Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

1 bilion belia berisiko hilang daya pendengaran akibat fon telinga, tempat main muzik kuat: WHO

Anggaran Waktu Membaca:
1 bilion belia berisiko hilang daya pendengaran akibat fon telinga, tempat main muzik kuat: WHO

Gambar: Pexels

Diterbitkan : 16 Nov 2022 10:27PM Dikemas Kini : 16 Nov 2022 11:58PM
PARIS: Sekitar satu bilion orang muda di seluruh dunia mungkin berisiko hilang daya pendengaran akibat menggunakan fon telinga atau menghadiri tempat yang membuka muzik dengan kuat, menurut anggaran yang dibuat hasil satu penyelidikan pada Rabu (16 Nov).

Kajian yang diterajui Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyeru golongan muda supaya lebih berhati-hati mengenai tabiat mendengar dan menggesa pemerintah serta pengeluar untuk berbuat lebih banyak demi melindungi pendengaran mereka pada masa depan.

Analisis yang diterbitkan dalam jurnal BMJ Global Health memaparkan data daripada 33 kajian yang diterbitkan dalam bahasa Inggeris, Sepanyol, Perancis dan Rusia sejak dua dekad lalu membabitkan lebih 19,000 peserta berusia 12 hingga 34 tahun.

Dapatannya menunjukkan 24 peratus golongan muda mempunyai amalan mendengar tidak selamat semasa menggunakan fon telinga dengan peranti seperti telefon pintar.

Sebanyak 48 peratus daripada peserta itu didapati telah terdedah kepada tahap bunyi yang tidak selamat di tempat hiburan seperti konsert atau kelab malam.

Kajian sama menganggarkan bahawa antara 670,000 hingga 1.35 bilion orang muda mungkin berdepan risiko hilang daya pendengaran mereka.

Pakar audiologi di Universiti Perubatan Carolina Selatan yang juga pengarang pertama kajian itu, Lauren Dillard, berkata julat yang luas itu sebahagiannya kerana sesetengah orang muda mungkin berisiko berdepan kedua-dua faktor berkenaan.

Cik Dillard memberitahu AFP, cara terbaik untuk orang ramai mengurangkan risiko hilang pendengaran disebabkan fon telinga ialah dengan memperlahankan suara dan mendengar untuk tempoh yang lebih singkat.

"Malangnya, ramai yang gemar muzik yang sangat kuat," katanya.

Menurut WHO, lebih 430 juta orang, iaitu lebih lima peratus penduduk dunia kini mengalami kehilangan daya pendengaran , dengan jumlah itu dianggarkan akan meningkat kepada 700 juta menjelang 2050.
Sumber : AFP/SU/fa

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa