10 petua kawal diri ketika digoda pelbagai jualan murah…
Musim shopping atau beli-belah hujung tahun sekali lagi akan muncul bertalu-talu. Pertama jualan murah Black Friday akan muncul pada Jumaat ini. Kemudian muncul pula Cyber Monday pada Isnin depan. Selepas itu jualan murah 12/12 (12 Disember) di pelbagai platform online.
BERITAmediacorp: Musim shopping atau beli-belah hujung tahun sekali lagi akan muncul bertalu-talu. Pertama jualan murah Black Friday akan muncul pada Jumaat ini. Kemudian muncul pula Cyber Monday pada Isnin depan. Selepas itu jualan murah 12/12 (12 Disember) di pelbagai platform online.
Ditambah dengan itu, ada pula pelbagai jualan murah sempena Krismas dan jualan ‘menghabiskan stok’ sekarang ini. Pendeknya, pelbagai jualan murah muncul satu persatu.
Sama ada ‘terapi’ beli-belah dilakukan menerusi kaedah online ataupun di kedai-kedai, ia sesuatu kegiatan yang digemari ramai tak kira usia. Lebih-lebih lagi bila dah dapat gaji dan bonus hujung tahun! Memang seronok bila harga barang yang dianggap berbaloi terasa memanggil-manggil kita untuk mendekatinya.
Namun demikian, janganlah sampai berhabis-habisan belanja sehinggakan semua yang dilihat mahu dibeli. Terlalu boros maka kocek anda akan kering dan anda sendiri akan gigit jari!
Berikut ini BERITAmediacorp berkongsi 10 petua untuk membantu anda mengawal diri ketika berbelanja di pusat-pusat beli belah:
1. BUAT SENARAI
Tuliskan benda atau barang yang perlu di beli. Tetapkan bajet dan pastikan untuk membeli barang-barang yang disenaraikan saja. Usah mudah tergoda apabila melihat poster diskaun kerana kemungkinan anda akan membeli barang yang tidak perlu!
2. BAWA WANG CUKUP-CUKUP
Elakkan daripada membawa wang yang berlebihan. Dengan demikian, ia dapat membantu anda daripada membeli benda-benda yang tidak perlu secara berlebihan tanpa disedari.
(Gambar-gambar hiasan)
3. TEKNIK FIKIR 30 SAAT
Sebelum membuat keputusan muktamad untuk membeli sesebuah benda, cubalah untuk fikir sejenak 30 saat! Jika anda tidak pernah terlintas untuk membelinya atau ia bukan dalam senarai benda yang perlu dibeli, lupakan saja. Tak perlu fikir dua tiga kali. Tangguhkan pembeliannya pada bulan-bulan yang akan datang.
4. JANGAN IKUT ‘KAKI SHOPPING’
Usah keluar berbelanja dengan rakan-rakan yang gemar membeli-belah. Kenapa? Anda mungkin akan mengalah jika mereka ‘menghasut’ untuk membeli sesuatu yang tidak diperlukan.
5. BANDING HARGA
Sebelum membeli sesuatu buatlah perbandingan harga jika boleh. Ada kalanya anda boleh dapatkan barang yang sama dengan harga yang lebih berpatutan dari kedai yang berbeza.
6. JANGAN IKUT NAFSU
Praktikkan sikap bersederhana bila berbelanja. Belanja ikut kemampuan. Tanya diri anda, apakah anda mahu membeli kerana ikut nafsu atau kerana ingin berlumba-lumba dengan teman-teman? Dua-dua salah. Tak perlu ikut trend kalau kurang mampu!
7. PRODUK BERJENAMA
Produk yang berjenama sering menarik perhatian dan menjadi pilihan ramai walaupun harganya melambung tinggi. Tapi, kalau diperhatikan ada jenama yang biasa-biasa pun tidak kurang bermutu. Harganya lebih berbaloi. Ia menjimatkan. Yang penting jangan beli barangan ciplak!
8. SEMAK RESIT
Dalam keghairahan berbelanja pastikan anda menyemak resit pembelian selepas membuat pembayaran. Kadang-kadang dalam keadaan yang sesak dan sibuk, boleh terjadi kesilapan. Siapa tahu anda terlebih bayar dan tidak diberi diskaun semasa membuat pembayaran.
9. BERANIKAN DIRI UNTUK KATAKAN ‘TIDAK’
Jangan setakat katakan ‘tidak’ kepada dadah dan maksiat. Anda juga harus berani katakan ‘tidak’ kepada barangan yang harganya mahal. Malah, juga jangan beli barang kerana harganya terlalu murah! Jika anda tidak perlukan barang itu, jangan beli. Jangan juga kasihankan pemilik kedai atau tukang jual sehingga anda ‘terbeli’. Mungkin anda sebenarnya terbeli kata-kata manis daripada membeli sesuatu keperluan.
10. KALAU LAPAR, JANGAN PERGI ‘SHOPPING’
Jika anda sedang berasa lapar, kesunyian, bosan atau bersedih, elakkan daripada pergi membeli-belah. Dengan perasaan emosi yang bercampur aduk, kemungkinan anda akan membeli barang-barang yang tidak perlu. Selalunya emosi anda tika itu yang akan menyuruh anda beli untuk ‘melepaskan gian’.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.