disarankan untuk mereka berusia 13 tahun dan ke atas. Namun, Muzium ArtScience juga akan menayangkan filem-filem klasik berkaitan angkasa lepas sebagai penghormatan kepada planet-planet selain bumi ini.

11. TEROKA DUNIA MENJANGKAUI BUKU

Gambar: NLB

Lembaga Perpustakaan Negara (NLB) menghidupkan cerita-cerita dalam buku menerusi pameran-pameran dan membawa para pembaca menerokai dunia buku.

Sebanyak 15 pusat beli-belah di kawasan-kawasan kejiranan anda dihiasi dengan skrin digital, kertas hias dinding yang mengasyikkan, arca-arca bersaiz manusia dan pemandangan bandar.

Anda hanya perlu mengimbas kod QR di mana-mana pameran, kertas hias dinding atau pelekat lif. Lengkapkan maklumat perpustakaan anda dan anda boleh memilih untuk membaca cetakan digital ataupun buku fizikal di perpustakaan dekat dengan anda.

Untuk maklumat lanjut, ketahui lebih lanjut tentang Nodes by NLB di sini.

Sumber : CNA/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan