Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

1 juta beg berisi baucar, maklumat tentang barah pangkal rahim akan diagih

Tahukah anda, barah pangkal rahim adalah antara 10 barah paling biasa didiagnos hanya dalam kalangan wanita Melayu - lebih tepat lagi ia adalah barah ketujuh paling biasa didiagnosis dalam kalangan wanita Melayu.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Tahukah anda, barah pangkal rahim adalah antara 10 barah paling biasa didiagnos hanya dalam kalangan wanita Melayu - lebih tepat lagi ia adalah barah ketujuh paling biasa didiagnosis dalam kalangan wanita Melayu.

Namun, wanita Melayu khususnya kurang cenderung untuk menjalani pemeriksaan bagi mengesan barah pangkal rahim di peringkat awal?

Hanya 34.8 peratus wanita Melayu yang sudah menjalani ujian pap smear. Jumlah itu jauh lebih rendah berbanding wanita berbangsa Cina (49.9 peratus) dan India (46.1 peratus).

Hakikatnya, secara umum kaum wanita di Singapura kurang memahami betapa pentingnya untuk mengambil langkah awal dan kerap untuk mengesan HPV (papilomavirus manusia) dan barah pangkal rahim.

Kurang satu daripada setiap dua wanita menjalani ujian pap smear tiga tahun sekali.

Lantaran itu, kempen I AM dilancarkan hari ini (11 Mei) oleh Perikatan Singapura bagi Tindakan Aktif Terhadap Papilomavirus Manusia (A4HPV) untuk memperkasa para belia dengan pengetahuan tentang barah pangkal rahim dan HPV supaya mereka boleh membangunkan legasi generasi masa depan dengan mencegah barah yang boleh dielakkan itu.

Sehingga sejuta beg buatan tangan yang dipanggil "buddy bag" disediakan oleh para belia Singapura.

Ia mengandungi baucar pemeriksaan barah pangkal rahim, yang boleh digunakan untuk satu kunjungan ke klinik terpilih dan risalah dengan tips dan maklumat tentang HPV, antara lain.

Beg-beg itu akan dihasilkan dan diagihkan dalam tempoh 12 bulan mendatang mulai Julai ini.

Gerakan itu juga membolehkan sesiapa sahaja untuk memainkan peranan, tidak kira lelaki atau wanita, tua atau muda untuk menghapuskan rintangan yang mungkin menghalang kita daripada melakukan sesuatu untuk melindungi diri dan orang-orang tersayang.

Orang ramai dipelawa menyertai gerakan mencegah barah pangkal rahim itu dengan membuat ikrar di laman IAM-Campaign.org serta di media sosial mereka.

Sebagai sebahagian daripada ikrar itu, mereka akan menggunakan pengaruh mereka untuk berkongsi maklumat tentang HPV dan barah pangkal rahim dengan orang lain supaya mengambil langkah-langkah pencegahan awal.

Sebagai usaha untuk mendorong masyarakat Melayu supaya lebih menyedari tentang barah pangkal rahim, Cabang Singapura bagi Persatuan Diraja Komanwel akan mendermakan 1,000 beg daripada kempen I AM itu kepada Persatuan Muhammadiyah.

"Kempen ini tepat pada masanya untuk meningkatkan kesedaran tentang barah pangkal rahim khususnya dalam kalangan wanita Melayu dan keluarga mereka. Kami berharap menerusi sayap wanita dan belia kami, kami dapat mendampingi lebih ramai karyawan wanita dan mereka yang berkeluarga," kata Setiausaha Agung Persatuan Muhammadiyah Roszanah Abdul Salim. 

Sumber : BERITA Mediacorp/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan