Skip to main content

Gaya Hidup

100 karya agung seni Islam dari Muzium Louvre dipamerkan di Singapura buat pertama kali

Bayangkan, kehalusan seni Islam sudahpun dihargai di Eropah sejak zaman Pertengahan (sekurang-kurangnya abad ke-10 hingga ke-13)!

Anggaran Waktu Membaca:
100 karya agung seni Islam dari Muzium Louvre dipamerkan di Singapura buat pertama kali

Antara objek pameran di lantai 2 Silang Arus. (Gambar: BERITA Mediacorp/Roslinda Rahmat)

New: You can now listen to articles.

This audio is generated by an AI tool.

Diterbitkan : 19 Jun 2026 01:24AM Dikemas Kini : 19 Jun 2026 05:10PM

SINGAPURA: Bayangkan, kehalusan seni Islam sudahpun dihargai di Eropah sejak zaman Pertengahan (sekurang-kurangnya abad ke-10 hingga ke-13)!

Salah satu pameran seni sudah melanda di Singapura dan dilancarkan di Muzium Tamadun Asia (ACM) pada Khamis (18 Jun). 

Pameran Silang Arus: Karya Agung Seni Empayar Islam Mughal (India), Safawiyyah (Iran) dan Uthmaniyah (Turki) dapat dihayati peminat seni dan sejarah buat pertama kalinya di Asia Tenggara sepanjang tahun.

Ia menampilkan sekitar 100 artifak agung dari Muzium Louvre yang terletak di Perancis.

Pameran itu berlangsung sempena pemeteraian Pelan Hala Tuju Kerjasama Budaya Singapura–Perancis bagi memperkukuh hubungan serta pertukaran budaya antara kedua-dua negara.

Related article image
Antara artifak di ruang pameran tingkat 3 ACM yang menanti diterokai pengunjung. (Gambar: BERITA Mediacorp/Roslinda Rahmat)

Ia sebahagian daripada usaha memperkukuh hubungan kedua-dua negara, yang melibatkan sekolah-sekolah seni dua hala melalui program amali dan pertukaran pelajar, serta memupuk perbincangan mengenai warisan menerusi seminar dan bengkel.  

Demikian antara inisiatif silang-budaya yang diumumkan Menteri Negara bagi Kementerian Budaya, Masyarakat dan Belia, MCCY, Encik Baey Yam Keng di pesta tahunan Perancis-Singapura, vOilah! 


100 KARYA AGUNG SENI ISLAM LOUVRE WARNAI ACM HINGGA JANUARI 2027 

Sebaik melangkah masuk ke ruang pameran, pengunjung akan disambut oleh sebuah cangkir batu jed bertatahkan emas dan delima. 

Karya Uthmaniyah abad ke-16 itu pernah memikat Raja Perancis Louis XIV sehingga menjadi sebahagian daripada koleksi diraja yang dipamerkan di Istana Versailles.

Related article image
Dr Souraya Noujaim dari Jabatan Seni Islam, Musee du Lourve. (Gambar: BERITA Mediacorp/Roslinda Rahmat)

Menurut Pengarah Jabatan Seni Islam Musée du Louvre, Dr Souraya Noujaim, sejarah kemasukan objek-objek seni Islam ke Perancis sebenarnya menjangkau tempoh yang sangat panjang, bermula sejak Zaman Pertengahan.

"Masyarakat perlu mengetahui kisah ini kerana hubungan yang terjalin berabad-abad lamanya masih dapat dilihat sehingga hari ini. Walau apa pun yang berlaku di dunia, artifak dan budaya terus menjadi jambatan yang menghubungkan manusia, bahasa dan tamadun yang berbeza. Kisah seperti ini sering kali tidak diketahui ramai, dan kami ingin membawanya kepada khalayak yang lebih luas," kata Dr Souraya kepada wartawan Roslinda Rahmat.

Kenyataan itu membuktikan bahawa kehalusan seni Islam telah lama mendapat penghargaan dalam kalangan masyarakat Eropah.

