Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

10 manfaat minuman panas terhadap kesihatan tubuh

Keperluan terhadap air minuman sama ada sejuk, suam atau panas adalah penting bagi memastikan tubuh kekal sihat serta terhidrat.

Anggaran Waktu Membaca:
10 manfaat minuman panas terhadap kesihatan tubuh

(Gambar: Unsplash)

Diterbitkan : 05 Aug 2021 06:39PM Dikemas Kini : 05 Aug 2021 06:47PM

KUALA LUMPUR: Keperluan terhadap air minuman sama ada sejuk, suam atau panas adalah penting bagi memastikan tubuh kekal sihat serta terhidrat.

Ada yang mengatakan air minuman panas membantu meningkatkan pencernaan, melegakan pengumpulan cecair berlebihan dalam tubuh dan memberikan ketenangan berbanding minuman air sejuk.

Sebahagian besar kelebihan air minuman panas ini adalah berdasarkan laporan anekdot (ringkas) kerana tidak banyak kajian saintifik mengenainya.

Bagaimanapun, ramai yang sudah merasai manfaat pengambilan air minuman panas ini terutama pada waktu pagi atau sebelum tidur.

Kajian menyarankan suhu optimum untuk air minuman panas ialah antara 54 dengan 71 darjah Celsius.

Suhu yang lebih tinggi boleh menyebabkan kesan melecur pada mulut.

Berikut adalah 10 manfaat air minuman panas:

1. Melegakan hidung tersumbat

Memegang secawan air panas dan menyedut wap daripada air berkenaan sebelum ia diminum dapat membantu melegakan masalah hidung tersumbat dan sakit kepala akibat resdung.

Ini disebabkan oleh pengumpulan lendir pada rongga sinus dan tekak.

Air minuman panas akan menghangatkan bahagian itu lalu mencairkan pengumpulan lendir berkenaan.

Satu kajian pada 2008 mendapati minuman panas seperti air teh dapat memberikan kelegaan yang cepat pada hidung berair, batuk, sakit tekak dan keletihan.

Minuman air panas lebih berkesan berbanding air minuman pada suhu bilik.

2. Membantu penghadaman

Pengambilan air yang mencukupi membantu sistem pencernaan menjadi lebih lancar dan seterusnya memudahkan proses membuang najis.

Ada yang mempercayai minuman air panas sangat berkesan untuk mengaktifkan sistem pencernaan.

Teorinya ialah, air minuman panas boleh melarut dan 'menghilangkan' makanan dimakan yang mungkin sukar untuk dihadamkan.

Namun, lebih banyak kajian diperlukan untuk membuktikan kebenaran ini, walaupun kajian pada 2016 menunjukkan air suam mempunyai kesan terhadap pergerakan usus dan pengeluaran gas selepas pembedahan.

3. Meningkatkan fungsi sistem saraf pusat

Tidak mengambil air minuman sama ada panas, sejuk atau suam boleh memberikan kesan negatif terhadap fungsi sistem saraf, yang akhirnya akan mempengaruhi mood serta fungsi otak.

Penyelidikan pada 2019 menunjukkan bahawa air minuman dapat meningkatkan aktiviti sistem saraf pusat dan mood seseorang.

Penyelidikan itu juga mendapati air minuman dapat meningkatkan keupayaan otak individu melakukan aktiviti yang memerlukan dan mengurangkan kegelisahan diri.

4. Membantu mengatasi sembelit

Dehidrasi adalah penyebab sembelit dan pengambilan air minuman yang mencukupi dapat mengatasi masalah berkenaan.

Minum air panas secara berkala juga akan membantu menjaga pergerakan usus secara tetap.

5. Kekal terhidrat

Minum air pada suhu apa pun boleh membantu tubuh kekal terhidrat. Institusi-institusi perubatan mengesyorkan kaum wanita mengambil 2.3 liter air dan lelaki 3.3 liter air sehari.

Bagaimanapun, ini tidak termasuk sumber air daripada makanan seperti buah-buahan dan sayur-sayuran.

Ibu-ibu yang menyusukan anak atau mereka yang melakukan aktiviti berat pula digalakkan supaya meminum air secukupnya.

Ini kerana tubuh manusia memerlukan air yang mencukupi untuk menjalankan fungsi penting badan setiap hari.

Satu petua adalah untuk meminum air panas di waktu pagi dan sebelum tidur supaya dapat meraih keberkesanannya.

6. Mengurangkan rasa menggigil di persekitaran sejuk

Satu kajian yang dijalankan pada 2017 menunjukkan tindak balas tubuh terhadap persekitaran sejuk menyebabkan badan menggigil.

Oleh itu, meminum air panas dapat membantu mengurangkan rasa menggigil berkenaan.

Para penyelidik mendapati meminum air panas dengan cepat dapat membantu individu untuk menghangatkan tubuh lalu mengurangkan tubuh daripada menggigil.

7. Memperbaiki peredaran darah

Aliran darah yang sihat akan mempengaruhi keadaan tubuh daripada mengalami tekanan darah sehingga meningkatkan risiko menghidap penyakit kardiovaskular.

Mandi dalam air suam dapat membantu peredaran darah apabila arteri dan urat mengembang lalu mengalirkan darah secara lebih berkesan ke seluruh tubuh. Kajian mendapati dengan meminum air panas, ia turut memberikan kesan yang serupa.

Satu lagi kelebihan daripada meminum air panas atau mandi air panas di waktu malam adalah ia dapat membantu seseorang tidur lebih lena.

8. Boleh menurunkan tahap tekanan

Meminum air panas dapat membantu meningkatkan fungsi sistem saraf pusat dan mengurangkan kecenderungan seseorang berasa cemas.

Satu kajian yang dijalankan pada 2014 mendapati bahawa pengambilan air minuman secara tidak mencukupi mempengaruhi mood dan emosi positif yang dialami seseorang.

9. Membantu sistem detoksifikasi tubuh

Meskipun tiada bukti sahih mengenai kelebihan ini, satu kajian pada 2020 mendapati dengan meminum banyak air ia akan dapat membantu untuk melindungi buah pinggang dan mencairkan sisa buangan dalam darah.

Berdasarkan 'Arthritis Foundation', meminum air adalah penting untuk membantu tubuh melawan keradangan, menjaga pelincir sendi dalam keadaan baik dan mencegah gout.

10. Membantu melegakan gejala akalasia

Akalasia merupakan kondisi apabila bahagian esophagus sukar untuk memindahkan makanan ke perut.

Ini menyebabkan pesakit mengalami kesukaran untuk menelan dan merasakan makanan kerana ia seolah-olah tersangkut di bahagian kerongkong. 

Sumber : Agensi berita/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan