Filipina laporkan hampir 5,000 kes baru COVID-19 dengan lagi 26 kematian
Dalam satu kenyataan, Kementerian Kesihatan Filipina menyatakan jumlah keseluruhan kes disahkan di negara itu meningkat kepada lebih 187,200.
Gambar fail ujian swab yang dijalankan di Filipina bagi jangkitan COVID-19. (Gambar: REUTERS/Eloisa Lopez/File photo)
MANILA: Filipina melaporkan lebih 4,900 kes baru COVID-19 hari ini (22 Ogos) iaitu hari kelima berturut-turut jumlah kes baru melebih 4,000 kes.
26 kematian di negara itu juga dilaporkan berlaku.
Dalam satu kenyataan, Kementerian Kesihatan Filipina menyatakan jumlah keseluruhan kes disahkan di negara itu meningkat kepada lebih 187,200.
Jumlah kematian pula mencecah sebanyak 2,966.
Filipina merupakan negara paling banyak jangkitan COVID-19 di Asia Tenggara dan negara kedua dengan angka korban terbanyak di belakang Indonesia akibat virus itu.
Pada Isnin lalu, pemerintah Filipina melonggarkan sekatan di sekitar ibu kota Manila sedang Presiden Rodrigo Duterte menjanjikan "pendekatan yang lebih segar" dalam melawan COVID-19 termasuk kadar ujian lebih dipertingkat.
Encik Duterte, dalam satu ucapan televisyen, berkata ada perlunya untuk membuka semula ekonomi dengan perusahaan kecil dan sederhana "hanya cukup makan ketika ini".
Pada masa yang sama, beliau menggesa orang ramai untuk "mematuhi peraturan".
Filipina memasuki kemelesetan ekonomi buat pertama kali dalam 29 tahun dengan kemerosoton paling teruk pada suku kedua disebabkan sekatan COVID-19.
Langkah kuarantin juga dilaksanakan semula di Manila dan wilayah berdekatan mulai 4 hingga 18 Ogos selepas sekumpulan doktor dan jururawat memberi amaran bahawa sistem jagaan kesihatan negara itu mungkin runtuh.
Jurucakap Encik Duterte, Harry Roque, berkata pemerintah Filipina akan menggunakan tempoh dua minggu untuk "memperbaharui" dan "melancarkan semula" respons negara itu terhadap COVID-19 dengan membenarkan kegiatan perniagaan diteruskan semula dan membolehkan lebih ramai orang kembali bekerja.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.