Related article image
Cangkir air jed bertatahkan emas dan batu delima - sebuah karya Uthmaniyah yang terakhir berada dalam koleksi peribadi Raja Perancis, Louis XIV. (Gambar: BERITA Mediacorp/Roslinda Rahmat)

Timbalan Pengarah dan Ketua Kurator Seni Islam ACM, Cik Noorashikin Zulkifli, menjelaskan bahawa cangkir berkenaan pada asalnya dihasilkan di India pada zaman Empayar Mughal sebelum dibawa ke wilayah Uthmaniyah di Turkiye. 

"Ia merupakan sebuah cangkir yang sangat istimewa kerana dimiliki Raja Perancis Louis XIV sebagai koleksi peribadinya. Malah, ia juga antara karya seni Islam terawal yang memasuki koleksi Louvre," katanya. 

PAMERAN PERKUKUH HUBUNGAN SG-PERANCIS MELALUI WARISAN BUDAYA  

Pameran Silang Arus menampilkan 100 karya daripada koleksi diraja Louvre yang dipadankan dengan 30 objek dari Asia Tenggara milik ACM.  

Gabungan itu memperlihatkan bagaimana tiga empayar Islam terbesar dunia saling berhubung dan mempengaruhi rantau ini antara abad ke-16 hingga ke-18. 

Menurut Cik Noorashikin, antara pengajaran terbesar yang dapat diambil daripada pameran itu ialah sifat keterbukaan dan kelenturan budaya yang diamalkan oleh empayar-empayar Islam ketika itu. 

"Mereka bersedia menerima dan mengadaptasi pengaruh daripada pelbagai budaya luar seperti Eropah dan China, lalu menghasilkan bentuk seni yang baharu. Begitu juga apabila karya seni daripada empayar-empayar ini tiba di Nusantara. Ia tidak menghapuskan budaya tempatan, sebaliknya seniman Asia Tenggara mengolah pengaruh tersebut dan menghasilkan karya yang tetap mengekalkan jati diri rantau ini," jelas beliau. 

Related article image
Seni lukisan pada jubin seramik Empayar Safawiyyah (Iran) memiliki banyak pengaruh Cina. (Gambar: BERITA Mediacorp/Roslinda Rahmat)

Walaupun mempunyai sejarah perdagangan dan pertukaran budaya yang panjang dengan dunia Islam, Asia Tenggara masih kurang diwakili dalam naratif global seni Islam. 

Justeru, pameran itu menelusuri bagaimana penghijrahan, perdagangan dan pertukaran budaya dari Istanbul, Isfahan dan Delhi hingga ke Asia Tenggara telah membentuk sebuah dunia yang kosmopolitan. 

"Pengunjung dapat melihat bahawa seni Islam merangkumi pelbagai aspek kehidupan dan gaya hidup. Ia bukan hanya wujud di istana para sultan dan pemerintah, malah turut mempengaruhi masyarakat umum. 

"Pada masa yang sama, seni Islam bukan sesuatu yang statik. Ia sentiasa berkembang, menyerap pengaruh budaya lain dan membuktikan bahawa keindahan boleh lahir daripada pertemuan serta percampuran pelbagai budaya," kata Cik Noorashikin. 

Pameran itu juga menelusuri jaringan perdagangan dan pertukaran budaya yang menghubungkan pelbagai wilayah dunia jauh sebelum era globalisasi moden. 

"Ia ibarat sebuah peta visual yang menggambarkan kuasa dan kegemilangan empayar-empayar tersebut. Perhatikan bahan yang digunakan seperti batu jed, hablur batu dan mutiara. Semua ini merupakan bahan yang sukar diperoleh dan hanya kerajaan yang stabil, memiliki sumber yang mencukupi serta seniman yang mahir mampu menghasilkan karya seni sehalus ini," tambah beliau. 

Pameran Silang Arus dibuka kepada orang ramai secara percuma mulai Jumaat (19 Jun) hingga 24 Januari 2027 di ACM. 

Sumber : BERITA Mediacorp/RL/rl
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita