Skip to main content

Gaya Hidup

10 makanan ini bantu anda sejukkan badan ketika cuaca panas

Anggaran Waktu Membaca:
10 makanan ini bantu anda sejukkan badan ketika cuaca panas

Gambar hiasan. (Gambar fail: TODAY)

Diterbitkan : 23 May 2023 09:45PM

KUALA LUMPUR: Sejak akhir-akhir ini, seluruh Asia Tenggara mengalami cuaca yang sangat panas, dengan suhu mencecah 37 darjah Celsius di Singapura. 

Keadaan cuaca sebegini akan membuatkan badan menjadi cepat lesu dan sering berasa letih. Selain itu, gaya hidup, rutin senaman dan diet juga boleh menjejas tindak balas badan kita terhadap cuaca.

Memandangkan cuaca panas diramal berterusan sehingga Ogos, portal gaya hidup Relevan menyenaraikan 10 jenis makanan yang boleh membantu menyejukkan badan, di samping mengandungi khasiat yang sangat baik untuk badan kita.

1. Pisang

Related article image
(Gambar: Aleksandar Pasaric/Pexels)

Pisang membantu mengecutkan tisu dalam badan yang meningkatkan keupayaannya untuk menyerap air. Ini membantu kita kekal terhidrat dan dapat menyejukkan badan.
 
Ia juga merupakan snek yang mengenyangkan dan alternatif yang lebih sihat kepada snek yang kurang hidrat.

Bagi menambah kesan menyejukkan badan, simpan pisang di dalam peti sejuk beberapa ketika sebelum memakannya.

2. Avokado

Related article image
(Gambar: Polina Tankilevitch/Pexels)

Tidak seperti daging merah dan lemak tepu lain, avokado adalah sumber lemak sihat yang baik untuk tubuh badan. Dengan pengambilan avokado, ia akan memastikan badan anda sejuk, selain membekalkan lemak sihat.

Ada sesetengah orang kurang gemar memakan atau tidak dapat menikmati rasa lemak avokado. Jadi, anda boleh mencuba membuat jus atau 'smoothie' avokado dengan mencampur bahan-bahan seperti aiskrim vanila, madu serta pisang.

3. Buah sitrus

Related article image
(Gambar: Pixabay/Pexels)

Buah sitrus kaya dengan kandungan air yang tinggi dan menjadikannya makanan tambahan yang ideal untuk diet ketika musim cuaca panas. 

Buah-buahan ini juga kaya dengan vitamin C yang membantu melindungi tubuh anda daripada matahari.

Antara buah sitrus yang boleh menjadi pilihan anda ialah oren, lemon dan limau gedang.

4. Timun

Related article image
(Gambar: Lo/Pexels)

Kandungan terbesar dalam timun ialah air yang boleh membantu mengekalkan paras hidrat dan menyejukkan badan. 

Ia juga tinggi dengan kandungan serat dan membantu masalah penghadaman yang mungkin terjejas dalam keadaan cuaca panas.

Ketika makan tengah hari, hidangkan juga timun sebagai ulam-ulaman atau jadikannya sebagai salad.

5. Kelapa

Related article image
(Gambar: Thunyarat Klaiklang/Pexels)

Kelapa adalah salah satu makanan yang mendapat gelaran 'superfood' yang menyegarkan dan mempunyai pelbagai manfaat. 

Kulit kelapa, minyak dan air semuanya menghidratkan dan berfungsi sebagai antiradang. Kelapa juga sangat membantu untuk menstabilkan tekanan darah. 

Kebiasaannya, orang ramai menggunakan kelapa sebagai ejen penyejuk ketika demam. Jadi, tidak ada salahnya juga jika anda mahu menyejukkan badan dalam cuaca yang panas ini dengan meminum air kelapa.

6. Kacang soya

Related article image
(Gambar: Polina Tankilevitch/Pexels)

Kacang soya dan hasilnya yang lain seperti tauhu dan kacang edamame iaitu kacang soya yang belum matang adalah sumber protein yang hebat. 

Makanan yang kaya dengan protein seperti ayam dan daging merah boleh menyebabkan suhu badan meningkat serta membuatkan anda berasa panas.

Justeru, seimbangkan diet dan suhu badan dengan menambah kacang soya dalam pemakanan harian.

7. Beri

Related article image
(Gambar: Suzy Hazelwood/Pexels)

Beri juga mempunyai kandungan air yang tinggi serta pelbagai khasiat lain yang membantu menyihatkan badan kita. 

Ia juga kaya dengan antioksidan. Antioksidan berfungsi untuk membantu melindungi kita daripada radikal luar seperti matahari dan toksin lain yang mungkin terdedah kepada kita semasa musim panas.

Contoh beri yang anda boleh pertimbangkan untuk makan ialah strawberi, beri biru, beri hitam dan sebagainya.

8. Tembikai

Related article image
(Gambar: Lisa Fotios/Pexels)

Sama seperti timun, komponen tembikai terdiri kira-kira 90 peratus air. Ini juga menjadikan tembikai sebagai pilihan terbaik dan lazat untuk mengekalkan paras air yang mencukupi dalam badan. 

Sesetengah individu kurang gemar minum air. Jadi, mereka mungkin boleh amalkan pengambilan tembikai untuk kekal hidrat. 

Selain itu, ia juga kaya dengan serat yang membantu masalah penghadaman.

9. Yogurt

Related article image
(Gambar: Irina Grigoraş/Unsplash)

Yogurt adalah salah satu makanan sihat yang menyegarkan. Yogurt boleh dimakan dalam pelbagai cara bagi membantu menyejukkan badan. 

Anda boleh membeli yogurt berperisa atau yogurt tanpa perisa dan tambahkan buah-buahan yang disebutkan di atas bagi memaksimumkan pengambilan makanan yang tinggi kandungan air dan menyejukkan badan.

10. Flaxseed 

Related article image
(Gambar: Karyna Panchenko/Unsplash)

Flaxseed atau biji rami adalah sumber kepada pelbagai khasiat seperti protein, mineral, vitamin dan serat. Ia juga membantu mengekalkan badan yang sejuk dan membantu menguruskan tekanan darah.

Kesimpulannya, makan makanan menyegarkan yang kaya dengan air kerana ia boleh membantu mengekalkan suhu badan anda. 

Anda juga mesti mengelakkan makanan yang kaya dengan gula dan garam kerana ia boleh mengeringkan badan. 

Selain itu, orang ramai juga dinasihatkan supaya mengurangkan pengambilan alkohol dan merokok. Alkohol juga telah terbukti menyebabkan dehidrasi, merokok pula akan mengeringkan badan dan mempunyai pelbagai kesan buruk yang lain kepada badan kita. 

Sumber : Sumber Web/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita